Sunday, May 15, 2011

Kamera CCTV terbang


Pesawat Scout Aeryon boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk pelbagai kegunaan sama ada di laut atau darat.


BAGI kerajaan, dalam usaha memberikan kehidupan lebih selesa kepada rakyat ialah dengan memastikan kadar jenayah di negara ini semakin berkurangan dengan melaksanakan pelbagai langkah seperti meningkatkan jumlah penguatkuasa, memperketatkan undang-undang dan sebagainya.

Selain itu, bagi membolehkan aktiviti pemantauan dilakukan di kawasan yang sering berlaku jenayah, lebih banyak kamera pemantau CCTV dipasang di kawasan 'panas' di bandar-bandar besar bagi memudahkan pihak penguatkuasa menjaga keselamatan kawasan itu.

Bagaimanapun, di zaman serba canggih kini, pihak penguatkuasa sebenarnya bukan hanya boleh memasangkan kamera CCTV yang statik tetapi juga mendapatkan khidmat robot terbang yang boleh berfungsi seperti kamera CCTV terbang di udara.

Robot dikenali sebagai Aeryon Scout ini dilengkapi dengan sistem pintar penyiasatan yang mampu membanteras jenayah dan melakukan intipan melalui udara.

Penggunaan sistem ini juga mudah yang mana pengguna hanya perlu memilih mana-mana lokasi dalam Google Maps melalui skrin sesentuh dan robot itu akan terbang dengan kelajuan 48 kilometer sejam (km/j) ke lokasi tersebut.

Robot terbang yang membawa kamera ini mampu merekodkan video berkualiti tinggi dan di masa yang sama menyalirkan video itu secara masa nyata kepada komputer jarak jauh atau gajet seperti iPhone.

Scout boleh terbang sehingga ketinggian 500 meter dan mampu melakukan zoom terhadap imej walaupun berada di ketinggian 300 meter. Ini bermakna robot terbang ini tentu sukar dilihat apabila ia terbang di atas kepala anda dan sedang melakukan misi pengintipannya.

Robot ini mampu terbang dengan senyap menggunakan empat bilah rotor dan menurut Aeryon, Scout merupakan produk pengintipan berkualiti tinggi yang sangat canggih terdapat di pasaran masa kini.

Alat ini dan komputer riba untuk kawalannya boleh diletakkan ke dalam beg suitcase serta mudah dibawa ke mana-mana.

Salah satu keistimewaan kamera terbang ini ialah kameranya akan berfungsi sendiri apabila terdapat perubahan kepada sasaran dan ia juga mampu mengunci (lock) sasaran bagi memudahkan pemantauan.

Aeryon melalui laman webnya di http://www.aeryon.com menyatakan robot terbang ini boleh dibeli dengan harga RM150,000 dan ia sangat sesuai untuk pihak tentera, penguatkuasa memantau jenayah, trafik, pemetaan, memeriksa keadaan mangsa tragedi, banjir dan sebagainya.

Syarikat dari Kanada itu sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa negara bagi membolehkan ia mendapat permit untuk menerbangkan Scout di ruang udara negara tersebut dan seterusnya memasarkannya.

Kawal melalui iPhone

Robot terbang membawa kamera ini juga dikenali sebagai quadricopter dan Parrot AR.Drone merupakan antara produk yang boleh dikawal menggunakan iPod, iPhone, atau iPad.

Produk yang mempunyai kamera di hadapan dan bawah gajet ini mampu memberikan gambaran jelas mengenai sasaran yang anda pantau dan sejauh mana kedudukan gajet itu dari tanah.

Robot yang menyokong sistem Wi-Fi ini boleh dikawal menggunakan alat kawalan accelerometer yang terdapat di iPhone,iPod touch atau iPad.

Imej video atau gambar pegun yang diambil boleh dipindahkan kepada komputer dalam masa nyata dan ia juga boleh dijadikan permainan dengan rakan yang turut mempunyai AR.Drone.

Copter ini juga mempunyai empat rotordengan 'dual ultrasonic altimeter, pencepat tiga axis, pelbagai gyroskop dan platform Linux untuk menstabilkan kedudukannya ketika penerbangan, termasuk ketika menghadapi angin kuat.

Gajet tentera

Tentera Amerika Syarikat (AS) dikatakan telah menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV-unmanned aerial vehicle) jenis seperti Scout dan AR.Drone dalam menjalankan misi kenteraan di Asia Barat.

Pesawat mini itu RQ-16 T-Hawk keluaran Honeywell sangat mudah dibawa dan akan digunakan sebagai pengintip musuh ketika operasi mengesan perangkap bom di Iraq.

Pesawat ini akan diterbangkan ke hadapan dan mengimbas keadaan permukaan jalan dan juga meninjau jika terdapat musuh bersembunyi. Selain AS, United Kingdom juga telah melakukan tempahan untuk pesawat ini dan tentera India juga sedang melakukan ujian.

RQ-16 yang menggunakan enjin gasolin dan berat 8.4 kilogram boleh terbang selama 40 minit dan mencapai ketinggi sehingga 3,200 meter dengan radius operasi 11 kilometer.

Gajet ini mampu terbang dengan kelajuan 130 km/j tetapi ia hanya boleh dikendalikan jika kekuatan tiupan angin di bawah 15 knot atau 28 km/j.

Tentera AS menggunakan peralatan ini untuk membantu anggota tenteranya menjalankan pemantauan, pengintipan, meletakkan sasaran laser dan mengenalpasti sasaran.

Berat keseluruhan sistem ini, termasuk pesawat, peralatan kawalan dan sistem sokongan darat adalah kurang daripada 23 kg serta boleh dimasukkan ke dalam beg sandang yang mudah dibawa ke mana-mana.

Dalam menghadapi tragedi, drone T-Hawk juga telah digunakan untuk menjalan pemantauan dan mencari kerosakan pada loji nuklear Dai-Ichi Fukushima, Jepun pada 15 April lepas.

Loji nuklear itu menghadapi kerosakan di beberapa bahagiannya selepas berlakunya gempa bumi dan tsunami yang melanda bahagian pantai timur negara matahari terbit itu.

Kerosakan itu menyebabkan pelepasan bahan radioaktif yang membahayakan manusia, maka bantuan robot digunakan bagi mengambil gambar bahagian-bahagian yang rosak di kawasan loji nuklear tersebut.

Kesimpulannya, walaupun teknologi pesawat robotik agak mahal tetapi teknologinya boleh digunakan oleh pelbagai pihak termasuk polis, tentera, pasukan penyelamat dan penyelidikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: