Wednesday, May 11, 2011

Norman, Memey nikah September

pix_gal0
Banyak pihak ingin taja perkahwinan pasangan pelakon ini

HANYA tinggal empat bulan saja lagi sebelum pasangan secocok, Norman Hakim dan Memey diijabkabulkan. September bakal menjadi bulan cinta mereka sekali gus melenyapkan desas-desus mengenai pernikahan yang dikatakan tertangguh dek komitmen terhadap tugas.Jika sebelum ini mereka lebih senang mendiamkan diri disebabkan belum mendapat tarikh bersesuaian, kini baik Norman atau nama sebenar Mohamed Norhakim Zaidon, 35 dan tunangnya, Suhaizah Suhaimi, 23, sudah betah berkongsi cerita.
Seperti diakui Norman, persediaan hari bahagia mereka diserahkan kepada Memey memandangkan si gadis lebih memahami konsep majlis yang diimpikan mereka berdua, tambahan pula jadual lakonannya masih padat hingga akhir tahun ini.

“Sebenarnya kedua-dua belah pihak masih membincangkan soal kenduri dan segala perkara berkaitan. Cuma untuk persediaan nikah dan persandingan saya serahkan kepada Memey. Persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun secara berdikit-dikit.

“Kalau soal gementar, perasaan itu lumrah dialami setiap individu yang akan melangkah ke fasa seterusnya. Tetapi dari segi tanggungjawab, saya sudah bersedia memikul amanah itu,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia The Pearl Centre.

Aura bahagia jelas terserlah pada wajah dua bakal pengantin itu yang tampak secocok mengenakan persalinan rona hijau epal sedondon, yang juga warna tema majlis, tatkala mengiringi ibu masing-masing, Kamariah Kaman (ibu Norman) dan Norlela Abdul Rahman (mama Memey) ke acara berkenaan.
Bagi Memey, sekali pun urusan pengendalian keseluruhan majlis bahagia mereka nanti dipertanggungjawabkan kepadanya, setiap perincian tetap mengambil kira pendapat insan tersayang, terutama Norman, dan keluarga kedua-dua belah pihak sama ada soal konsep majlis hingga lokasi acara.

“Kalau ikut persetujuan, majlis pernikahan akan diadakan di kediaman keluarga saya di Kota Tinggi, begitu juga majlis persandingan. Saudara mara sebelah saya ramai, jadi ibu bapa saya mahu majlis ini nanti menghimpunkan seluruh anggota keluarga kami.

“Hingga kini pun saya dibantu ibu yang setia menjadi penasihat. Sebenarnya sukar juga mahu memikirkan segala perkara, apa pun syukur kerana abang (Norman) tetap memberikan pendapat atau cadangan supaya saya tidak pening kepala,” katanya yang turut ‘terbang’ ke Bandung awal tahun ini memilih fabrik untuk busana pengantin.

Masih belum menentukan pereka yang akan diamanahkan memberi sentuhan terhadap persalinan hari bersejarah mereka, bagaimanapun Memey berterima kasih kepada rakan yang sudah menyatakan keinginan mereka untuk menaja majlis itu nanti.

Bukan terlalu memilih sebaliknya mereka tidak mahu ada di kalangan teman, termasuk pereka, berkecil hati. Ia membuatkan masing-masing cukup teliti memperincikan pembahagian keperluan atau tugasan supaya setiap pihak sama-sama mendapat peluang pada majlis itu nanti.

“Sebenarnya sudah ramai yang menghubungi kami fasal penajaan. Memang kami sangat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian mereka. Cuma kami harap tiada yang terguris jika ada di antaranya terpaksa ditolak kerana kalau boleh kami mahu semua turut serta.

“Apa pun kami perlu lihat kesesuaian konsep majlis selain beberapa perkara lain. Sebagai bakal pengantin, sudah tentu saya terharu kerana ramai mahu merealisasikan pernikahan dan persandingan seperti kami impikan - berlangsung dengan meriah serta bermakna,” katanya.

Sedia bergelar isteri

MENGIMPIKAN persandingan dalam taman yang dikelilingi bunga-bungaan segar, dedah aktres jelita itu lagi, pemilihan konsep sebegini dirasakan cukup romantik, malah menjadi kenangan terindah untuk dikongsi hingga ke anak cucu.

“Boleh dikatakan persiapan kami sudah hampir 50 peratus selesai. Namun bagi persandingan di sebelah keluarga bakal mentua, tarikh belum dipilih lagi. Kami hanya menyerahkan kepada keluarga kerana mereka lebih mengetahui yang terbaik,” tambahnya lagi sambil tersenyum manis.

Diminta berkongsi debarannya ketika ini, kata Memey, sebagai anak gadis sudah pasti saat hampir berpisah dengan keluarga seterusnya menjalani fasa sebagai isteri sesuatu yang asing, namun ia dianggap sebagai pengalaman yang ditempuh semua insan.

“Ya, saya sudah bersedia menggalas segala cabaran itu. Memang sebagai anak manja sedikit sebanyak saya pasti merindui keluarga, namun bagi saya segala situasi atau rasa berbelah bagi akan dilalui semua gadis.

“Banyak suka-duka yang sudah kami lalui. Apa yang boleh dikatakan, saya bersyukur dipertemukan dengan insan cukup penyayang, memahami dan menerima saya seadanya. Semoga segala urusan mendirikan masjid ini dipermudahkanNya,” katanya sepenuh harapan.

Ditebak persoalan bakal menjadi ibu segera kerana lelaki yang bakal dinikahi ialah bapa tunggal kepada tiga cahaya mata, dengan berhati-hati Memey menyusun kata supaya tiada hati terguris dek jawapannya. Katanya gelaran itu adalah anugerah tidak ternilai dan dia sekadar menumpang kasih.

“Inilah jodoh saya dan saya reda dengan situasi ini. Setakat ini hubungan saya dengan anak-anaknya tetap rapat. Mereka punya ibu dan itulah hakikat yang tidak mungkin boleh disangkal sesiapa, malah saya menghormati hak itu,” ucapnya penuh bermakna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: