Saturday, May 14, 2011

Mesti tonton: Pemburu si pontianak

pix_gal0
for MESTI TONTON

Filem terbaru Hollywood sarat aksi mendebarkan Filem: Priest Genre: Aksi Seram
Pengarah: Scott Charles Stewart
Pelakon: Paul Bettany, Karl Urban, Cam Gigandet, Maggie Q dan Lily Collins
Tayangan: Mulai 12 Mei

MENGGABUNGKAN elemen fiksyen sains, fantasi, seram dan apokalips, filem Priest arahan Scott Stewart berkisar perjalanan seorang paderi yang juga bekas pemburu pontianak untuk membebaskan anak saudaranya.

Diangkat daripada novel grafik bersiri tulisan Hyung Min-Woo, kisah suspen-thriller yang menjurus kepada nilai persaudaraan selain pembalasan dendam nyata padat dengan aksi. Justeru, elemen dramanya kurang diberikan penekanan.
Jika anda mengharapkan babak romantik sebagai selingan, filem ini bukan pilihan namun sekiranya penonton mahu melihat aksi pertarungan, Priest padat dengan babak mendebarkan yang dijalin sempurna.

Lebih menarik apabila ia dihasilkan sepenuhnya dalam format 3D, yang menampilkan impak pergerakan yang begitu hidup serta dramatik terutama ketika serangan pontianak dan pembunuhan.

Cuma babak pembukaan agak panjang dengan penonjolan animasi, barangkali sengaja diadakan untuk menceritakan senario sebenar peperangan antara manusia dan pontianak, hingga mereka bermusuhan berabad lamanya.

Sebelum menonton filem ini, yang terbayang di fikiran adalah keganasan pontianak penghisap darah namun hakikatnya ia agak berbeza daripada beberapa filem pontianak terdahulu kerana lebih menjurus terhadap pergolakan diri seorang paderi.

Paul Bettany selaku Priest terpaksa melupakan sumpahnya terhadap gereja semata-mata mahu menyelamatkan anak abangnya, Lucy, lakonan Lily Collins daripada cengkaman ketua pontianak, Black Hat (Karl Urban).

Dia dibantu teman lelaki gadis itu, Syerif Hicks (Cam Gigandet) serta seorang teman seperjuangannya lakonan Maggie Q, yang pada awalnya diminta ketua gereja untuk membawanya pulang.

Mereka terpaksa menempuh perjalanan sukar merentasi padang pasir untuk menjejak Lucy yang mahu dijadikan korban dan hakikatnya Black Hat juga punya agenda sendiri mahu ‘mengenakan’ Priest yang pernah menjadi rakan karibnya.

Seperti filem Barat lain, ada di antara babak sudah mampu dijangka serta klise hingga mudah menyamakannya dengan filem terdahulu namun Priest cuba lari daripada tanggapan itu menerusi gabungan animasi, 3D dan teknik janaan imej (GCI) sempurna.

Sekalipun kronologi kisah penuh debaran, mainan perasaan setiap watak kurang ditonjolkan apabila tumpuan lebih kepada aksi pertarungan serta misi mencari Lucy, sedangkan ia mampu meruntun perasaan jika elemen dramanya dikupas lebih baik lagi.

Apatah lagi pada akhir cerita terbongkar rahsia di mana Lucy sebenarnya adalah anak kandung Priest sekali gus membuatkannya sanggup berpaling tadah lari daripada gereja demi darah daging.

Sesekali unsur humor diselitkan terutama menerusi watak kalut Syerif Hick yang dilihat seakan cuba menyeimbangkan karektor Paul Bettany yang sentiasa serius, manakala Maggie Q tetap seperti filem aksinya sebelum ini - lasak dan pantas bertarung.

Pada babak terakhir, antara yang menarik tentu saja pertarungan Black Hat dan Priest di atas kereta api, begitu juga dengan aksi bermotosikal di tengah padang pasir untuk menghalang kenderaan yang membawa sekumpulan pontianak.

Sekiranya anda peminat filem suspen thriller yang padat aksi pertarungan, Priest yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 Mei ini pastinya memenuhi selera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: