Tuesday, May 24, 2011

Kekayaan isteri bekas ketua IMF dianggar RM3 bilion


GAMBAR fail Dominique Strauss-Kahn dan isterinya, Anne Sinclair.


NEW YORK - Pendapatan isteri bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn jauh lebih besar daripada suaminya, lapor sebuah akhbar semalam.

Bekas ketua IMF berkenaan dibebaskan dengan pakej ikat jamin berjumlah AS$6 juta (RM18.3 juta) pada hujung minggu lalu atas dakwaan melakukan serangan sekksual ke atas seorang pekerja Hotel Sofitel di New York tetapi dengan syarat dia menanggung kos keselamatan berjumlah AS$200,000 (RM612,100) untuk mengawasi pergerakannya atau bersamaan AS$2.4 juta (RM7.3 juta) setahun.

Semua kos tersebut dipercayai ditanggung oleh isterinya, Anne Sinclair.

Strauss-Kahn, 62, yang disebut-sebut sebagai calon bagi menggantikan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy cuma mempunyai kekayaan AS$2 juta (RM6.1 juta).

Walaupun memperoleh gaji AS$500,000 (RM1.53 juta) setahun sejak September 2007 sebagai ketua IMF sebelum dia meletakkan jawatan pada minggu lalu, kehidupan Strauss-Khan sebahagian besarnya disara oleh kekayaan keluarga isterinya.

Isteri ketua IMF itu mewarisi perniagaan galeri seni datuknya yang menjual lukisan oleh pelukis ternama termasuk Pablo Picasso, Henri Matisse dan Georges Braque.

Isterinya itu dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion).

Sementara itu, bangunan apartmen tempat bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa menjalani tahanan rumah kini merupakan tempat tumpuan pelancong.

Dalam perkembangan berkaitan, IMF sedang berusaha untuk mencari pengganti untuk menerajui organisasi tersebut yang memberikan pinjaman berbilion-bilion dolar bagi menstabilkan ekonomi dunia.

Setakat ini, Menteri Kewangan Perancis, Christine La Garde muncul sebagai calon pilihan bagi menggantikan Strauss-Kahn tetapi kuasa-kuasa ekonomi baru meningkatkan tekanan untuk menamatkan tradisi bahawa jawatan pengarah urusan IMF mesti dipegang oleh calon dari Eropah.

Kelmarin, ramai pengunjung yang menaiki bas beratap terbuka mengambil peluang untuk merakamkan gambar apartmen yang dihuni Strauss-Kahn bersama isterinya di New York selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin berhubung dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di Hotel Sofitel yang berusia 32 tahun.

Ekoran dakwaan itu, Strauss-Kahn meletakkan jawatan sebagai ketua IMF.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: