Tuesday, May 10, 2011

Jaga pemakanan warga emas


KUrangkan pengambilan makanan yang berlemak bagi warga emas yang mengalami lebihan berat badan. - Gambar hiasan


STATUS pemakanan warga emas sangat dipengaruhi oleh perubahan-perubahan yang berlaku apabila usia semakin meningkat.

Akibat pengurangan deria rasa dan bau, keupayaan menghadam dan menyerap makanan, melihat dan mendengar, kehilangan gigi, ketahanan melakukan aktiviti fizikal, kurangnya pepejal otot, jumlah air dalam badan, kepadatan tulang dan kemurungan serta kekeliruan menyebabkan warga emas ini perlu diberi perhatian khususnya dalam hidangan makanan.

Justeru sebenarnya, apakah makanan yang baik untuk warga emas?

Ia merupakan semua makanan yang mewakili kumpulan makanan seperti yang digariskan dalam Piramid Makanan, iaitu makan sedikit makanan yang mengandungi lemak, minyak, gula dan garam. Makan sederhana susu dan produk tenusu, makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dan makan secukupnya nasi, mi, oat, bijirin dan ubi.

Makanan yang kaya dengan kalsium terutamanya susu dan produk tenusu serta makanan lain yang kaya dengan kalsium seperti tauhu, sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan kailan, ikan bilis dan ikan sardin yang dimakan bersama-sama tulangnya baik untuk pemakanan warga emas.

Begitu juga makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging lembu dan kambing, hati ayam dan sayur-sayuran seperti pucuk paku dan sawi, makanan yang kaya dengan zink seperti ikan dan makanan laut lain, hati dan daging, bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti sarapan pagi yang tidak ditambah gula, roti atau biskut mil penuh, capati dan semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, air sama ada air kosong atau jus buah-buahan.

Panduan menyediakan hidangan

Hidangkan makanan dalam hidangan yang kecil dan sesuai dengan cita rasa setempat yang mempunyai kepelbagaian dari segi jenis, rasa, warna, bentuk, tekstur dan bau.

Gunakan pelbagai perencah asli seperti halia, lengkuas, bawang, daun bawang, daun sup, herba dan rempah asli seperti ketumbar, jintan dan halba untuk membangkitkan rasa makanan.

Pilih makanan yang kaya dengan nutrien sebagai asas menu, contohnya mi sup yang disediakan dengan sup daging adalah pilihan yang lebih baik jika dibandingkan dengan mi segera.

Cara menggalakkan warga emas makan

Galakkan mereka makan bersama kawan-kawan, juga berjalan-jalan sebelum makan untuk merangsang selera makan.

Bagi warga emas yang mengalami masalah mengunyah makanan sendiri, sediakan peralatan makan yang dapat membantu mereka berlatih menyuap makanan dengan sendiri jika perlu, bantu mereka menyuap makanan itu.

Sediakan ruang makan yang bersih, selesa dan ceria serta minta pendapat tentang makanan yang disediakan dan cuba perbaiki makanan daripada maklum balas yang diterima daripada mereka.

Makanan lembut perlu disediakan bagi warga emas yang tidak bergigi, memakai gigi palsu yang tidak sesuai atau yang mengalami masalah pernafasan seperti lelah dan mengah.

Ia boleh dilakukan dengan memotong kecil atau cincang makanan sebelum dimasak, pilih sumber protein lembut seperti telur, tauhu, tempe, keju, kacang panjang, dadih atau ikan yang berlemak. Gunakan daging cincang, bebola ayam, ikan, udang atau sotong, pilih sayur yang berdaun hijau untuk penghadaman.

Bagi warga emas yang mengalami masalah berat badan, faktor ini akan meningkatkan faktor risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Warga emas yang berlebihan berat badan perlu menurunkan berat badan mereka. Untuk ini kurangkan penyediaan makanan bergoreng atau yang tinggi kandungan lemak, kurangkan penggunaan semua jenis minyak dan lemak, gula dan kurangkan saiz hidangan bagi setiap waktu makan.

Pilihlah buah-buahan sebagai snek bagi menggantikan kuih-muih. Untuk memudahkan penyediaan makanan warga emas yang menghidap diabetes, makanan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu makanan yang bebas dimakan, yang perlu disukat dan yang perlu dielakkan.

Warga emas memang tidak akan lari dari keadaan osteoporosis, justeru perbaiki keadaan ini di kalangan warga emas daripada menjadi lebih buruk dengan menyediakan makanan yang lebih tinggi kandungan kalsium.

Pastikan warga emas terdedah kepada matahari untuk memperoleh vitamin D yang dapat membantu penyerapan kalsium dan galakkan mereka bersenam untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan juga mengekalkan peningkatan jisim tulang mereka.

Anemia di kalangan warga emas berlaku disebabkan kurangnya pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi, asid folik atau vitamin B. Anemia juga boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan penyakit-penyakit kronik dan keadaan yang menganggu penyerapan zat besi oleh badan.

Sembelit pula merupakan masalah yang sering dialami oleh warga emas disebabkan kurangnya pengambilan air dan makanan yang kaya serat.

Ia juga boleh berlaku disebabkan oleh kurangnya aktiviti fizikal. Bagi mengatasi masalah sembelit di kalangan warga emas, golongan ini perlu mengamalkan minum air yang banyak, iaitu 6 hingga 8 gelas sehari walaupun mereka tidak merasa dahaga. Berilah mereka air kosong dan jus buah-buahan.

Apabila mereka makan, lebihkan kepada makanan yang mengandungi banyak air seperti sup, bubur dan puding juga makan makanan yang kaya dengan air dan serat seperti buah-buahan segar dan sayur-sayuran.

Melakukan aktiviti fizikal seperti berkebun dan berjalan juga dapat mengatasi masalah sembelit kerana fizikal mereka menjadi aktif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: