Saturday, May 14, 2011

Kayuhan cinta negara




MEREKA bermula dengan satu hobi sehinggalah tergerak hati untuk mengadakan siri jelajah Asia pada 2009.

Kayuhan pertama yang dilakukan oleh kelab basikal yang didaftarkan sebagai Associated Cyclosportif Trekkers (ACT), bermula di Singapura dan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor.

Kayuhan diteruskan ke Pantai Timur sehinggalah ke utara Semenanjung Malaysia dengan melepasi Rantau Panjang sebelum tiba di Songkhla dan seterusnya lajak ke Tanjung Piai.

Bagaimanapun, perjalanan jelajah beratus kilometer itu masih belum dapat memuaskan hati mereka memandangkan tidak banyak yang dapat disumbangkan kepada masyarakat setempat dan mereka mula untuk memikirkan sesuatu.

Jika sebelum ini kayuhan lebih kepada membuktikan daya ketahanan diri mereka, namun sejak tahun lepas, objektif kayuhan mulai terarah kepada satu misi positif iaitu membawa mesej mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar dan cintakan kedamaian.

Sungguhpun baru berusia dua tahun, kelab yang ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang, dari profesional hinggalah ke suri rumah ini, sudah mula dikenali dengan matlamat dan visi positif mereka berbasikal.

Tahun lepas, ACT telah pun mengadakan siri jelajah yang dinamakan Jelajah Berbasikal 1Malaysia. Program tersebut berjaya menamatkan kayuhan sejauh 1,200 km bermula di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Jelajah yang bermula dari Januari hingga Oktober itu merekodkan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 1,150 kilometer dengan penglibatan kira-kira 300 peserta berbasikal.

Sebagai lanjutan daripada Jelajah 1Malaysia tersebut, sekali lagi ACT memulakan penjelajahan tahun ini dengan tema 'Kayuhan Cinta Negara 2011' (KCN).

"Kami memulakan satu usaha yang baik, bersifat sederhana tetapi mempunyai impak yang besar," demikian yang diharapkan oleh penasihat ACT merangkap Ketua Ekspedisi Jelajah , Ahmad Ruzizan Maphilindo Md Isa.

Buktinya, selepas KCN fasa pertama yang berlangsung di Pahang, Januari lepas, ACT kini dalam rangka kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negeri untuk mengambil kampung angkat di negeri tersebut.

Ia selari dengan matlamat kelab yang berkayuh menjelajahi daerah-daerah untuk menanamkan rasa cinta kepada negara dengan mengenali masyarakat secara lebih dekat.

Menurut beliau, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat negara ini melalui sukan berbasikal.

"Jelajah KCN kali ini telahpun memasuki fasa kedua. Fasa pertama Moh Kayuh Beskal telah dimulakan di Felda Jengka 25 pada Januari lepas dan berakhir di Kuala Lipis dengan jarak kayuhan sejauh 128km.

"Ketika menjelajah kami berhenti di pelbagai tempat dan bermesra bersama masyarakat tempatan. Mengeratkan hubungan silaturrahim bersama keluarga angkat.

Selain fokus untuk mencari kebaikan dan potensi sesebuah kawasan dan pada masa depan membantu membangunkan masyarakat luar bandar," jelas Ahmad Ruzizan.

Tanpa tajaan, tanpa kepentingan peribadi, kelompok berbasikal ini mungkin lebih patriotik kerana mereka bercita-cita mengajak semua pihak sama ada individu mahupun masyarakat bekerjasama menghayati aspirasi kemerdekaan dan menjayakan cita-cita negara tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, fahaman ataupun budaya.

Sesuai dengan latar belakang ahli kelab yang pelbagai, setiap ahli mengeluarkan pembiayaan sendiri bagi menunjukkan mereka serius dengan masa depan negara.

ACT percaya, untuk membina negara Malaysia yang kuat, masyarakatnya harus memiliki kesihatan fizikal dan mental.

"Maka berkayuh adalah satu sukan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan dan dalam masa yang sama boleh menjelajah mengenali negara," jelas Ahmad Ruzizan.

Malahan mereka mungkin boleh dijadikan duta gaya hidup sihat memandangkan semua ahlinya adalah bebas rokok. Lebih membanggakan, ramai di kalangan mereka adalah bekas perokok. Kerana itu dalam setiap hentian masyarakat diajak meninggalkan aktiviti rokok dan dadah.

Menyokong usaha menghijaukan bumi, penggunaan basikal juga selari dalam penjagaan alam sekitar kerana ia tidak mencemarkan alam.

Kelab berbasikal yang ahlinya terdiri daripada seluruh Malaysia ini turut mengambil bahagian dalam menangani isu pemanasan global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: