MULUT yang manis belum tentu hatinya juga baik malah ada ketika orang yang sering berlagak baik itu hatinya penuh dendam kesumat. Bagi Ifa Raziah Mustapa, 34, biarlah orang hendak kata apa saja asalkan dia tahu siapa dirinya yang sebenar.
Dalam dunia ini, katanya ramai yang berlagak baik, pijak semut pun tak mati tetapi hakikatnya dia memiliki sekeping hati yang busuk dan suka memecah belahkan orang lain.
"Saya ini setakat mulut saja yang 'bising' namun hati saya tidaklah seburuk mana. Sudah karektor saya macam itu tetapi kepada yang belum begitu mengenali saya pasti lekas buat andaian saya ini jahat orangnya. Seumur hidup ini belum pernah saya menganiayai sesiapa jauh sekali saya berdendam dengan orang.
"Jangan terlalu cepat bersangka buruk kerana dengan sekali pandang kita belum kenal hati budinya. Saya hanya berlaku jujur dengan diri sendiri dan juga orang lain kerana saya bukan jenis suka simpan dalam hati. Memendam rasa akan 'makan' dalam dan membuatkan hidup kita tidak tenteram," katanya.
Menyentuh isunya dengan seorang lagi artis terkenal tanah air sehingga berlakunya kes saman menyaman, jelas Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah, bukan dia yang membawa isu mereka ke mahkamah sebaliknya artis itu yang beriya-iya hendak menyamannya.
"Kalau saya jahat dan kaki gaduh, sayalah yang akan mengheretnya ke mahkamah tetapi keadaan sebaliknya dia yang bawa kes kami ke mahkamah. Jadi siapa yang jahat sebenarnya. Apabila kes itu dibicarakan terbukti saya berada di pihak yang benar.
"Saya bukan kaki gaduh dan jika berlaku juga perselisihan faham dengan sesiapa saja, maklum saja bukan semua orang setuju dengan kita. Saya sedia minta maaf dan memaafkan kesalahan orang pada saya. Merendah diri dan mengaku kesilapan bukanlah perkara yang hina malah selepas bermaaf-maafan hati akan tenang," katanya.
Misalnya kata Ifa, kes dia dengan seorang lagi selebriti, kalau ikutkan hati memang tak mahu bertegur sapa sampai bila-bila kerana teruk dia dihina dan dicerca.
"Tetapi saya bukan orang macam itu. Kalau orang dah hulurkan salam mohon kemaafan, maafkanlah dia. Pun begitu, meskipun kami sudah berbaik namun jarang berjumpa seperti dulu.
"Langkah terbaik jarakkan hubungan daripada selalu berjumpa akhirnya bermasam muka. Apabila ada kerja, barulah kami bertemu. Tidak perlulah kita berkongsi cerita dengan semua orang kerana belum tentu dia akan jadi teman setia sepanjang hayat kita," katanya.
Tahun ini, Ifa berazam untuk terus bekerja keras dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan."2011, tahun saya mencari duit bukannya mencari pasal dengan orang. Biarlah orang hendak kata apa, itu hak mereka. Alhamdulillah, rezeki saya melimpah ruah tahun ini. Kalau sebelum ini saya sibuk mencari ubat kurus, sekarang berat saya dah turun enam kilogram kerana kurang rehat, kurang tidur dan kurang makan.
"Keluar rumah awal pagi, balik dah tengah malam atau menjelang Subuh. Dengan jadual yang begitu padat, saya tiada masa hendak mengambil tahu atau bergosip hal orang lain. Lebih baik jaga rumah tangga saya dan anak-anak. Saya juga bertuah dapat suami yang sangat memahami. Kalau saya tidak sempat menemani anak-anak dalam sebarang aktiviti di sekolah mereka, dialah yang akan melakukannya.
"Setiap tahun usia kita bukannya semakin muda, jadi eloklah saya buat kerja yang berfaedah di samping menambahkan amal ibadat untuk bekalan di akhirat nanti. Meskipun sangat sibuk sekarang dan kepenatan, saya tidak pernah komplen kerana Allah SWT sudah mengabulkan segala doa saya," katanya.
Berbeza ketika muda dulu, waktu itu kata Ifa darah tengah panas dan fikiran pun belum matang. Ghairah pula hendak menjadi orang terkenal maka berkata-kata pun ikut sedap rasa saja.
"Sekarang lain. Pengalaman mengajar kita menjadi manusia lebih baik dan kita juga mesti melakukan perubahan dalam hidup. Takkan selamanya kita begitu. Kalau dulu orang tengok saya seksi, sekarang tidak lagi," katanya yang mula sibuk mempromosikan single terbarunya, Luar Biasa, lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Nur Fatimah Ahmad.
Ifa juga tidak menyangka selepas 16 tahun dalam arena seni, dia dihujani tawaran berlakon dengan peranan utama. Bermula dengan drama bersiri Darling dia diberi watak utama, dia terus mendapat kepercayaan serupa sebagai teraju utama untuk drama bersiri, YB Cantik.
Belum sempat menghela nafas panjang, dia ke lokasi drama 15 episod Gulai Tempoyak Chicken Chop (GTCC) pula yang menjalani penggambaran selama 48 hari. Drama itu bakal mengisi slot Senda Pagi di TV3.
Dalam GTCC, watak Ifa bernama Jasmin menantu sulung dalam keluarga Kartina Aziz.
"Suami saya dalam filem itu Kazarudin Saisi. Jasmin ini suka berangan, melaram dan bercakap 'broken English'. Dia suka masak makanan Barat dan saingannya adalah menantu kedua dalam keluarga itu, lakonan Intan Azura yang bersuamikan Shamsul Ghau Ghau. Intan ini pula asyik dengan menu gula tempoyaknya.
"GTCC memang riuh, walaupun badan penat tetapi hati terhibur berlakon drama ini," katanya.
Walaupun baru sekarang produser dan pengarah percayakan bakat lakonannya, tambah Ifa dia tetap berpuashati kerana percaya hikmah yang dijanjikan oleh Allah SWT.
"Saya sangat bersyukur walaupun baru merasa jadi heroin pada usia sekarang. Industri seni sekarang tak macam dulu, dengan kemunculan banyak saluran televisyen memberi ruang kepada penggiat seni untuk mengetengahkan pelbagai genre drama. Oleh itu sama ada mereka yang masih muda atau berusia seperti saya, ruang untuk mencari rezeki dalam bidang ini masih terbuka luas.
"Dalam usia begini, saya diberi peranan yang lebih matang. Misalnya dalam drama YB Cantik, saya jadi YB Zarina. Bukankah ia sesuatu yang menarik kerana dapat juga berangan-angan jadi wakil rakyat.
"Alhamdulillah, rezeki saya sangat murah di mana saya juga dilamar berlakon Teater Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an, yang akan dipentaskan di IB (Istana Budaya), 27 Mei sehingga 5 Jun ini.
"Saya berlakon sebagai Cikgu Latifah. Memang tidak terkejar dibuatnya namun peluang keemasan ini tidak hadir selalu," katanya. Ifa juga baru terima tawaran mengacarakan rancangan hiburan terbitan Radio Televisyen Malaysia, berjudul Malar Segar.
"Ia dibuat dalam bentuk 'live recording' yang diterbitkan sebanyak 14 episod dan mula disiarkan 7 Mei ini. Ia seperti Hiburan Malam Minggu yang menampilkan pelbagai tema setiap minggu. Ada minggu lagu dangdut, irama tradisional dan moden," katanya.
Paha solid tue. Dapat gesel2 jadi la
ReplyDelete