Tuesday, May 17, 2011

Lawak solo tak menyengat

  • Foto

    PESERTA yang terus bertahan dalam Maharaja Lawak.

  • Foto

    JAMBU terus mendahului saingan.

  • Foto

    AMIR tersingkir minggu ketujuh.

  • Foto

    MAMAT Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek sebagai juri.

Komedi senyap buat Nabil rasa hampir tersingkir

BERBANDING peserta berpasukan, persembahan bertemakan komedi senyap (silent comedy) pada minggu ketujuh Maharaja Lawak, Jumaat lalu, dilihat cukup mencabar bagi peserta solo. Pada malam itu, persembahan tiga peserta solo iaitu Amir, Man dan Nabil, kurang menjadi berbanding Jambu, Jozan, Sepah dan Balas.Tampil secara berpasukan ternyata memberi kelebihan kepada tiga kumpulan berkenaan kerana idea dan penyampaian lebih mudah dilaksanakan. Namun bagi peserta solo, mereka nampaknya terpaksa bekerja keras untuk membuatkan penonton terhibur.
Amir, Man dan Nabil dilihat mengerah segala tenaga untuk memastikan penonton ketawa, tetapi malangnya usaha mereka tetap kurang menjadi.

Wajah kecewa ternyata tidak mampu disorok Nabil, sebaik selesai persembahannya. Dia kecewa kerana segala perancangan pada malam itu tidak dapat ditunaikan akibat gangguan teknikal. Namun begitu, jejaka ini enggan menyalahkan aspek teknikal semata-mata.

"Memang saya tak puas hati dengan persembahan saya pada malam ini, walaupun jalan ceritanya adalah daripada idea saya sendiri. Saya tidak boleh menyalahkan kesilapan teknikal semata-mata, kerana mungkin juga penonton kurang faham jalan ceritanya. Kalau nak diikutkan, banyak idea komedi senyap yang boleh saya tiru, tetapi saya tidak mahu berbuat begitu kerana inginkan keaslian.

"Terus terang memang saya kecewa kerana semua yang dirancang pada sesi latihan tidak menjadi. Muzik dan persembahan saya tidak selari, manakala prop yang digunakan tidak muncul pada waktu yang sepatutnya. Apabila semuanya menjadi kucar-kacir tadi, saya jangkakan saya akan disingkirkan sebab penonton kita sekarang sudah bijak menilai.
"Mereka akan mengundi persembahan yang baik pada minggu itu, jadi apabila persembahan saya tidak menjadi, saya memang sudah bersedia untuk disingkirkan," kata Nabil yang menampilkan persembahan mengenai seorang perompak.

Sementara itu bagi peserta yang memperoleh markah paling rendah, Amir, pula tidak menyangka akan disingkirkan malam itu walaupun saban minggu menampilkan persembahan mengecewakan.

Persembahannya pada minggu ketujuh langsung tidak difahami penonton. Dia yang ditemui sebaik selesai persembahan menjelaskan apa yang cuba dipaparkan adalah aksinya menyanyi. Bagaimanapun perjalanannya ke pentas nyanyian diganggu dengan pelbagai perkara, antaranya berdepan dengan lembu.

Pemenang tempat ketiga Raja Lawak musim ketiga itu tidak pernah berasakan dirinya gagal menghiburkan penonton kerana pada setiap minggu, dia melihat penonton ketawa menyaksikan persembahannya. Malah dia dengan yakin mengatakan Mamat Khalid suka dengan ideanya, terutama pada malam itu.

"Saya rasa abang Mamat suka dengan idea saya. Walau bagaimanapun saya tak sangka akan disingkirkan pada malam ini. Saya berharap masih diberi peluang untuk membuat persembahan dengan adanya undi masuk nanti. Walaupun tersingkir pada malam ini, saya anggap penyingkiran saya sebagai penyingkiran bermaruah kerana berjaya bertahan sehingga ke tahap ini," kata penuntut Kolej Teknologi Astonians itu.

Pada minggu ketujuh, markah Amir hanyalah 26 peratus. Manakala Jambu masih mendahului dengan 60 peratus, diikuti Jozan 58 peratus, Sepah 54 peratus, Nabil 52 peratus, Balas 42 peratus dan Man 40 peratus.

Pada minggu berkenaan, program terbabit membuat sedikit kelainan apabila peserta diberi peluang untuk mengundi keluar peserta yang mereka kehendaki. Nampaknya kesemua peserta mendapat satu undi keluar, kecuali Nabil yang tidak diundi oleh sesiapa pun.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Nabil berkata, mungkin peserta lain tidak berasakan dirinya sebagai ancaman besar, justeru mereka tidak mengundi namanya untuk disingkirkan daripada pertandingan itu.

Undian masuk peluang kedua

PENGURUS Saluran Astro Prima dan Warna, Nizam Sani berkata, satu lagi kejutan bakal disaksikan pada minggu hadapan apabila mereka mewujudkan undi masuk yang bermula sejak Jumaat lalu dan berakhir pada jam 12 tengahari esok.

Undi masuk yang hanya boleh dibuat menerusi laman sosial Facebook memberi peluang kepada enam peserta yang disingkirkan iaitu Amir, Wai, Jihan, Alex, XN3 dan R2, untuk kembali bertarung di gelanggang Maharaja Lawak minggu depan.

Mereka akan dimaklumkan mengenai kelayakan masuk pada Rabu, bermakna peserta yang diundi masuk hanya mempunyai dua hari untuk mengadakan persiapan menghadapi pertandingan.

Bagi Nizam, dua hari sudah memadai untuk peserta terbabit membuat persiapan kerana mereka seharusnya tidak mempersia-siakan peluang kedua diberikan itu.
"Undian masuk ini sudah dirancang sejak kita merangka untuk mewujudkan Maharaja Lawak lagi. Kami memang sengaja mewujudkan sistem undian masuk ini untuk menjadikan program ini lebih menarik. Kami tidak mahu formatnya sama dengan Raja Lawak.

"Kami sudah menjangka program ini akan lebih menarik pada minggu keenam dan ke atas, jadi kami sengaja wujudkan elemen kejutan supaya program ini lebih memikat perhatian penonton. Bagi undian masuk ini, semua peserta yang sudah tersingkir ada peluang untuk kembali ke dalam Maharaja Lawak, apa yang peminat mereka boleh buat hanyalah menekan butang 'like' pada laman Facebook kami, untuk peserta yang mereka suka," kata Nizam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: