
PRESIDEN Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM) Zawahir Abdullah berkata, IRM ditubuhkan setelah melihat kepada keperluan dan situasi semasa.
Pihaknya merasakan perlu ada satu organisasi yang prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia.
Zawahir yang berpengalaman luas dalam bidang kebajikan dalam dan luar negara pendapat, masyarakat Malaysia adalah penyayang dan sangat prihatin.
Katanya, semua kaum tidak terkecuali dalam membantu sesama insan baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain.
"Bermotifkan rakyat didahulukan, kami mengadakan program khusus untuk rakyat Malaysia iaitu Jejak Prihatin.
"Ia adalah antara program peringkat tempatan yang direncanakan oleh Pertubuhan IRM untuk tahun 2011 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan," katanya.
Kaedah bantuan yang dilaksanakan berbeza, di mana konsep ziarah atau kunjungan ke rumah penerima telah diamalkan bagi menilai dan merasai kesusahan mereka.
Program sulungnya adalah berkunjung di sekitar utara Semenanjung dan memfokuskan kepada masyarakat di sekitar Kedah.
Menurut Zawahir, melalui program itu, pihaknya akan menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan bagi meringankan beban kesusahan penerima manfaat tersebut.
"Pemilihan penerima manfaat adalah mengikut kriteria yang ditetapkan oleh pihak pertubuhan," katanya.
Selain itu, melalui lawatan singkat itu, ia memberi peluang kepada Pertubuhan IRM melihat keperluan lain yang diperlukan oleh penerima seperti pembaikan rumah, peralatan berbentuk kerusi roda, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sebagainya.
Pada masa yang sama, Pertubuhan IRM akan turut mengusahakan penaja yang prihatin untuk turut serta membantu mereka menjayakan program ini.
"Ini merupakan program berterusan kami dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam menghulurkan bantuan.
"Destinasi terakhir program ini disasarkan di sekitar Lembah Klang," jelasnya.
Di samping itu, Zawahir turut berbangga atas penyertaan dan penglibatan rakan kerjasama dan para sukarelawan Pertubuhan IRM.
Katanya, walaupun mereka berbilang kaum dan latar belakang yang berbeza tetapi sanggup bersatu atas semangat ingin membantu meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program seumpama ini.
Beliau juga menyeru penyertaan orang ramai untuk bersama-sama Pertubuhan IRM dalam program dan usaha-usaha kemanusiaan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: