Shamsuddin BardanTELAH menjadi lumrah apabila setiap kali tibanya sambutan Hari Pekerja pada setiap 1 Mei, pelbagai isu dan pandangan berkaitan golongan ini disuarakan bagi membela nasib pekerja di negara ini.
Namun hakikatnya, pihak majikan juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja mendapat pembelaan dan imbuhan daripada penat lelah mereka bekerja sepanjang hari.
Atas dasar itu juga pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) telah ditubuhkan sama ada untuk membela nasib pekerja dan majikan.
Di sini Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memainkan peranan dalam memastikan semua majikan yang berdaftar dengan mereka akan sentiasa mematuhi semua arahan yang telah ditetapkan selain dibantu untuk terus memastikan mereka bergerak dan berdaya saing dalam menarik minat pelabur untuk memajukan sektor ekonomi negara.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan ketika ditemui Mingguan mStar berkata, tunjang utama penubuhan MEF adalah untuk memastikan prasarana perniagaan di Malaysia adalah baik dan mesra pelabur.
Ini kerana menurutnya, jika prasarana dan perundangan perniagaan tidak mengamalkan sikap mesra pelabur dikhuatiri corak perniagaan itu tidak akan membantu memperbaiki ekonomi negara ini dan sekaligus memberi kesan kepada perniagaan itu secara keseluruhannya.
“Apabila itu berlaku, ia bukan sahaja melibatkan perniagaan itu dan sistem ekonomi akan rapuh, malah akan memberi kesan kepada sumber manusia yakni pekerja yang terlibat di dalam sesebuah organisasi itu.
“Bayangkan jika itu berlaku dan mereka akan menerima nasib seperti hilang pekerjaan yang sekaligus akan memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka,” katanya.
Selain itu juga, Shamsuddin berkata, jika prasarana dan perundangan itu tidak dijaga dikhuatiri pelabur asing hilang keyakinan untuk melabur di negara ini yang akhirnya akan memberi kesan kepada semua peringkat.
Majikan lunas tanggungjawab
Ditanya mengenai majikan di Malaysia, Shamsuddin berkata, semua organisasi di negara ini secara keseluruhannya boleh diklasifikasikan sebagai bertanggungjawab terhadap kakitangan mereka dan menjaga kebajikan mereka.
Katanya lagi, dari segi keselamatan sosial, majikan kini lebih menitikberatkan soal jaminan untuk hari tua menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perubahan ini dapat dilihat jelas apabila Ketegasan kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang menyaksikan banyak majikan akur dengan mengenai kebajikan pekerja untuk hari tua terutamanya di sektor swasta.
“Satu kajian juga mendapati kebanyakan majikan di dalam sektor swasta telah memberikan 50 peratus faedah yang lebih tinggi untuk perancangan persaraan seperti memberikan KWSP lebih 12 peratus seperti yang telah disyaratkan.
“Ini jelas menunjukkan pihak pengurusan mengambil berat akan masa depan pekerja mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai gaji yang dibayar kepada pekerja dan sara hidup di negara ini, Shamsuddin berkata, kebanyakan majikan memberikan gaji yang mengikut syarat ditetapkan dengan beberapa imbuhan tambahan.
Mengenai sara hidup pula, katanya, kebanyakan barangan di Malaysia masih diberi bantuan subsidi dan kekuatan pembeli adalah 2.2 peratus lebih tinggi daripada negara luar dan itu membuktikan bahawa sara hidup mereka masih terkawal dan mencukupi.
Produktiviti pekerja masih rendah
Bagaimanapun, Shamsuddin tidak menolak bahawa pihak majikan boleh membayar lebih dari yang sepatutnya jika pekerja mempunyai kemahiran pelbagai dan lebih produktif dalam bekerja.
Mengambil contoh sektor perhotelan, Shamsuddin berkata, jika di negara kita untuk menguruskan sebuah bilik memerlukan satu atau dua orang pekerja sebaliknya di luar negara empat buah bilik memerlukan hanya seorang pekerja sahaja.
Ini kerana katanya, 75 peratus daripada pekerja negara ini masih diklasifikasikan sebagai kurang mahir berbanding luar negara yang rata-rata hanya 50 peratus sahaja.
“Produktiviti sebenarnya bukan satu bentuk deplotasi tetapi adalah satu bentuk persaingan untuk kita memajukan diri setanding dengan pekerja di luar negara.
“Semua pekerja perlu melihat langkah kepelbagaian kemahiran adalah sebagai satu kebaikan untuk mereka yang akhirnya akan memberi manfaat kepada diri mereka.
“Jika meraka berkemahiran dan produktif, saya yakin pihak majikan mereka tidak akan teragak-agak untuk memberikan imbuhan atau menaikkan gaji mereka,” katanya.Sementara itu, Shamsuddin turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan penggunaan pensijilan kemahiran terhadap pekerja sebagai satu rekod kepada pekerja.
Setakat ini MEF mempunyai sebanyak 4,600 majikan yang mendaftar dengan jumlah pekerja sebanyak dua juta selain 18 buah persatuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: