Saturday, May 14, 2011

Jaguh silat jadi pelakon

BERBAKAT...selain berlakon Chomell turut berkebolehan menyanyi dan  mengacara.
BERBAKAT...selain berlakon Chomell turut berkebolehan menyanyi dan mengacara.

MELIHAT aksinya di televisyen mungkin ada yang terpesona melihat penampilan pelakon, Noorhanis Farhana Shahruddin, 25, atau lebih mesra disapa Chomell Fana. Seindah nama komersilnya, wajahnya sering menghiasi watak gadis periang dan remaja.

Aksi Chomell tampak selamba dan berjaya meninggalkan impak besar.

  • Foto

    JELITA...Chomell lebih selesa watak jahat.

  • Foto

    TERUJA...nantikan penampilan menerusi filem pertamanya.

  • Foto

    CANTIK...aksi lakonan Chomell jadi perhatian.

Wajah ayu dan senyum manis menghidupkan lagi watak yang dibawakan. Bermula dengan penampilan dalam drama bersiri Comel arahan pengarah popular, Aziz M Osman dua tahun lalu, dia terus mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit drama mahupun filem.

Dia bukan hanya berbakat dalam bidang lakonan malah mengembangkan sayap dalam bidang seni menerusi pengacaraan dan nyanyian.


Bercerita mengenai pembabitan dalam dunia lakonan, anak keempat daripada lapan beradik ini bermula dengan tugas di belakang tabir sebagai kru produksi.Begitupun, kesempatan diberikan Aziz M Osman untuk membawakan watak dalam Comel memberi peluang kepadanya untuk membabitkan diri dalam lakonan.


Bekas pemain bola sepak wanita remaja kebangsaan dan jaguh silat Selangor mengakui berterima kasih kepada Aziz yang memberi kepercayaan kepadanya membintangi drama.

Daripada kru produksi dia diberi peluang beraksi di hadapan lensa kamera. Begitupun, jika tidak kerana mengalami kecederaan teruk pada lutut belum pasti dia terbabit dalam bidang seni.

“Selepas tamat sekolah rendah saya cuba bermacam-macam pekerjaan. Sehingga mula terbabit dalam kerja di belakang tabir sejak 2008 dengan pelbagai tugas yang saya lakukan seperti menyediakan pakaian, kru biasa dan pembantu pengurus produksi.

“Memang banyak pengalaman dan perkara yang saya lalui sepanjang terbabit sebagai kru di belakang tabir.

“Saya akui masih dalam proses belajar. Walaupun terbabit dalam bidang lakonan namun sehingga sekarang saya masih melakukan tugas berkenaan jika kelapangan,” katanya.

Mengenai nama komersil yang digunakannya, dia memaklumkan sememangnya dia dikenali dengan gelaran Comel di kalangan rakan-rakan apatah lagi selepas membintangi drama Comel bersama pelakon senior, Amy Mastura. Selain turut disapa adik, Hanis dan Hana.

Sebagai pelakon dia sentiasa mahu melakukan yang terbaik ketika membawakan watak walaupun bertindak sebagai pelakon pembantu ia juga memainkan peranan penting dalam sesebuah karya.

“Buat masa ini memang watak yang diberikan pada saya seperti gadis remaja dan pelakon yang bergelar artis. Memang saya masih belum puas melakonkan pelbagai watak. Jika diberi peluang saya ingin mencuba lebih banyak watak jahat atau antagonis.

“Sebenarnya saya lebih suka bawa karakter jahat seperti dalam drama Roda-Roda KL sebagai minah rempit.

“Bukan sebab watak jahat tetapi watak yang membuatkan saya lebih agresif seperti menjerit lebih mudah dilakukan.

“Saya agak susah untuk menangis. Walaupun pernah membawa watak sedih dan lembut dalam telemovie Laila Sari,” katanya.

Chomell yang membawakan watak Indah dalam drama bersiri Cita dan Cinta yang kini disiarkan menerusi slot Aurora di TV9 setiap Khamis jam 8.30 malam bermula 21 April lalu. Selain Chomell, turut membintangi siri itu antaranya Izzue Islam, Nadia Aqilah, Beto Khusyairi, Sharifah Amani dan Keifli Idir.

Bercerita lanjut mengenai lakonannya sebagai Indah dalam Cita dan Cinta arahan Azma Aizal Yusoof terbitan Radius One Sdn Bhd, dia yang sebelum ini berpengalaman bergandingan dengan Azma dalam drama Technofobia sebagai pelakon cukup selesa bekerja di bawah pelakon dan pengarah muda itu.

Sikap Azma yang banyak membantu mengawal suasana penggambaran selain tidak cerewet membuatkan dia mudah berkerja sama dengan sesiapa. Malah sebagai pelakon dan pengarah tidak dinafikan Azma juga banyak membantu dalam lakonannya.

Katanya, watak Indah dalam drama ini seorang yang nakal dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya. Dia suka mengambil jalan pintas untuk berjaya dan memastikan apa yang dia mahu diperoleh. Ada juga membabitkan emosi.

“Memang saya agak malu beraksi dengan karakter Indah kerana penampilan dan gayanya yang ranggi. Apatah lagi penggambaran berlangsung di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur menarik perhatian ramai.

“Walaupun sudah beberapa tahun terbabit dalam lakonan namun sikap malu dan gementar apabila berhadapan dengan kamera masih ada,” katanya.

Dia juga tidak sabar menantikan maklum balas peminat dengan penampilannya di layar perak menerusi filem Cinta Kura-kura, Siti Suka Ramli Sarip (filem pendek) dan Azura yang bakal menjengah pawagam tidak lama lagi.

Mengenai pembabitan dalam nyanyian pula, artis yang bernaung dibawa KRU Studio pernah menduduki tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian PPW Idol sekitar 2007. Peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan KRU Studio mahu dimanfaatkan sepenuhnya. Jika tiada aral dia bakal tampil dengan single terbaru penghujung tahun ini.

Chomell yang terbabit dalam pengacaraan menerusi program Jom Heboh dan MyTV3 mahu memanfaatkan semua peluang yang diberikan kepada. Pembabitan dalam dunia seni disifatkan cukup

serius walaupun tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk meraih anugerah dalam bidang seni. Namun dia membulatkan tekad untuk berusaha gigih dan menjadikan kerjaya bidang seni sebagai sumber rezeki.

“Apa yang penting saya berusaha terlebih dulu. Memantapkan lakonan
dan mengukuhkan nama dalam dunia seni. Soal anugerah pada saya perkara kedua.
Jika kita berusaha dan komited dengan setiap perkara yang kita lakukan saya percaya rezeki akan ada. Jika menerima pengiktirafan dan anugerah pada saya ia adalah bonus kepada penat lelah dan pengorbanan yang kita lakukan sebelum ini,” katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Noorhanis Farhana Shaharuddin
NAMA KOMERSIAL: Chomell Fana
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 22 Ogos 1986
ASAL: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK : Anak keempat daripada lapan beradik
KARIER : Pelakon, penyanyi dan pengacara
PENCAPAIAN: tempat ketiga pertandingan nyanyian PPW Idol 2007
ANTARA DRAMA: Comel, Kapten Kid, Bong, Puteri, Hotel Mania, Technofobia, Roda-Roda KL, Diva-Diva Pencen, Laila Sari (telemovie)
FILEM: Cinta Kura-kura, Siti Suka Ramli Sarip (filem pendek), Azura

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: