Monday, May 2, 2011

Pelajar tahfiz semakin ligat mengutip derma


SEORANG kanak-kanak menghampiri pelanggan sebuah stesen minyak di Shah Alam bagi menjual barangan dan meminta derma baru-baru ini.


SHAH ALAM – Kegiatan sekumpulan remaja yang mendakwa mereka anak yatim bagi mencari dana kebajikan dengan berniaga di khalayak ramai dikesan bergerak aktif di sebuah stesen minyak di Seksyen 9 di sini, sejak awal tahun ini.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati sekurang-kurangnya tiga remaja dalam usia belasan tahun begitu berani mendekati pelanggan stesen minyak tersebut untuk menjual cakera padat (CD) dan pelbagai barangan lain.

Mereka dilihat akan memberi salam kepada pelanggan yang sedang mengisi minyak sebelum memperkenalkan diri sebagai pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah.

Sekiranya pelanggan tersebut enggan membeli barangan jualan, mereka akan merayu untuk mendapatkan sumbangan sebagai derma.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Hafizah berkata, dia bersimpati dengan kanak-kanak terbabit yang berkeliaran menjaja barangan jualan dan menunjukkan resit jualan bagi meyakinkan orang ramai.

“Oleh kerana ragu-ragu dengan kegiatan itu, saya pernah beberapa kali cuba hubungi nombor telefon pusat kebajikan seperti yang tertera pada resit itu tetapi talian sentiasa sibuk.

“Mungkin ini salah satu taktik untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya juga tertanya-tanya mereka ini bersekolah atau tidak lagi kerana mereka mendakwa setiap hari berulang-alik dari Kedah ke Shah Alam,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: