HULUR...Tengku Adnan (tengah) menyampaikan cek kepada penerima pinjaman Tekun, Eammy Farina Mohd Moslim sambil diperhatikan Abdul Rahim (kiri).
PRESTASI pembayaran balik yang cemerlang daripada peminjam membolehkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional mengumpul semula jumlah pinjaman balik sebanyak RM15 juta sebulan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, setiap tahun, Tekun Nasional mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta daripada kerajaan untuk diagihkan kepada peminjam yang layak.
“Bagaimanapun, kami dapat mengumpul semula RM15 juta dalam tempoh sebulan atau RM180 juta setahun. Ini membuktikan usahawan kini lebih bertanggungjawab terhadap pinjaman yang diambil dan mampu membuat pembayaran balik mengikut jadual ditetapkan.
“Ini bermakna, jika ada 10 peminjam hanya tiga saja yang tidak boleh berbuat demikian berikutan prestasi aliran tunai yang kurang baik kerana kebanyakannya mereka terbabit dalam bidang pertanian dan ini terjadi kerana mungkin tanaman tidak menjadi atau diserang serangga perosak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya dan Tekun Nasional di Putrajaya, semalam.
Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyampaikan Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang kepada tiga usahawan di Putrajaya dan Sijil Lantikan Jawatankuasa Pengasas & Penaja Kelab Komuniti Usahawan Tekun Putrajaya serta penyampaian cek pinjaman kepada 15 usahawan.
Abdul Rahim berkata, trend pembayaran peminjam dari Terengganu, Kelantan dan Pahang sangat baik, berbanding peminjam di negeri pantai barat.
Beliau berkata, sejak 1998 hingga 30 April lalu Tekun Nasional menyalurkan RM1.68 bilion kepada 183,364 usahawan seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah itu, Selangor menerima pembiayaan tertinggi iaitu sebanyak RM239,906 yang disalurkan kepada 20,201 usahawan.
Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan kemudahan pembiayaan dari Tekun Nasional boleh mendapatkan maklumat menerusi 200 pejabat di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: