Sunday, May 15, 2011

Kena samun depan rumah




Sinar Harian 25 April 2011

REMBAU - Sepasang suami isteri kerugian kira-kira RM5,800 apabila disamun sekumpulan lelaki bermotosikal menggunakan parang, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin, di Taman Datuk Lela Maharaja, Chembong.

Mangsa, Abdul Latip Alias, 53, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya duduk berehat di pangkin rumah jiran, didatangi dua motosikal dinaiki empat lelaki dipercayai Melayu menghampiri mereka bertanyakan jalan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika dia dan isteri memberikan penerangan kepada lelaki terbabit, secara tiba-tiba pembonceng motosikal bertindak berani mengacukan parang ke arah mereka dan mengarahkan untuk memberi semua barang berharga.

“Saya terkejut apabila diacukan parang dan mereka mengugut akan mencederakan kami jika tidak mengikut arahan.

“Isteri saya cuba melawan tetapi dengan pantas mereka dapat meragut gelang emas yang dipakainya,” katanya.

Abdul Latip berkata, mereka turut merampas jam tangan dan telefon bimbit miliknya sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan.

“Kami trauma dengan kejadian ini dan telah membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu diharap dapat memberi pengajaran kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan orang tidak dikenali terutama yang datang secara berkumpulan.

“Niat kami ikhlas untuk membantu tetapi disalah guna oleh mereka yang berniat jahat untuk mendapatkan duit cara salah.

“Mereka juga bertindak berani apabila menggunakan senjata menakut-nakutkan orang ramai dan sanggup mencederakan mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: