Tuesday, May 24, 2011

Membongkar tradisi, animisme


Adat perkahwinan Orang Asli turut dipamerkan di Muzium Negara.


SEMEMANGNYA menarik melihat pasangan suami isteri dari Iraq mencuba kaedah sumpitan - antara aktiviti sempena Pameran Orang Asli 2011 yang sedang berlangsung di Muzium Negara.

Ternyata pameran yang bermula pada 20 April lalu menawarkan tarikan tersendiri sehingga menggamit pelancong singgah di Muzium Negara untuk melihat sendiri keunikan cara hidup Orang Asli di negara ini.

Tentunya bukan Sabah Ali dan Amel Ali sahaja yang mahu tahu tentang masyarakat Orang Asli yang membentuk 0.01 peratus daripada penduduk di Malaysia. Kebanyakannya mendiami beberapa kawasan mengikut demografi kumpulan kaum masing-masing.

Kaum Negrito tertumpu di bahagian utara Semenanjung bersempadan Thailand iaitu di Hulu Perak, Baling, Kedah dan Jeli di Kelantan. Orang Senoi pula mudah ditemui di bahagian tengah terutama di kaki banjaran gunung termasuk di Perak, Kelantan, Pahang dan Selangor. Melayu Proto di persisiran pantai di Johor.

Hakikatnya, keunikan Orang Asli yang jumlahnya hanya 180,000 orang itu tidak dapat dikongsi dengan kelompok masyarakat lain lantaran mereka memilih untuk tinggal jauh di pedalaman.

Lantas tidak banyak yang diketahui tentang hasil kerja mereka, apa anutan kepercayaan serta adat resam yang menjadi pegangan kelompok masyarakat itu selain selain tatacara hidup yang begitu tersendiri dan hanya mereka yang mengerti.

Apatah lagi untuk memujuk Orang Asli tampil di khalayak bukan satu kerja yang mudah. Mereka sukar menerima pembangunan selain terlalu terikat dengan kepercayaan roh dan semangat menyebabkan ada keistimewaan masyarakat Orang Asli terkubur begitu saja.

Tidak mahu generasi muda buta tentang kewujudan Orang Asli, maka Jabatan Muzium Malaysia di bawah teraju Datuk Ibrahim Ismail menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) menganjurkan Pameran Orang Asli 2011.

Matlamat kedua-dua jabatan itu hanya satu - berkongsi dengan dunia perihal keunikan dan keistimewaan Orang Asli di Malaysia.

Ibrahim ketika ditemui begitu bersemangat dan teruja berkongsi cerita tentang pameran yang akan berakhir pada 20 Jun ini. Sebagai Ketua Pengarah Muzium Negara, beliau percaya pameran seumpama itu tidak boleh ditangguh lagi dalam keadaan generasi muda semakin jauh daripada mengenali masyarakat istimewa itu.

''Fokus kita kepada hal-hal berkaitan roh dan semangat sebagai asas kepercayaan Orang Asli. Adat resam serta cara hidup seharian mereka turut mendapat perhatian pihak kami,'' katanya.

Ternyata Ibrahim serius dengan kata-katanya. Semasa sidang akhbar mengenai pameran tersebut diadakan, beliau tampil lengkap berpakaian Orang Asli tanpa ada rasa kekok.

Malah, Ketua Pengarah yang telah menjadi ahli keluarga Jabatan Muzium selama 20 tahun itu penuh bersemangat mencuba peralatan yang dipamerkan termasuk sumpitan - kaedah pemburuan yang sememangnya terkenal di kalangan Orang Asli.

Ibrahim tidak mahu pameran tersebut sekadar membariskan artifak-artifak mengenai kehidupan Orang Asli. Beliau dan JKOA berusaha menggerakkan pameran tersebut supaya hidup dengan aktiviti-aktiviti yang boleh disertai pengunjung.

Tentunya cabaran yang dihadapinya amat pelbagai lantaran pameran hidup menuntut kesabaran dan ketelitian supaya hasilnya benar-benar dapat memaut hati orang ramai untuk berkunjung ke muzium.

Sebanyak 102 artifak mengenai kehidupan Orang Asli berjaya dikumpul untuk dipamerkan. Sebagai nilai tambah aktiviti seperti menganyam, mengukir patung dan topeng, kemahiran menyumpit serta jualan hasil kraf turut diadakan.

Lebih menarik lagi, menurut Ibrahim, adat perkahwinan Orang Asli turut dipamerkan dengan membawa pasangan pengantin kalangan masyarakat itu ke Muzium Negara.

Katanya, ada kalangan Orang Asli kini berani menongkah cabaran, lantas memilih untuk keluar dari kepompong kehidupan asal dengan menyertai arus pemodenan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: