Tuesday, May 17, 2011

‘One Nation Emcees’



Setiap kali membuat persembahan, One Nation Emcees (O.N.E) yang dianggotai Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), Mohd Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) pasti memukau penonton.

Idea kreatif kumpulan yang memperjuangkan irama hip hop itu terserlah sejak berada dalam program realiti nyanyian, Gangstarz musim kedua, hingga menjulang gelaran juara.

Kehadiran Mimi sebagai satu-satunya ‘bunga’ yang memiliki suara seksi dan lincah di pentas menambah aset O.N.E.

Sedang hangat di corong radio dengan lagu Syukur (Kau Yang Satu) ketika ini, O.N.E membuktikan produk keluaran Gangstarz juga mampu bersaing dengan penyanyi realiti lain.

Tahun ini, menyaksikan O.N.E sudah ada perancangan tersendiri bagi memastikan kehadiran mereka dalam industri muzik bukan semusim dua.

Mewakili dua yang lain, Mimi berkata, jadual O.N.E saat ini padat dengan pelbagai agenda seni termasuklah tawaran persembahan yang tidak pernah putus.

“Kami kini giat mempromosikan ‘single’ terbaru berjudul Psiko dan telah menyiapkan ‘single’ kedua, Jika dengan penampilan khas Lah VE.

“Selain itu, kami juga akan muncul dengan klip video kedua-dua lagu itu sebagai persediaan sebelum tampil dengan album kedua tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Mimi, kehadiran album kedua kelak diharap dapat memanjangkan hayat mereka dalam industri muzik.

Berkaitan pengunduran pengasas O.N.E, Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) tahun lalu akibat masalah kesihatan, tidak mematahkan semangat anggota lain untuk terus maju.

“Walaupun Kozae tidak bersama O.N.E lagi, kami tetap menganggapnya sebagai kawan dan menghormati keputusannya.

“Wang muat turun lagu juga dibahagikan secara sama rata dengan Kozae memandangkan setiap lagu dalam album pertama mengandungi suaranya,” katanya.



Tiru Black Eyed Peas?

Sejak awal kemunculan O.N.E, ramai yang mengaitkan mereka dengan kumpulan popular Barat, Black Eyed Peas.

Selain konsep yang hampir sama menjadi pegangan, formasi seorang wanita dan dua lelaki persis kumpulan kegilaan ramai itu.

Perumpamaan sedemikian disambut sebagai pujian oleh O.N.E, tetapi langsung tidak terdetik di hati mereka untuk meniru Black Eyed Peas.

“Kalau dari pencapaian, kami terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan Black Eyed Peas. Mungkin peminat melihat persamaan dari segi persembahan kami yang sentiasa bertenaga.

“Namun, O.N.E ada identiti sendiri yang sangat berbeza seperti menerapkan unsur tradisional dalam lagu kami,” katanya.



Terjun ke layar perak

Pernah menolak tawaran berlakon sebanyak tiga kali, akhirnya Mimi mengalah dengan menerima watak sebagai Maya Akhtar dalam filem Klip 3GP.

Menurut Mimi, dia terpanggil untuk berlakon dalam filem arahan Aidil Fitri itu kerana memaparkan gejala penyalahgunaan video yang semakin berleluasa ketika ini.

“Pada mulanya, watak ini dirasakan terlalu berat dan dalam masa sama saya tidak mahu mengganggu jadual O.N.E.

“Namun, setelah meneliti skrip rasanya tidak salah saya mencuba bakat sebagai pelakon pula,” katanya.

Mimi berkata, dia agak risau apabila memikirkan adegan ranjang yang dilakonkan dalam filem yang dijangka ke pawagam Oktober ini.

“Saya harap penonton tidak salah faham, kerana sebagai pelakon baru saya berusaha memenuhi tuntutan lakonan,” katanya.

Zydee dan Jojoe akan turut membuat penampilan khas dalam filem tersebut yang menjadikan lagu Psiko sebagai OST.

Bagaimanapun, kata Mimi, lakonan hanyalah bidang sampingan kerana tumpuan utamanya tetap kepada O.N.E.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: