![]() |
| (DARI kiri) Rosli Mohalim, Ramli Sarip dan Mokhtaza Ahmad menunjukkan buku Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi. |
SELAMA 40 tahun mengukir nama di persada hiburan tanah air, akhirnya kumpulan legenda, Sweet Charity mengabdikan perjalanan seni mereka menerusi penerbitan sebuah buku, Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi.
Bukan itu sahaja, buku bergambar yang mempunyai peranan dua dalam satu itu turut menyelitkan hadiah istimewa berupa cakera video digital (DVD) yang merakamkan detik penuh makna konsert 40 Tahun Bagaikan Bermimpi yang diadakan di Esplanade, Singapura tahun lalu.
Turut disertakan dalam buku edisi terhad itu ialah sekeping cakera padat (CD) yang mengandungi 17 lagu yang dirakamkan sepanjang konsert tersebut.
Selaku vokalis, Ramli Sarip memberitahu, buku itu adalah alibi kehadiran mereka sejak 40 tahun lalu dalam dunia hiburan tempatan dan mereka masih lagi relevan.
Ujarnya, sehingga kini, para peminat Sweet Charity tidak berhenti walau sedetik dalam memberikan sokongan ke atas penglibatan mereka dalam dunia seni.
"Sebenarnya, saya seperti bermimpi apabila Sweet Charity berjaya menerbitkan sebuah buku tentang perjalanan seni yang pernah ditempuhi. Hari ini, impian kami yang telah dicanangkan sejak sekian lama, menjadi realiti.
"Segala kisah di sebalik tabir Sweet Charity sebagai anak seni, dipaparkan untuk dikongsi bersama peminat dalam buku ini.
"Ia termasuklah foto-foto yang tidak pernah disiarkan di mana-mana medium sebelum ini," katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, gitaris utama, Rosli Mohalim dan Pengurus A&R Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad.
Dalam pada itu, Ramli menambah, buku itu turut mendedahkan rahsia di sebalik kejayaan kumpulan itu untuk terus kukuh di hati peminat.
"Kalau ikutkan hati, ingin sahaja saya kongsi kesemua kenangan indah Sweet Charity dalam buku ini.
"Tetapi disebabkan terhad kepada 64 muka surat sahaja maka kami putuskan untuk letak lebih banyak gambar berbanding teks," katanya yang menjelaskan, buku itu diterbitkan dalam edisi terhad iaitu sebanyak 3,000 naskhah sahaja.
Buku Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi terbitan Rasamusic Sdn. Bhd., edaran Warner Music Malaysia Sdn. Bhd., (Warner), dijual pada harga RM99.90 senaskhah.
Sementara itu, Sweet Charity akan muncul di Hard Rock Cafe pada 19 Jun ini, pukul 10.30 malam.
Sebulan kemudian, mereka akan bergabung dengan Blues Gang dan menggegarkan Stadium Merdeka menerusi Konsert 2 Raksasa, 9 Julai ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: