Tuesday, May 17, 2011

Kopitiam, pesaing sebenar restoran mamak

Andy Phang

SELAMA ini peniaga restoran India Muslim yang membuka restoran perlu berdepan dengan pesaing kelompok sama, namun era moden telah ‘mengajak’ mereka berdepan pesaing baru iaitu pengusaha kopitiam.

Kopitiam dikatakan menjadi pesaing paling dekat restoran mamak kerana kebanyakan kopitiam menawarkan kemudahan dan konsep yang hampir sama dengan restoran mamak, namun ditingkatkan keselesaannya.

“Kopitiam juga tawarkan tempat duduk terbuka untuk merokok dan untuk mereka yang tak mahu makan dalam ‘aircond’, sama seperti restoran mamak.

“Tapi dekorasi, kerusi dan meja yang digunakan menjadikan suasana lebih selesa. Wifi pun ada,” kata Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Pak Hailam Kopitiam, Andy Phang kepada Mingguan mStar.

Menurut Andy, konsep ruang terbuka berasal dari restoran mamak, namun teknik dan strategi pemasaran konsep ini ditingkatkan ke taraf lebih baik.

Mengulas persaingan antara kopitiam dan restoran mamak adalah ‘sihat’, Andy berkata setiap peniaga dalam industri yang sama dianggap sebagai pesaing.

“Persaingan lumrah dunia perniagaan. Bukan sahaja mamak, restoran makanan segera juga kita lihat sebagai pesaing. Yang penting strategi mantap,” katanya.

Antara strategi kopitiam, pertama mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini termasuklah kualiti layanan dan makanan, kebersihan serta menetapkan standard untuk kesemua lapan cawangannya.

Andy yang menguruskan kopitiam ini sejak dibuka pada Januari 2008 juga berpendapat pembukaan banyak kopitiam mungkin memberi kesan terhadap pendapatan sesetengah restoran mamak namun tidak mungkin ke tahap ‘mengancam’ perniagaan itu.

“Saya rasa peniaga-peniaga warung lebih rasa terancam kerana pelanggan kini bijak buat pilihan. Mereka sanggup bayar lebih asalkan premis selesa dan bersih, layanan memuaskan dan makanan berkualiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: