Sunday, May 22, 2011

Memori 50-an tarik pelanggan


KAFE Kasih Bonde boleh memuatkan 200 pelanggan pada satu-satu masa.


MELANGKAH masuk ke kedai makan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor ini, irama lagu-lagu klasik 1950-an pantas menangkap gegendang telinga. Ia turut mengingatkan kepada zaman kegemilangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Di dinding restoran, terpampang gambar P. Ramlee dan Saloma. Terdapat juga alatan muzik seperti gramofon yang menjadi kemegahan pada zaman itu. “Sememangnya restoran ini mampu mengimbau kenangan kepada zaman P. Ramlee. Lihatlah gramofon dan gambar-gambar seniman itu di sini,” Aziera Hazman, 18, memulakan cerita. Aziera ialah anak kepada pemilik Kafe Kasih Bonde, Rozita Mohd. Darus, 43, yang dipanggilnya bonda. Menurut Aziera, gaya klasik restoran itu adalah ilham ibunya yang mendapat inspirasi selepas mengumpul barangan antik seperti seterika, gong dan mangkuk tingkat.

Klasik


SALINAN kad pengenalan P. Ramlee diperoleh pemilik daripada seorang rakannya.


“Bahkan jam dinding klasik serta bingkai gambar ketika bonda berkahwin juga sengaja digantung. “Warna gambar hitam putih dengan bingkai kayu jati dengan ukiran bunga itu menyuntik keterujaan setiap kali teringat zaman dulu-dulu,” katanya sambil membelek telefon lama yang masih lagi berfungsi. Kata Azeira, ibunya bukan seorang peminat tegar filem atau lagu P. Ramlee tetapi kecintaannya terhadap seni zaman dahulu memang tinggi. Semestinya restoran ini banyak menggunakan elemen klasik. Selain warna coklat, elemen kayu jati boleh dilihat di kaunter bayaran, bingkai gambar serta pondok khas permainan congkak. “Walaupun kipas dan lampu lebih moden, ukiran bunga timbul dan warna coklatnya mirip ke arah gaya klasik. “Malah, lantai kafe ini juga menggunakan material batu marmar campuran warna coklat dan krim,” terang Aziera.

Karaoke


KAMERA dan telefon lama yang masih berfungsi.


Menjengah ke setiap ceruk Kasih Bonde, pasti ada hiasan lama yang menyerikan ruang. Di sesetengah sudut, pelanggan akan berasa seolah-olah berada di muzium mini. Jelas Aziera, kebanyakan barangan antik itu diperoleh ibunya yang tidak lokek berbelanja demi minatnya itu. “Semua barangan antik ini dibeli dari kedai barangan antik di Perak dan Melaka. Gambar-gambar lama, bingkai dan salinan kad pengenalan P. Ramlee pula bonda beli daripada kenalan rapatnya. “Kesemua barangan itu dijaga rapi. Dalam seminggu sebanyak dua kali pekerja diarahkan mengelap habuk dan memastikan ia tersusun cantik,” terang Aziera. Duduk di ruang berhawa dingin di kafe ini, pelanggan seakan-akan berada di sebuah muzium. Mata sudah tentu terleka memerhatikan pelbagai koleksi seperti bekas rokok, majalah lama dan tepak sireh. Terdapat juga beberapa buah almari lama yang mempunyai pintu kaca yang dibeli khas untuk menyimpan dulang dan mangkuk tingkat.


MAJALAH Wanita ialah antara penerbitan yang popular dari dahulu sampai sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: