Ciuman penuh kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
TIADA kata yang mampu menggambarkan perasaan terharu seorang ibu apabila menerima hadiah bernilai daripada anak kesayangan. Tergambar sinar kebahagiaan pada wajah Kathy Fauziah, ibu kepada Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam, apabila kalung bernilai RM180,000 disarungkan ke lehernya.Kalung Primadona Klasik ini direka khas oleh Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin sebagai hadiah buat pemenang anugerah tertinggi ABPBH 2010.
Seperti yang dikatakan Sam, ibunya tampak 15 tahun lebih muda apabila memakai kalung mewah itu. Ibu mana yang tidak tersentuh serta gembira apabila diraikan sedemikian rupa.
“Apabila Sam diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya sendiri tidak menjangka Sam akan dicalonkan, namun saya bersyukur atas kemenangan yang diperoleh dan sokongan yang diterima.
“Mummy rasa begitu terharu dan gembira di atas pemberian ini. Tiada kata secantik bahasa untuk Mummy selain ucapan terima kasih kepada pihak Rafflesia, Bill Bora, Berita Harian, TV3 dan rakan media serta peminat Sam sendiri. Jika tidak kerana peminat Sam yang mengundi, saya tidak akan dapat memakai kalung ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu khusus kepada semua ibu di seluruh dunia tidak mengira bangsa mahupun agama,” ujar wanita yang begitu erat dengan anak kesayangannya itu.
Tidak pandai pilih hadiah
SAM pula menganggap hadiah kalung berharga dimenanginya itu memberikannya ruang terbaik untuk menghadiahkan sesuatu kepada insan cukup disayanginya. Apatah lagi dia sendiri kerana tidak pandai untuk memilih mahupun memberi hadiah kepada insan tersayang sempena Hari Ibu.
“Saya memang seorang yang tidak pandai dalam perihal membeli hadiah ataupun menyambut apa-apa majlis. Lagipun, memang sudah terlintas di fikiran saya pada malam itu untuk menghadiahkan kalung ini kepada mak saya,” ujarnya.
Selain kalung mewah berkenaan, anak bongsu Mummy Kathy ini pernah menghadiahkan sebuah kereta Volvo kepadanya tahun lalu dan kereta terbabit dikatakan hadiah paling istimewa buatnya.
Lebih bermakna buat kedua-duanya, khusus buat tontonan peminat yang banyak menyokong kerjaya bintang popular ini, detik manis pemberian kalung Primadona Klasik itu disiarkan secara langsung menerusi Wanita Hari Ini (WHI), Isnin lalu.
Turut hadir ke majlis sambutan Hari Ibu bersama WHI ialah pelakon adik-beradik, Linda Rafar dan Diana Rafar, serta Dynas Mokhtar, Sari Yanti, dan Yatt Hamzah, di mana masing-masing membawa bersama anak kesayangan mereka. Manakala, Sharifah Sakinah pula ditemani ibunya.
Masing-masing tampak ceria kerana ada di antara barisan selebriti ini seperti Diana dan Yatt yang baru kali pertama menyambut Hari Ibu. Malah Dynas yang berpakaian sedondon dengan anak perempuannya juga tidak kurangnya menarik perhatian lensa kamera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: