Tuesday, May 17, 2011

Penjagaan ayam pedaging


UNTUK tumbesaran yang baik, ayam pedaging perlu mendapat ruang lantai yang cukup selain makanan dan minuman berkhasiat mengikut peringkat umur.


Ayam atau dikenali dengan nama saintifik Gallus gallus domesticus berada dalam famili Phasianidae. Ayam pedaging adalah ayam yang dibiakkan khusus untuk menghasilkan daging dengan cekap. Baka Cobb, Arbor Acre dan Ross Hubbard, Lohmann Isa Vedette adalah yang biasa dipelihara.

Ternakan yang diuruskan dengan betul melalui persekitaran yang selesa akan membesar dengan baik malah memberi pulangan yang maksimum. Sebarang bentuk tekanan hendaklah dielakkan kerana ianya akan menjejaskan produktiviti ayam dan mengurangkan ketahanan melawan penyakit. Makanan dan air minuman yang diberi hendaklah bermutu baik dan mencukupi. Setiap ekor ayam perlu diberikan ruang lantai, ruang makanan dan minuman yang mencukupi mengikut peringkat pembesaran. Ketinggian bekas makanan dan minuman juga diselaraskan dengan peringkat pertumbuhan. Kesemua ini bukan sahaja dapat mengelakan stres dan pembaziran, juga memastikan keseragaman pembesaran.

Sistem pemeliharaan dan perumahan

Reban ayam dibina supaya mudah untuk diurus. Selain itu ia dapat melindungi ayam daripada ancaman cuaca seperti hujan, panas serta gangguan daripada anjing, kucing, musang dan manusia. Secara komersial, terdapat tiga sistem pemeliharaan ayam pedaging iaitu sistem intensif, separa intensif dan integrasi. Perbezaan sistem ini adalah dari segi keluasan kawasan, kepadatan ayam, perumahan dan sistem pengurusan. Dalam sistem intensif pula terbahagi kepada sistem sarap tebal dan sistem berlantai tinggi.

a. Sistem sarap tebal

Sistem ini menggunakan lantai simen dan bahan sarap seperti ketaman kayu, sekam, jerami padi, kulit kacang dan hancuran tongkol jagung. Habuk kayu tidak digalakkan kerana ia mudah menyekat lubang hidung apabila ayam mematuk sarap ini dan menggangu pernafasannya. Pada peringkat awal sarap setebal 7 - 10 cm disyorkan agar ia tidak menutupi dan menghalang pergerakan anak ayam. Setiap 1,000 ekor ayam memerlukan 35 - 40 guni bahan sarap. Kelebihan bahan sarap ini bertindak sebagai penebat dan mengawal suhu dalam reban. Namun jika tidak diurus dengan baik boleh menimbulkan penyakit Koksidiosis dan Aspergilosis.

b. Sistem berlantai tinggi

Sistem ini terdiri daripada sistem terbuka mempunyai sokongan berkaki dan ruang lantai yang luas. Dalam sistem ini najis akan jatuh kebawah dan tidak bersentuhan dengan ternakan dan mengurangkan jangkitan penyakit. Pengudaraan bagi reban adalah baik dan dapat menampung bilangan ayam yang banyak. Ukuran yang dicadangkan ialah: 25 kaki x 200 kaki untuk 1 reban. Saiz bagi satu ekor ayam dewasa ialah 1 kaki persegi.

Peringkat Perindukan (Brooding)

Proses ini adalah jangkamasa penjagaan anak ayam selama 2 minggu dalam memastikan keseragaman tahap perkembangan fizikal dan fisiologi serta kematian. Anak ayam akan dibekalkan denagan haba, udara, makanan dan minuman yang mencukupi. Bekas minuman yang berisi air perlu dicampurkan dengan gula atau glukus sebanyak 50 - 80 g/l air untuk tempoh 6 - 8 jam pertama dan perlu di beri selama dua hari. Ia bertujuan untuk membekalkan tenaga kepada ayam. Selain itu air juga boleh ditambah dengan larutan vitamin seperti Sorbitol 92 cc/l) atau Biogreen (1 cc/l). Suhu dalam reban perlu dikawal sepanjang masa perindukan antara 28 - 31 ?C di mana suhu ini semakin berkurang apabila umur ayam meningkat.

Peringkat Tumbesaran

Pada peringkat ini peralatan yang digunakan adalah sama ketika peringkat permulaan. Cuma palung makanan hendaklah diganti dengan bekas jenis gantung dan perlu dilaras mengikut ketinggian ayam. Pemakanan dan pemvaksinan hendaklah dilaksanakan mengikut jadual.

Pemakanan

Pemakanan adalah salah satu faktor yang terpenting yang perlu dititikberatkan. Ini adalah kerana 2/3 dari kos pengeluaran adalah daripada makanan dan harus memastikan tiada pembaziran berlaku ketika memberi makan atau ketika menyimpannya. Dua jenis makanan diperlukan iaitu makanan permulaan (starter) berumur 1 - 21 hari dan makanan pengemukan/pertumbuhan (grower) pada umur 15 - 39 hari. Jika pasaran memerlukan ayam bersaiz besar maka makanan penghabisan (finisher) perlu diberikan ketika umur 40 hari hingga dijual. Makanan diberi tanpa had (ad lib) atau tidak dicatu.

Program pemvaksinan

Pemvaksinan adalah proses memasukkan agen penyakit (virus, bakteria, bakteria dan protozoa) yang telah dilemahkan ke dalam tubuh ayam dengan tujuan untuk meningkatkan antibodi dalam darah. Umur 1 - 3 hari beri vaksin Raniket "F" dengan cara menitiskan dalam hidung, atau mata atau dalam minuman. Untuk Vaksin Mareks HVT diberi ketika umur 1 - 3 hari atau 12 - 14 hari disuntik pada bahagian otot paha atau bawah kulit tengkuk. Untuk umur 2 - 3 minggu vaksin Raniket F dicucuk pada pelipis kepak. Selepas 7 hingga 10 hari, kejayaan vaksinasi boleh ditentukan dengan kehadiran keruping pada kulit selaput tempat ia disuntik. Jika tiada kelihatan maka suntikan perlu diulangi. Seterusnya umur 6 -7 minggu suntik vaksin Raniket "S" dengan cara suntikan pada otot dada.

Memotong paruh (Debeaking)

Proses pemotongan paruh ini dilakukan bertujuan untuk mengurangkan sifat mematuk dikalangan mereka (kanabalisme). Pemotongan dilakukan dilakukan ketika ayam berumur antara 7 - 10 hari dengan menggunakan alat dipanggil Debeaker yakni dengan membuang sebahagian paruh atas dan bawah. Untuk menghindar pendarahan ketika memotong paruh, berikan vitamin K kepada ayam selama 1 - 3 hari sebelum dan sesudah proses pemotongan.

Penyakit dan kawalan

Proses pengesanan penyakit boleh dilakukan dengan memerhatikan tingkah laku ayam, pengambilan makanan dan minuman, tinja (najis) yang dikeluarkan serta pemerhatian pada waktu malam. Penyakit sampar merupakan penyakit yang paling merbahaya dan kawalannya adalah melalui suntikan vaksin, mencegah burung liar dan ayam dari berkeliaran serta menghapuskan ayam yang dijangkiti apabila berlakunya wabak ini. Penyakit puru (Fowl Pox) boleh dicegah melalui suntikan vaksinasi pada umur 3 minggu, iodin boleh disapu pada bahagian badan yang diserang dan semua ayam yang diserang hendaklah dimusnahkan. Penyakit berak kapur (Pullorum) menyebabkan kematian anak ayam yang berumur 5 - 10 hari. Pencegahan boleh dilakukan dengan mencampurkan antibiotik seperti Neomycin sulfat dalam minuman pada kadar 1 camca kecil untuk 9.1 liter air. Furazolidon juga boleh diberi pada kadar 4 sudu besar bagi setiap 3 kg makanan selama 10 hari berturut-turut. Penyakit Selsema burung (Avian Influenza H5N1) berpunca dari penghijrahan burung atau unggas yang berjangkit. Virus yang terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang berjangkit boleh dijangkiti apabila tersentuh. Pencegahan boleh dilakukan melalui kebersihan dan biosekuriti ladang atau beli stok dari sumber yang sah. Pasang jaring kalis burung di reban agar burung liar tidak dapat masuk dalam reban. Lapor serta merta kepada JPV jika terdapat ayam yang sakit atau mati dan elakkan lupus sendiri haiwan tersebut.

1 comment:

  1. Salam Tuan,saya dianugerahkan kontrak membela/membesarkan ayam oleh sebuah Sykt berdaftar dgn KLSE.Perjanjian membekal 100,000 ekor ayam bagi 1 pusingan(33 hari).Saya jadi buntu bila tanah yg saya beli diMelaka tidak diluluskan oleh Jab. Vetinar untuk dijadikan tapak projek.Jika Tuan ada reban yg boleh saya sewa,individu yg berminat untuk buat JV dengan saya,harap dapat Tuan menolong dengan menghubungi saya di-011 19718041.TK banyak2.Salam

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: