Sunday, May 15, 2011

Melodi 60-an atmosfera moden


DARI kiri, Ana Raffali, Arja Lee, Liza Abdullah dan Iqbal Mazlan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri terhadap inspirasi yang memberi jiwa terhadap kehangatan zaman 60-an.


MENGAMBIL posisi pentas Panggung Sari, Istana Budaya dengan irama klasik 60-an, Kenangan Mengusik Jiwa (KMJ) bukan konsert artis 60-an yang diwarnai dengan sketsa lakonan oleh Ana Raffali, Dafi, Arja Lee atau Iqbal Mazlan. Ia lebih daripada itu.

KMJ yang bakal dipentaskan dari 27 Mei hingga 5 Jun ini merupakan sebuah muzikal penuh yang menjadikan latar dan muzik 60-an sebagai fokus penceritaan.

Beriringan melodi dan getaran 60-an, bunyi serta atmosfera KMJ disifatkan satu lantunan baru yang akan mengusik jiwa peminat muzik.

"Ia sebuah muzikal, jadi untuk memenuhi kerinduan kepada irama 60-an, kami membawakan penyanyi seperti Datuk Ahmad Jais, L. Ramli, A. Rahman Onn, Fatimah M. Amin, A. Halim, Hussein Ismail, J. Sham serta A. Rozaimi untuk masuk dalam salah satu segmen," jelas Lokman Ghani, pengarah yang berdepan banyak pertukaran pelakon sepanjang latihan KMJ berlangsung.

Selepas Gambit digantikan dengan Arja Lee, Rabu lalu, produksi KMJ berdepan pula dengan pengunduran penyanyi Sohaimi Mior Hassan yang tidak dapat memberikan komitmen atas alasan kekeluargaan.

Tempat Sohaimi digantikan dengan penyanyi veteran, Latiff Ibrahim.

Bagaimana pengalaman dalam teater muzikal?

ANA RAFFALI (AR): Ini pengalaman profesional saya dalam sebuah pementasan teater muzikal. Sejauh ini memang menyeronokkan dengan kerjasama kru, pelakon dan penari.

Mereka membantu saya sehingga saya mendapat gerakan tarian yang betul. Ini peluang untuk saya belajar dan buat sesuatu yang saya suka.

Alasan saya menerima tawaran ini adalah kerana hati saya memang suka dan mahu menjayakan teater ini. Pihak produksi juga memberi kelonggaran kepada saya jika ada sebarang persembahan.

LIZA ABDULLAH (LA): Untuk muzikal berskala besar dan di Istana Budaya, ya, ini muzikal pertama yang saya jayakan.

Namun, saya pernah terlibat dengan rakaman pelbagai rancangan muzikal dan dramatari sejak 1982. Dalam program Mekar Sejambak (RTM) contohnya, program itu ada lakonan, nyanyian dan tarian.

ARJA LEE (AL): Ini merupakan teater keempat saya selepas Puteri Gunung Ledang The Musical, Mahsuri dan Kaki Blues.

Pengalaman agak berbeza kerana saya masuk ke dalam produksi untuk membawakan watak Munir pada pertengahan perjalanan teater ini.

Hari ini (Rabu) merupakan hari ketiga saya berlatih sedangkan mereka sudah menjalaninya untuk beberapa minggu.

Saya terpaksa serasikan diri dan masuk ke dalam watak dalam durasi yang cepat. Ia bukan senang.

IQBAL (I): Ini merupakan pentas ke-13 saya dalam arena teater.

Sebelum ini saya terlibat dengan pementasan program Pilih Kasih. Namun, ini merupakan pentas sulung di Istana Budaya.

Saya dapat berlakon dengan ramai pelakon berpengalaman. Juga dapat satu pentas dengan pemenang Anugerah Juara Lagu. Dapat berlakon dengan Ana Raffali!

Bagaimana dengan cabaran yang dilalui?

AR: Cabaran utama adalah menari kerana sebelum ini Ana muncul menyanyi dan bermain gitar.

Rupa-rupanya anggota badan kita boleh diarahkan untuk bergerak dengan banyak termasuk menari. Jujurnya saya tiada asas dalam tarian.

LA: Kami dulu-dulu mana ada teater muzikal begini. Kalau ada pun ia dijalankan secara rakaman. Cabaran paling utama adalah untuk berdepan dengan pelakon baru.

Saya masuk-masuk sahaja, tengok cara kerja, tenaga dan semangat mereka yang sangat lain. Itu yang saya kena kejar dan saya rasa rendah diri sangat.

AL: Cabarannya ialah tahun 60-an itu sendiri dan watak samseng jalanan yang diberikan kepada saya.

Memang saya ada asas menari, tetapi untuk teater ini saya perlu menari, menyanyi dan berlakon, itulah cabarannya.

Seperti yang saya katakan tadi, saya mempunyai masa yang singkat untuk menjalani latihan dan ini cabaran besar buat saya.

Setiap kali waktu rehat, saya akan ambil masa untuk belajar dan berlatih lebih masa.

I: Menari! Saya mempunyai asas dalam tarian tetapi apabila masuk gerak tari beramai-ramai dan laju-laju, langkah saya agak berterabur.

Satu lagi cabaran yang saya hadapi apabila ada adegan memujuk kerana saya memang jenis lelaki yang tidak pandai memujuk.

Apakah karakter yang anda bawa?

AR: Saya membawakan watak Ros, seorang anak orang kaya yang jatuh cinta dengan pemuzik jalanan lakonan Dafi. Ros manja dan boleh dapat apa yang dimahukan tetapi apabila masuk ke kolej, dia dibuli oleh rakan yang lebih senior.


IQBAL (tengah), Ana Raffali (depan, kanan) bersama penari-penari memberikan tumpuan lebih 100 peratus setiap kali menjalani latihan siang dan malam di tingkat empat, Istana Budaya.


LA: Watak saya sebagai Cikgu Latifah yang bertanggungjawab mengajar koir kepada pelajar kolej. Saya hanya terlibat dengan lakonan, tak ada babak menari.

Dalam cerita itu, saya pada mulanya ada hati kepada salah seorang pengajar lakonan, Radhi Khalid. Tapi ada juga konflik lain yang penyudahnya sedikit suspen.

AL: Saya membawakan watak Munir. Di kolej itu, sayalah pelajar paling senior, orang lain senior sampai tahun tiga sahaja tapi saya tahun kelima.

Karakter saya macam bengap-bengap tapi poyo, saya kira ketua samseng tapi orang takut saya bukan apa, sebab saya paling senior.

Watak saya nampak sahaja gengster tapi depan budak perempuan iaitu Rose, kami suka buli budak baru.

I: Saya bawa watak Azizan iaitu rakan kepada Dafi. Dia seorang yang periang dan ada hati pada Ros, lakonan Ana. Dia menipu diri sendiri dalam bab itu.

Kongsikan sedikit impak zaman 60-an yang memberi inspirasi dalam hidup kalian?

AR: Sudah tentu inspirasi 60-an datang daripada grup The Beatles. Malah, kaset pertama yang saya beli ialah The Beatles.

Budaya pop 60-an turut memberi impak kepada saya. Fesyen dan rambut era tersebut turut saya gemari.

LA: Saya dilahirkan pada tahun 60-an dan membesar dengan lagu-lagu 70-an dan 80-an. Boleh dikatakan saya peminat lagu klasik, dengar pun radio Klasik FM.

Kalau ke pusat karaoke, saya akan menyanyikan lagu-lagu irama 60-an, macam lagu Sanisah Huri dan Rafeah Buang. Saya juga peminat Ahmad Jais, jiwang sangat bila dengar lagu Gelisah.

AL: Saya suka John Trovolta, terutama filem Saturday Nite Fever. Tapi nak kata saya terinspirasi sangat tidak juga.

Bagi saya zaman 60-an ialah zaman yang orang kita mula nak bergaya dengan rambut bersikat rapi, berfesyen, tapi rasanya saya bukan jenis yang berstail gaya retro. Saya simple sahaja.

I: Saya gemarkan The Beatles dan The Police. Kalau filem, saya gemarkan filem Young Gun. Lagu 60-an saya gemarkan lagu Kenangan Mengusik Jiwa nyanyian A. Ramlee.

Saya juga kerap terikut stail 60-an dalam berpakaian, saya gemar masukkan baju ke dalam seperti gaya 60-an.

Kalau ada kenangan yang betul-betul mengusik jiwa, apa kenangan itu?

AR: Kenangan menyaksikan teater Phantom of The Opera di London. Saya diterbangkan oleh pihak British Council ke sana dan peluang menyaksikan teater tersebut betul-betul mengusik jiwa saya.

LA: Rasanya masa saya buat program Mekar Sejambak tahun 1982 dulu. Ketika itu saya baru mula berlakon tapi dapat berlakon bersama Hail Amir, Uji Rashid dan semua penyanyi dan pelakon hebat zaman itu.

Program itu meletup dan sampai sekarang ada orang ingat. Saya ini kidal, jadi kalau menari twist, semua orang kena ikut gerak saya.

Lucu tapi seronok. Satu lagi, masa berlakon drama Penghujung Rindu (1984), drama itu meletup juga, tapi masa sibuk buat promosi sana sini, bapa saya meninggal dunia.

AL: Ada tiga kenangan yang paling mengusik jiwa saya. Saya bukan sesiapa, tiada darah seni pun, hidup saya hanya dengan menari sepenuh masa.

Saya cukup terharu apabila dipilih sebagai pelakon watak Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang The Musical, keduanya semasa ibu (Fauziah Nawi) pilih saya sebagai hero di sisi Vanidah Imran untuk teater Mahsuri.

Ketiganya, bila saya dipilih secara undian untuk watak utama filem Dalam Botol.

Saya tak kisah orang kata filem itu laku atau tidak, yang penting itu yang memperkenalkan saya ke sinema Malaysia.

Saya masih belajar dan tiada harta tapi benda-benda itu semua harta saya sekarang.

I: Apabila bergelar juara program Pilih Kasih setelah empat tahun mencuba nasib dalam industri hiburan. Nampaknya rezeki saya ada setelah menunggu.

Kenangan yang mengusik jiwa juga apabila saya melakukan aksi terjunan payung terjun dari ketinggian 1,000 meter.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: