
Namun, bagi Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn Bhd, Datuk Dr. Noordin Darus, menghidap kanser darah pada 2001, adalah titik tolak dalam penubuhan syarikat yang sudah bertapak lebih lapan tahun ini.
“Bagi pesakit kanser, rawatan kemoterapi adalah satu kaedah paling ditakuti dan menyakitkan. Dari situ, saya terfikir untuk mencari jalan bagi menyembuhkan penyakit dengan cara lebih lembut dan tidak menyakitkan.
“Dalam tempoh menjalani rawatan tersebut, saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap air dan dua tahun selepas itu, pada 2003, terhasillah produk sulung iaitu penapis air Rx-Water,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Noordin, memang minatnya lebih terarah kepada air kerana air adalah ibu kepada semua penawar tidak kira tradisional mahupun moden.
Melihatkan respons positif dari air tersebut yang dapat membantu mengurangkan penyakit yang dideritai, Noordin mengambil keputusan membekalkan produknya ke syarikat kesihatan.
Namun, pelbagai masalah dihadapi semasa proses membekalkan produk tersebut membuatkan Noordin terpaksa mencari inisiatif lain untuk memasarkan sendiri produknya.
Langkah bermula dengan modal RM700,000
Berbekalkan RM700,000 sebagai modal permulaan termasuk penyelidikan Rx-Water, penyewaan pejabat, uji kaji makmal, pengeluaran dan mendapatkan lesen untuk sistem perniagaan berbilang tingkat (MLM).
“Di Malaysia, perniagaan jenis ini perlu ada lesen. Sebenarnya jumlah perlu dibayar untuk mendapatkan lesen ialah RM1.5 juta. Kewangan yang tidak mencukupi memaksa saya mencagarkan rumah kepada pihak bank.
“Dengan modal RM700,000 hasil dari cagaran rumah dan bantuan sebuah kementerian, saya teruskan perniagaan ini. Tetapi saya diberi tempoh setahun untuk melangsaikan baki dari RM1.5 juta tersebut,” katanya.
Syarikat yang ditubuhkan pada 12 Mac 2003 ini, seterusnya berpindah ke bangunan baru di Petaling Jaya pada 2005.
Rekod dan reputasinya terus kukuh dengan perolehan RM1 juta pada penghujung tahun 2003 dan perolehannya semakin meningkat kepada RM10 juta setelah berpindah ke ibu pejabat barunya. Secara kasar, perolehan syarikat ini sejak tiga tahun lalu mencecah RM25 juta.
Menurutnya lagi, tahun ini adalah tahun agresif bagi WorldWellness kerana syarikat menyasarkan lonjakan perolehan sebanyak 40 hingga 50 peratus iaitu kira-kira RM40 juta.
“Tahun ini WorldWellness akan memberi lebih perhatian kepada penambahan ahli yang bertindak sebagai penjual. Ini akan disokong melalui penyediaan latihan bersepadu lebih serius yang telah dimulakan sejak Januari lalu.
“Sejak cara ini diamalkan, keahlian bertambah sehingga 50 peratus iaitu di antara 1000 hingga 2000 orang dalam tempoh sebulan,” katanya.
Giat tambah ahli
Noordin berkata, WorldWellness juga sedang giat meningkatkan ahli yang aktif kepada 8,000 hingga 10,000 berbanding 5,000 pada ketika ini termasuk di Sabah, Sarawak, Brunei, dan Singapura.
Selain itu, WorldWellness sedang dalam usaha menembusi pasaran Indonesia dan Thailand. Namun, dalam merealisasikan impian tersebut, Noordin turut berhasrat untuk menembusi pasaran masyarakat bukan Melayu memandangkan majoriti pengguna dan ahlinya kini terdiri daripada masyarakat Melayu.
Sebagai sebahagian usahanya dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya, WorldWellness turut menubuhkan Dana Wellness bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan.
Antara perancangan tanggungjawabnya tahun ini, adalah untuk mewakafkan tanah bernilai hampir RM250,000 untuk amal kebajikan sama ada untuk pembinaan rumah anak yatim mahupun hospital.
Setelah lebih lapan tahun beroperasi, syarikat ini kini mampu berbangga apabila diiktiraf sebagai antara 50 terbaik daripada 700 syarikat kecil dan besar berdaftar dan hasratnya untuk terus maju menjadi 10 terbaik dalam jangka masa lima tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: