Sunday, May 22, 2011

Nami nan romantis

pix_middle

SEBAIK saja kaki mencecah bumi Korea Selatan, penulis disapa dengan angin dingin yang seakan-akan menggigit sehingga ke tulang dan memaksa baju tebal dikeluarkan.

Biarpun jika mengikut kalendar peredaran musim negara yang terkenal dengan ginseng itu memasuki musim bunga, suhunya masih rendah sehingga ada kalanya mencecah 6 darjah Celsius.


Namun kesejukan itu tidak sedikitpun memadam keterujaan penulis apabila membayangkan destinasi pertama yang bakal dituju iaitu Pulau Nami.

  • Foto

    BASIKAL...antara kemudahan disediakan bagi menjelajah pulau indah ini.

  • Foto

    PULIHARA...semua hiasan di pulau itu menggunakan bahan terpakai.

  • Foto

    IDENTITI...gambar pelakon drama Winter Sonata memenuhi galeri yang disediakan di pulau itu.

  • Foto

    TERPAHAT...rombongan bergambar kenangan sebelum meninggalkan Pulau Nami.

  • Foto

    CANTIK...lukisan diletakkan sepanjang jalan bagi menambah keindahan jalan.

Seakan-akan terbayang keindahan pulau tidak berpenghuni itu yang menjadi lokasi penggambaran drama Winter Sonata pada 2002 yang menjadi kegilaan penggemar drama Korea di seluruh dunia.


Kunjungan penulis ke Korea adalah mengikuti rombongan kakitangan Harian Metro/Metro Ahad selama lima hari empat malam hasil sumbangan syarikat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).


Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ke Pulau Nami mengambil masa kira-kira dua jam dan sepanjang perjalanan, kebanyakan peserta rombongan mengambil peluang untuk melelapkan mata.

Apa tidaknya, masa tidur normal kami terganggu kerana pesawat Korean Air yang dinaiki tiba di destinasi seawal jam 4 pagi, sekali gus memaksa mata untuk berjaga lebih awal.


Walaupun masing-masing melayan perasaan mengantuk, pemandu pelancong tetap memberi penerangan ringkas mengenai tempat yang bakal dituju.

Untuk ke Pulau Nami, kami perlu menaiki feri di Pelabuhan Gapyeong untuk menyeberangi Sungai Han selama lebih kurang 10 minit dan sepanjang itu kami dihidangkan dengan pemandangan indah.


Ferinya cantik dan moden dengan dihiasi bendera negara di dunia yang pelbagai corak, malah pelancong di atas feri kelihatan 'sibuk' memetik kamera masing-masing merakam keindahan Sungai Han.


Drama Winter Sonata sememangnya meninggalkan impak besar hinggakan pulau yang satu ketika dulu langsung tidak dikenali secara tiba-tiba menjadi masyhur.


Sejak itu kebanjiran drama Korea menjadi satu fenomena, malah drama Full House, My Girl, Stairway to Heaven, Love Story in Harvard dan Autumn in My Heart menjadi kegilaan ramai.


Mungkin ramai tidak tahu pulau indah itu sebenarnya bukan semula jadi, sebaliknya terhasil daripada pembinaan Empangan Cheongpyeong pada 1944.


Saat feri menghampiri jeti dan kaki melangkah mula menyusuri pulau sekitar 460,000 meter persegi itu, mata seakan-akan terpaku melihat keindahannya.


Walaupun pokok yang menghiasi jalan kelihatan seperti mati dan tinggal rangka, keindahannya tetap terserlah kerana ia ditanam tersusun di kiri dan kanan jalan.


Pulau diberi nama sempena Jeneral Nami, pahlawan muda zaman Dinasti Choseon yang mati pada usia 26 tahun itu dikatakan milik orang perseorangan dan bukan kerajaan Korea.


Berjalan di sepanjang jalan di pulau itu, pengunjung seolah-olah dapat merasakan keasyikan kisah percintaan watak utama drama bersiri popular itu.


Malah entah mengapa babak di mana Kang Joon-Sang lakonan Bae Yong Jun dan Yu-Jin (lakonan Choi Ji Woo) berbasikal sambil bermadu kasih jelas terlayar di mata.


Ada pengunjung tidak melepaskan peluang berbasikal bersama pasangan masing-masing, sama seperti babak lakonan dan menghayati saat romantis itu.


Bukan hanya poster pelakon drama itu memenuhi pulau, malah patung gangsa menyerupai pasangan romantis itu turut dibina.


Masa paling sesuai ke pulau itu adalah ketika musim bunga dan luruh kerana landskapnya berubah menjadi lebih indah dan romantis dengan bunga dan daun pelbagai warna menghiasi muka buminya.


Di segenap pelusuk pulau itu dipenuhi pengunjung dan bunyi petikan kamera juga kedengaran hampir tidak berhenti kerana pengunjung tidak melepaskan peluang merakam detik terindah itu.


Pulau yang dibuka kepada pengunjung sepanjang tahun bermula jam 8 pagi hingga 9 malam itu hanya mengenakan bayaran KRW5,000 (RM15) bagi dewasa, KRW3,500 (RM10.50) dan kanak-kanak KRW2,500 (RM7.50).


Tempoh dua jam cukup untuk menjelajah pulau itu, namun bagi yang 'gilakan' drama bersiri itu, mungkin lebih lama masa diperlukan bagi menghayati setiap detik terindah seperti dirakam menerusi drama itu.


Riak puas jelas kelihatan di wajah pengunjung tatkala meninggalkan pulau berkenaan dan bagi yang mengunjunginya bersama pasangan, pastinya detik indah itu kekal terakam di kotak memori.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: