KEDUA-DUANYA pernah berdepan insiden yang hampir memusnahkan karier masing-masing. Jika Apek menggemparkan peminat apabila ditahan berikutan isu dadah, juara Raja Lawak musim kedua, Nabil, pula mengejutkan peminat dengan kewujudan gambar yang dikatakan memaparkan dirinya bercumbu bersama bekas kekasih, Uqasha.Selepas insiden itu, nama Apek dan Nabil dalam arena seni boleh dikatakan agak senyap seketika, seolah-olah ‘diboikot’ apabila jarang muncul di kaca televisyen mahupun media cetak.
Justeru, pelawak dua generasi ini yang pernah mendapat kepercayaan apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), mahu lebih berhati-hati agar kesilapan serupa tidak berulang. Mereka juga tidak mahu mensia-siakan kemaafan dan peluang kedua diberikan peminat.
Masih ada mak cik yang nak peluk
TAMPIL mengenakan topi dan cermin mata hitam seperti selalu, bicara yang dituturkan bapa kepada Riyadh Aslam, 16, dan Radzin Aiman, 13, ini kedengaran seperti penuh dengan sesalan.
Barangkali peminat sudah melupakan insiden tanggal 18 Jun tahun lalu, namun bagi empunya badan, meskipun luka itu sudah sembuh, tetapi ia masih meninggalkan parut yang berbekas.
“Biarpun saya cuba untuk melupakan apa yang berlaku tetapi parutnya nyata masih berbekas. Mujur pelbagai tawaran yang diterima memberikan semangat untuk saya terus mengorak langkah. Segala tawaran itu bererti saya masih lagi diperlukan dalam industri.
“Saya fikirkan selepas kejadian itu berlaku tidak ada lagi mak cik yang akan peluk saya, tetapi rupa-rupanya masih ada yang sudi meminati. Bagi saya, orang mahu mendekati saya atau tidak bukanlah satu masalah besar. Apa yang penting bagi saya, hubungan dengan peminat dan stesen televisyen tetap terjaga.
“Mungkin apa yang terjadi kepada saya juga berlaku dalam keluarga peminat, justeru mereka begitu mudah melupakan kesilapan yang pernah saya lakukan. Cuma ketika ditahan, apa yang saya fikirkan adalah nasib anak-anak.
"Saya bimbang bagaimana mereka mahu berdepan dengan rakan di sekolah serta masyarakat. Alhamdulillah mereka dilayan dengan baik, malah kehadiran saya juga diterima baik di sekolah mereka,” kata Apek yang bakal muncul dengan drama dan filem seperti Hantu Air, Bujang Terlajak, Raya Tak Jadi serta banyak lagi.
Wajah Apek hanya kembali kelihatan di kaca televisyen apabila dia dipilih menjadi juri program Maharaja Lawak. Ujar pelakon komedi berusia 42 tahun itu, sudah lama dia ditawarkan menjadi pengkritik untuk program Raja Lawak, tetapi terpaksa menolaknya kerana berasakan tidak adil untuk dia mengkritik bakat baru.
Katanya lagi, tawaran Maharaja Lawak diterima kerana kesemua peserta sudah pun mempunyai pengalaman. Justeru, dia tidak berasa bersalah apabila perlu mengkritik.
“Saya dapat tawaran untuk menjadi pengkritik sejak musim pertama lagi tetapi ketika itu saya fikir tidak adil untuk saya komen orang baru seperti peserta Raja Lawak. Saya kasihan melihat wajah mereka, lebih-lebih lagi terpaksa mengkritik depan orang ramai. Sebetulnya saya tidak pandai untuk mengkritik. Kalau saya yang dikritik, saya tidak kisah.
“Bagaimanapun saya terima tawaran daripada Astro setelah melihat peserta yang menyertai Maharaja Laweak semuanya berpengalaman. Saya juga menerima tawaran ini demi menjaga hubungan baik dengan stesen televisyen,” katanya.
Maharaja Lawak kembalikan peminat Nabil
NABIL tiba ke sesi fotografi tepat pada waktu dijanjikan. Sementara menanti ketibaan Apek, banyak yang kami bualkan. Jejaka berasal dari Mambau, Negeri Sembilan ini masih Nabil yang sama - kelakar serta cukup merendah diri. Ketika diangkat sebagai Bintang Paling Popular tiga tahun lalu sikapnya memang begitu. Tebal dengan jiwa Melayu.
Perbualan selama hampir sejam setengah itu menyentuh banyak perkara. Kerjaya, peribadi, perancangan masa depan dan tidak ketinggalan tentunya kisah kontroversi. Bukan cuba mengorek kembali helaian hitam jejaka ini tetapi sekadar ingin menyelami lubuk hatinya selepas episod itu.
Wajahnya serius tatkala membicarakan tindakan kurang bijak pernah dilakukan, walaupun asalnya dia seorang yang gemar berseloroh. Kata Nabil, dia tidak mahu mengulangi kesilapan sama kerana ia bermakna dia cuba ‘membunuh diri sendiri’.
Sikap peminat yang begitu mudah memaafkan tidak mahu diabaikan jejaka berusia 28 tahun ini. Katanya, kali pertama membuat silap, mungkin peminat boleh menerimanya kembali. Tetapi andai kesilapan sama terus diulangi, dia percaya pasti tiada lagi kemaafan diberi.
“Alhamdulillah peluang untuk berpatah balik masih ada. Jika saya tidak melakukan kesilapan itu, mungkin kerjaya saya lebih baik dari sekarang.
“Mungkin kali pertama peminat akan kata saya lalai atau hanyut. Tetapi jika sekali lagi saya lakukan, mereka akan melabelkan saya sebagai seorang artis yang memang berperangai seperti itu.
“Jujurnya, saya amat bimbang apabila isu bercumbu hebat diperkatakan. Saya bimbang periuk nasi terjejas, namun alhamdulillah penerbit tidak takut untuk mengambil saya menjayakan produk mereka. Malah ke mana saya pergi masih ada peminat yang sudi menegur. Ada juga sesetengah yang mungkin tidak suka, tetapi mereka tidaklah sampai mencerca. Mereka sekadar buat tidak tahu atau paling tidak mengelakkan diri daripada saya,” kata Nabil.
Biarpun tawaran kerja tidak putus, namun peminat masih penting buat jejaka ini. Tambah Nabil, tidak wajar untuk seorang artis mengatakan peminat tidak penting buat mereka. Katanya, daripada peminat, akan datangnya tawaran kerja.
“Saya berterima kasih kepada Astro kerana mewujudkan program Maharaja Lawak. Program ini mengembalikan ingatan peminat kepada saya. Mungkin jika tiadanya program ini, nama saya akan senyap begitu saja.
“Bagaimanapun, hati saya berbelah-bagi pada awalnya. Saya jangkakan mesti peminat tidak akan mengundi saya. Saya takut disingkirkan pada minggu pertama. Kalau disingkirkan sekalipun, biarlah dengan cara bermaruah. Jika saya menjadi orang pertama disingkirkan, saya akan jadi penganggur. Malah pengurus saya, Latiff, juga berpandangan sedemikian.
“Kesilapan yang saya lakukan mungkin masih mempengaruhi minda peminat ketika itu. Walaupun kita kelakar, kalau sudah tidak suka, mereka tidak akan ketawa. Sebaliknya dari suka datangnya kelakar. Kalau artis itu mereka suka, apa saja mereka buat, sama ada berjalan atau baru menyebut satu perkataan pun pasti peminat akan ketawa.
“Namun saya amat bersyukur tidak disingkirkan pada minggu pertama. Biarpun ketika itu saya berada pada tangga kelima, saya tetap bersyukur. Alhamdulillah kini saya mampu berada pada lima tangga teratas. Ternyata peminat bersikap lebih terbuka, mereka melihat seorang artis itu pada bakat bukan lagi kisah peribadi mereka,” kata Nabil.
Diam tak diam, sudah tiga tahun Nabil bergelumang dalam dunia seni. Perjalanan singkat itu ternyata banyak mengajarnya, kata Nabil dia kini tidak mahu menyapu apa saja tawaran yang datang.
Mereka yang berpengalaman dalam dunia seni seperti Afdlin Shauki, Ahmad Idham, Mamat Khalid dan ramai lagi banyak menitipkan ilmu buatnya. Daripada mereka, dia belajar untuk lebih bersikap selektif. Mungkin ada yang berpendapat dia masih hijau, justeru tidak layak bersikap sedemikian. Namun Nabil mempunyai jawapannya.
“Saya bukan mahu menolak rezeki, tetapi saya mahu kekal lama dalam industri. Jadi untuk bertahan, saya perlulah bersikap memilih. Saya mahu jadi seperti Rosyam Nor dan Shaheizy Sam. Nama mereka meletup kerana mendapat produk yang benar-benar boleh melonjakkan nama mereka,” katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran Ponti vs Ponti arahan Afdlin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: