Wednesday, May 25, 2011

Menolak hukum Allah

KEHADIRAN golongan mak nyah dalam masyarakat adalah satu realiti yang tidak dapat disangkal.

Malahan hari ini, peratusan mereka semakin bertambah malah jangan terkejut sekiranya golongan itu itu turut mempunyai persatuan sendiri. Ia sebagai usaha menuntut hak sama rata di samping diberi ruang membuktikan kemampuan.

Bagi merealisasikan impian mereka untuk menjadi wanita, golongan itu sanggup bertindak melampaui batas dengan melakukan pembedahan pertukaran jantina semata-mata ingin memenuhi kehendak naluri masing-masing.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka telah menolak hukum Allah yang terang-terangan menjadikan mereka seorang lelaki ketika dilahirkan ke dunia.

Dari sudut agama, penampilan golongan mak nyah itu jelas hukumnya haram sebagaimana berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW.

Antaranya, daripada Ibnu Abbas r.a. Beliau berkata: "Bahawa Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai dan meniru kaum lelaki (Hadis Riwayat Bukhari)."

Hal ini turut disokong oleh Juara Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan.

Katanya, dari sudut pandangan agama, isu hak manusia sepatutnya tidak wujud memandangkan hukum itu adalah ketetapan Tuhan dan bukannya ciptaan manusia.

Ini bermakna manusia tiada hak untuk melawan hukum tersebut. Tetapi diberi pilihan sama ada menuruti perintah Tuhan itu ataupun mengingkarinya (sebagai umar Islam kita wajib turuti perintah Allah).

"Dalam hal ini walaupun hukumnya haram tetapi bagi sesetengah kes ada yang dibolehkan dan contoh yang paling senang ialah khunsa.

"Khunsa merupakan individu yang mempunyai dua alat kelamin. Jadi, mereka berhak memilih untuk menjalani kehidupan berdasarkan kehendak yang menjurus sama ada lelaki ataupun perempuan tetapi seorang lelaki yang sengaja mengubah jantina sudah pasti hukumnya haram.

"Bagi golongan mak nyah, mereka sebenarnya mempunyai fizikal lelaki. Cuma jiwa dan naluri mereka sahaja yang cenderung ke arah perempuan. Bagaimanapun mereka tidak diberi hak untuk memilih mana-mana jantina yang mereka suka,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah beliau, terdapat sebuah lagi hadis yang bermaksud: "Daripada Atha, daripada seorang lelaki dari Huzail telah berkata: "Aku berada di sisi Abdullah bin Amru Al-As dan dia telah melihat Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal sedang meniru cara berjalan seperti seorang lelaki. Maka berkata Abdullah, "Siapa dia?" "Dia ialah Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal," Maka berkata Abdullah: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bukan daripada golongan kami sesiapa dalam kalangan wanita yang menyerupai lelaki, begitulah juga lelaki yang menyerupai wanita." (Hadis Riwayat Ahmad).

Tegas Muhammad Asyraf, sebagai manusia dan sebagai khalifah di muka bumi ini umat Islam tidak disuruh mengikuti naluri. Tetapi hendaklah mengikuti iman dan takwa.

Oleh yang demikian, bagi golongan mak nyah mereka seharusnya mendorong diri untuk berlawan naluri yang bertentangan itu.

Mereka juga seharusnya membuat pilihan yang terbaik buat diri masing-masing.

Mengulas lanjut, Muhammad Asyraf berkata, mereka merupakan satu golongan yang paling kuat berpegang pada prinsip naluri di samping golongan yang dapat mempengaruhi orang disekeliling mereka.

"Percaya atau tidak, mereka ini merupakan golongan yang paling susah untuk ditegur kerana segala teguran yang diberikan hanyalah seperti 'mencurah air di daun keladi'.

"Mereka ini juga merupakan individu berpengaruh kerana mereka mampu mempengaruhi orang lain.

"Bagaimanapun Insya-Allah satu hari nanti mereka akan dibukakan pintu hati untuk bertaubat kerana bagi mereka yang telah melakukan pembedahan pertukaran jantina, sekiranya mereka meninggal dunia, mereka tetap akan dimandi, dikafan dan serta disolatkan sebagai seorang lelaki,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: