Wednesday, May 11, 2011

Maritim Malaysia jaga perairan negara




MUNGKIN ramai yang tidak tahu jika berlaku tragedi bot karam, kebakaran kapal dagang dan insiden kecemasan di laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk menanganinya.

Menurut Pengarah Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rashid Harun, pihaknya telah diberi amanah untuk mengambil alih tugas daripada Jabatan Laut bagi melaksanakan peranan penting itu pada 6 Jun 2006 iaitu kira-kira setahun selepas Maritim Malaysia ditubuhkan pada 15 Februari 2005.

Katanya, Maritim Malaysia melalui Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana bertanggungjawab untuk membangunkan sistem SAR maritim negara selaras dengan fungsi utama agensi itu.

Mesyuarat Jemaah Menteri 13 Ogos 2008 bersetuju pengambilalihan tanggungjawab SAR maritim kepada Maritim Malaysia dan memutuskan penstrukturan semula Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat Kebangsaan dengan melantik Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaku Pengerusi Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (NSC) manakala Ketua Pengarah Maritim Malaysia menjadi Pengerusi Kumpulan Kerja Mencari dan Menyelamat Maritim.

SAR Maritim

Mohd. Rashid menjelaskan, perkhidmatan mencari dan menyelamat (SAR) tanpa mengira kewarganegaraan atau status individu berkenaan atau keadaannya ketika dijumpai di laut.

"Perkhidmatan yang akan diberi apabila berlaku kecemasan merangkumi aspek pengawasan kecemasan, komunikasi dan koordinasi operasi SAR termasuk bantuan awal perubatan kecemasan dan pemindaha untuk rujuan perubatan (medevac) sama ada melalui pesawat udara, kapal atau bot aset kerajaan atau swasta termasuk lain-lain komuniti dan kapal dagang yang berhampiran lokasi kecemasan," kata Mohd. Rashid.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menggunakan pendekatan mengadakan latihan mencari dan menyelamat secara bersepadu di setiap wilayah maritim sekali dalam tempoh setahun dengan melibatkan semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung.

Selain itu, untuk meningkatkan pengetahuan dan kebolehan anggota dalam mengendalikan operasi SAR, Maritim Malaysia menjalinkan jaringan kerjasama dengan agensi lain dalam membangunkan prosedur operasi standard (SOP) baru agar segala operasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan tanpa sebarang kekeliruan atau percanggahan prosedur.

Maritim Malaysia menghadapi banyak cabaran dalam usaha memenuhi keperluan untuk bertindak balas dengan segera terhadap sebarang insiden kecemasan yang berlaku di kawasan perairan negara yang diwartakan.

Kawasan tanggungjawab Mencari dan Menyelamat Maritim Malaysia (MSSR) adalah luas iaitu meliputi kawasan pantai Barat Semenanjung Malaysia yang sejauh 400 batu nautika dari Selat Melaka hingga ke Laut Andaman, di sebelah Timur Semenanjung Malaysia dari pantai hingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan dan di pantai Sabah dan Sarawak hingga ke Laut Sulu.

Justeru itu, Mohd. Rashid berkata, tahap kesiapsiagaan terhadap operasi SAR perlulah dipertingkatkan bagi membuktikan komitmen dan kebolehan Maritim Malaysia menangani isu-isu maritim.

Operasi SAR

Selaras dengan peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penyelaras SAR Maritim kebangsaan, sebuah Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) yang beribu pejabat di Putrajaya ditubuhkan dan diberi nama MRCC Putrajaya.

Selain itu untuk melancarkan operasi agensi tersebut di seluruh negara agensi tersebut menubuhkan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) di wilayah-wilayah Maritim Malaysia iaitu MRSC Langkawi bagi Wilayah Utara; MRSC Johor Bahru bagi Wilayah Selatan; MRSC Kuantan bagi Wilayah Timur; MRSC Kuching bagi Wilayah Sarawak dan MRSC Kota Kinabalu untuk Wilayah Sabah serta Labuan. MRCC bertanggungjawab menyelaraskan semua operasi SAR di kawasan MSSR negara, memantau operasi SAR yang dilaksanakan oleh MRSC di wilayah masing- masing dan mengkoordinasikan aktiviti bantuan bencana apabila perlu.

"Maritim Malaysia akan sentiasa bersedia untuk menyelaras dan menggerakkan bantuan mencari serta menyelamat sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau bencana di laut bagi mengurangkan kesengsaraan mangsa dan juga menghindarkan kehilangan nyawa serta harta benda," jelasnya.

Menurutnya, salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Maritim Malaysia menetapkan bantuan bencana dikehendaki tiba di lokasi kecemasan atau bencana dalam tempoh dua jam selepas aduan dan maklumat diterima.

Perkhidmatan berkesan itu sudah tentu memberi keyakinan kepada komuniti maritim antarabangsa seperti Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan organisasi antarabangsa lain termasuklah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai situasi selamat dan terkawal di perairan negara.

Kelebihan tersebut, secara tidak langsung bukan sahaja dapat memberikan gambaran positif kepada imej negara dari segi promosi persekitaran maritim yang selamat malah menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui kegiatan pelancongan, perikanan, aktiviti rekreasi dan sebagainya.

Kecemasan

Sejak 2006 hingga 2010, Maritim Malaysia telah mengkoordinasi 663 kes pelbagai kecemasan seperti pancaran amaran kecemasan kapal (GMDSS), insiden kapal dan bot, insiden kehilangan manusia di laut, insiden pesawat udara di laut yang memerlukan perkhidmatan SAR dan pengaktifan operasi SAR.

Bagi tahun 2011, statistik sehingga bulan Mac mendapati sebanyak 31 kes dilaksanakan dengan membabitkan sejumlah 145 mangsa dikendalikan.

Setakat ini, operasi yang dijalankan telqah melibatkan seramai 2,364 orang iaitu 1,855 mangsa yang selamat, 351 melibatkan mangsa mati dan 158 mangsa yang hilang.

Mohd. Rashid berkata, dalam usaha menambah baik sistem mencari dan menyelamat di negara ini, Maritim Malaysia akan memperoleh Sistem Cospass-Sarsat yang menggunakan perkhidmatan satelit di mana aset mencari dan menyelamat dapat digerakkan dengan pantas dan tepat tanpa melibatkan kos pencarian yang tinggi.

Satu lagi komponen adalah aplikasi perisian 'SAR Planning Computer Aided' yang merupakan sebuah aplikasi teknologi yang amat diperlukan bagi membantu pegawai SAR di Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (RCC) membuat perancangan operasi mencari dan menyelamat dengan lebih mudah, cepat dan berkesan.

Dengan adanya perisian tersebut kawasan operasi untuk mencari dan menyelamat mangsa dapat ditentukan dengan cepat dan tepat berdasarkan pada pergerakan dan kelajuan angin dan arus laut di lokasi kejadian kemalangan itu berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: