Tuesday, May 10, 2011

Minum petang Hari Ibu


Normala Hamzah (kiri) bertukar dokumen bersama Nurulnaha Abdul Razak sambil diperhatikan Ketua Pengarang Utusan Karya Sdn. Bhd., Badrul Azhar Rahman pada majlis sidang media sempena Hari Ibu di Bangi, Selangor, baru-baru ini.


IBU merupakan wanita pertama yang hadir dalam kehidupan setiap insan. Malah, sejak dari dalam kandungan lagi, ibulah insan yang cukup akrab dengan kita.

Malah ibu juga merupakan guru pertama yang menjadi pendidik dalam mengenal erti sebuah kehidupan.

Setiap kali hadirnya Mei, pasti momen-momen indah meraikan ibu tercinta diabadikan oleh hampir setiap anak kepada ibu mereka kerana inilah satu-satunya bulan yang dikhaskan untuk meraikan para ibu sempena sambutan hari ibu.

Menyedari kepentingan diri seorang ibu, majalah Wanita yang merupakan anak syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. akan menganjurkan satu majlis minum petang sempena sambutan Hari Ibu yang akan diadakan 28 Mei ini dengan kerjasama syarikat kosmetik, Nu Della Sdn. Bhd.

Menurut Pengurus Kanan Unit Majalah Keluarga, Normala Hamzah, penganjuran majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu dan akan diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur.

"Pada majlis itu, tetamu yang hadir diraikan adalah terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan wanita yang kurang bernasib baik,''ujarnya pada majlis sidang media yang diadakan di butik Ainaa Alia di Bangi,Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya majlis yang julung kali diadakan ini menjanjikan kelainan daripada sambutan Hari Ibu sebelum ini kerana pendekatan yang digunakan lebih bersifat motivasi diri.

"Pada majlis tersebut, kita akan mengumpulkan lebih 200 orang ibu tunggal bersama anak-anak mereka untuk diraikan dalam majlis yang penuh ceria.

"Kali ini kesemua peserta akan diraikan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik, tetapi pada masa yang sama mereka juga akan diberikan motivasi sebagai dorongan untuk menghadapi kehidupan yang lebih ceria,'' ujarnya.

Selain itu katanya, objektif utama seminar adalah untuk memberi peluang kepada ibu tunggal dan wanita yang kurang bernasib baik di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor menghadiri majlis ini supaya mereka dapat diraikan dalam suasana yang gembira.

Pada masa sama, katanya, majlis tersebut akan diisi dengan segmen motivasi, pertunjukan fesyen dan juga tatacara solekan.

Malah lebih menarik, penganjuran majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran persembahan penyanyi terkenal Aishah dan juga kehadiran penyanyi cilik, Afiq (Idola kecil 1) dan Dayana (Idola kecil 2) .

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pembangunan Waita, Keluarga dan Masyarakat (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd.

Lebih menarik, turut dijemput beberapa wanita yang kisah mereka pernah tersiar di dalam majalah Wanita menerusi segmen Kongsi Rasa untuk diraikan bersama.

"Penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi juga kita akan menyelitkan segmen motivasi untuk menyuntik semangat ibu-ibu tunggal ini dalam meneruskan kehidupan,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Ainaa Aila Sdn. Bhd, Nurulnaha Abdul Razak pula menjelaskan, program seumpama itu merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya terhadap masyarakat khas kaum ibu yang selama ini telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wanita, isteri dan ibu di dalam rumah tangga.

"Acara ini lebih merupakan amal jariah bagi menghiburkan dan meraikan para wanita yang kurang bernasib baik.

Malah, dalam majlis beliau sendiri akan berkongsi pengalaman dan motivasi ketika mula-mula menceburi diri dalam bidang perniagaan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, bolehlah menaja meja yang masing-masing bernilai masing-masing bernilai RM2,000 dan RM1,000.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut berkenaan penajaan boleh menghubungi melalui talian 03-89255002 atau 03-89262999. sambungan ke 468/476.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: