TERBIAR...keadaan kuarters di Jalan Meru Tambahan yang menunggu masa untuk rebah ke bumi.
USANG...kuaters terbiar lebih 10 tahun.
KLANG: Sakit mata memandang. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat beberapa unit kuarters kerajaan yang usang di Jalan Meru Tambahan, Meru, di sini, dibiarkan tidak terurus sejak sekian lama.
Tinjauan Metroplus mendapati, lokasi kuarters di tepi jalan berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru itu juga bukan saja mencacatkan pemandangan kerana ada di antaranya hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi, tetapi boleh menjadi sarang penagih dadah dan aktiviti maksiat. Setiausaha Kejiranan dan Keselamatan Kariah Batu 7 Meru, Syed Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kabeer berkata, penduduk sekitar khuatir berlaku kegiatan tidak bermoral seperti sarang penagihan dadah dan tempat maksiat jika kuarters itu terus dibiarkan.
“Saya sendiri pernah melihat remaja memasuki kawasan kuarters itu pada awal pagi dan tidak tahulah apa dilakukan di dalam. Hendak ditegur, takut kita pula jadi mangsanya kerana kini banyak perkara tidak disangka-sangka berlaku.
“Kuarters itu sudah terbiar lebih 10 tahun tanpa sebarang tanda-tanda untuk dirobohkan. Ia bukan saja menyakitkan pandangan tetapi menjatuhkan imej sekolah berhampiran dan juga pekan Meru,” katanya.
Beliau mencadangkan kuarters itu dirobohkan segera dan tapaknya boleh digunakan ibu bapa untuk meletakkan kenderaan ketika menghantar atau mengambil anak mereka dari sekolah berhampiran.
Menurutnya, sekiranya tapak itu menjadi tempat parkir, pengguna laluan di kawasan berkenaan juga tidak perlu lagi menempuh kesesakan lalu-lintas yang teruk terutama sesi murid pulang dari sekolah kerana ibu bapa meletakkan kenderaan di bahu jalan seperti berlaku ketika ini.
Pekerja swasta, Nor Faridah Mustapha, 30, berkata, kewujudan beberapa kuarters itu hanya menyakitkan mata memandang kerana ia tidak memberi faedah sekiranya ia terus dibiarkan.
“Saya lihat sudah lama kuarters ini dibiarkan begini tanpa ada usaha untuk merobohkannya kerana setiap kali saya melalui jalan ini, pasti terpandang pemandangan yang tidak enak itu.
“Kuarters ini juga berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta haiwan berbisa yang lain kerana dipenuhi semak-samun dan boleh mendatangkan bahaya kepada pejalan kaki yang melalui jalan itu,” katanya.
Penduduk, Bakarudin Salleh, 45, pula berkata, seharusnya kuarters itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan lain.
“Lebih elok jika kawasan itu dibangunkan daripada membazir ruang yang luas itu begitu saja, lagipun kawasan ini amat strategik untuk pembangunan kerana lokasinya yang terletak di tepi jalan.
“Daripada membazir ruang, lebih baik dikomersilkan sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk berdekatan dengan adanya pembangunan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: