![]() |
| SUASANA malam di tapak perkhemahan Eurovac 2011 di Austria. |
EROPAH sebagai titik pertembungan iklim panas dan sejuk menyajikan keindahan tercantik yang ada di muka bumi. Keunikan landskap alam, sejarah dan tamadun melengkapkan ia sebagai destinasi impian semua pelancong.
Namun untuk menyelongkar setiap keindahan yang ada di benua yang dibentuk oleh lebih 50 buah negara itu bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Kelapangan masa yang ada mungkin sekadar cukup untuk melihat beberapa buah negara.
Untuk memaksimumkan sepenuhnya peluang percutian, pakej melancong ke Eropah menaiki motorhome merupakan konsep terbaru yang ditawarkan di negara ini.
Pakej mengembara ke lapan buah negara yang ditawarkan oleh Eurovac Management pada harga RM13,500 itu membuktikan kejayaan anak muda tempatan menyediakan cita rasa baru bagi yang gemar melancong.
Percutian menaiki kenderaan yang dilengkapi kemudahan seperti dalam rumah itu mempunyai banyak kelebihan berbanding penginapan pindah-randah dari satu hotel ke hotel lain. Dengan kata lain, motorhome membolehkan seseorang menikmati percutian dengan lebih selesa dan tidak memenatkan.
Bagi yang rimas untuk berkemas barang setiap kali berpindah hotel atau sering tertinggal barang, masalah itu langsung tidak timbul sepanjang pengembaraan dengan motorhome.
Dengan memahami asas pengendalian yang cukup mudah, ruang kabin yang boleh dikongsi dengan empat atau lima penghuni itu tetap menawarkan percutian yang selesa.
Peserta, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir berkata, percutian berkonsep hotel bergerak itu sudah lama dinantikan mereka sekeluarga untuk melancong dalam suasana lebih akrab.
Katanya, dengan menaiki kenderaan yang dilengkapi dengan segala keperluan asas termasuk peti sejuk dan pemanas itu, peserta dapat menikmati percutian dengan lebih selesa.
"Ia memberi kebebasan untuk kita bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain atau singgah di mana-mana sahaja tempat mengikut keperluan.
"Jika laluan dan aturcara Eurovac ini dapat diperkemaskan lagi, saya percaya percutian ini akan menjadi trend baru di negara kita," ujar bekas Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia itu.
Sementara itu, Abdul Naser Abdul Rahman, peserta yang ditemani isteri dan dua orang anak dari Kajang, Selangor berkata, pemilihan melancong dengan motorhome bukan sekadar memberi lebih keselesaan malah mendidik anak-anak menjadi lebih berdikari.
"Peluang seperti ini memberi banyak pendedahan kepada mereka untuk belajar sesuatu yang selama ini tidak pernah diketahui," katanya.
Antara kenangan manis yang dikongsi Abdul Naser sepanjang trip itu adalah pengalaman membeli-belah 'tanpa sedar' selama empat jam di sebuah gedung di Saravalle, kira-kira 80 kilometer dari Milan.
"Kami ke gedung yang dipenuhi dengan lambakan produk berjenama itu selepas disyorkan oleh pemandu teksi.
"Harga yang ditawarkan cukup murah. Misalnya sehelai kemeja yang mencecah harga RM400 di Malaysia dijual pada harga RM80 sehelai," katanya.
Sementara itu, bagi Fairus Mohd. Tabiee yang merupakan rakan kongsi kepada Muhammad Ikhmal, pengenalan konsep motorhome itu antara lain bertujuan untuk mendidik dan memupuk semangat 'mengembara' di kalangan rakyat di negara ini.
"Dengan maklumat yang kami sediakan, peserta boleh memilih lokasi yang ingin dilawati di sesebuah negara asalkan mereka tahu lokasi pertemuan semula seperti yang dipersetujui.
"Konsep ini bertujuan mendidik peserta supaya tidak terlalu bergantung kepada pemandu pelancong dan memiliki kebebasan semasa keluar melihat negara orang,"katanya.
Untuk mengikuti perkembangan trip Eurovac 2011 yang seterusnya, lawati www.eurovac.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: