Monday, May 2, 2011

Ibu, engkaulah ratu hatiku

AKSI Shaheizy Sam menolak kerusi roda yang membawa ibunya, Khaty Fauziah selepas diumumkan Bintang Paling Popular ABPBH 2010 pada awal bulan lalu meninggalkan kenangan indah dan memberi inspirasi kepada Rafflesia The Pearl Centre menganjurkan program Hari Ibu.
AKSI Shaheizy Sam menolak kerusi roda yang membawa ibunya, Khaty Fauziah selepas diumumkan Bintang Paling Popular ABPBH 2010 pada awal bulan lalu meninggalkan kenangan indah dan memberi inspirasi kepada Rafflesia The Pearl Centre menganjurkan program Hari Ibu.
Shaheizy Sam beri inspirasi kepada penganjur meraikan Hari Ibu

KEMENANGAN Bintang Paling Popular, Shaheizy Sam di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 pada April lalu masih berbekas di hati ramai. Mana tidaknya, sebaik nama diumumkan, pelakon Adnan Sempit itu tidak terus naik ke pentas sebaliknya meluru ke arah ibu tersayang dan memimpin tangan ibu naik ke pentas.

Siapa mampu melupakan momen yang membuatkan sebahagian besar hadirin terpaku manakala sebilangan lagi menitiskan air mata terharu melihatkan penghargaan seorang anak terhadap insan melahirkan - sesuatu yang belum pernah berlaku dalam mana-mana majlis penghargaan.
Bagai diucapkan anak bongsu terhadap lima bersaudara itu yang sekali lagi memberi ruang untuk ibunya, Khaty Fauziah juga dramatis menitip sepatah dua kata sebaik trofi beralih tangan ‘Mummy adalah insan paling istimewa dalam hidup saya’.
Mengambil inspirasi daripada sejarah ABPBH ke-24 itu, buat julung kali Rafflesia The Pearl Centre menganjurkan majlis istimewa khusus buat golongan itu di PNB Darby Park, namun istimewanya ia membabitkan kehadiran selebriti bersama ibu masing-masing.

Bertemakan warna hijau, mereka yang diundang khas di majlis ini melangkah penuh gaya diiringi insan tersayang, antara yang hadir Norman Hakim, Memey, Fizz Fairuz, Nur Fathia, Fouziah Ghaous, Shila, Eina, Raja Farah, Miera Lyana, Kilafairy, Faralyna, Elfira Loy, Khairul Azrean serta Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Azhar Osman.

Menyerikan majlis juga adalah barisan pereka muda yang menyediakan persalinan untuk artis termasuk Rizman Ruzaini, Wan Huzairil dan Arif Shukor.
Bagaimanapun, Shaheizy tidak diundang di majlis kerana bagi mengelakkan kehadirannya membayangi penampilan setiap artis yang datang kerana kebanyakannya mereka baru dalam dunia lakonan.
Sama cantik, sama menawan. Itu gambaran awal tatkala melihat si gadis mahu pun si jejaka ditemani insan paling akrab kerana ada di antara mereka baru pertama kali memperkenalkan ibu kepada umum kecuali Shila Hamzah yang sering ditemani individu paling rapat dengannya, Fauziah Saman.

Seperti diucapkan Shila, ibunya adalah teman ketawa, menangis dan tidak ketinggalan ‘rakan gaduh’ kerana mereka jarang berenggang ke mana-mana malah keakraban seumpama itu membuatkan hubungan cukup rapat.

“Insan bernama Fauziah Saman ini sangat istimewa dalam hidup saya. Dia sanggup menemankan saya walau ke mana-mana malah sampai sekarang dia saya anggap sebagai sahabat paling baik. Sebenarnya dia juga teman saya bergaduh,” katanya sambil ketawa.

Suasana majlis ini sebenarnya cukup santai. Ia benar-benar meraikan hari ibu. Sebahagiannya diusik oleh pengerusi majlis yang juga pegawai publisiti Rafflesia, Bill Bora bagaimana mereka meluahkan perasaan sayang pada ibu masing-masing.

Luahan mereka, biarpun jujur, ada yang agak kelakar tetapi tidak kurang juga menyentuh perasaan. Foziah menceritakan mengenai kesabaran ibunya menunggu dia balik rumah selepas menghadiri sesuatu acara atau penggambaran, biarpun sudah terlalu lewat malam.

Begitu juga dengan Memey yang menyanjung tinggi ibunya kerana tidak putus-putus memberikan semangat dan nasihat sepanjang mengharungi kerjanya sebagai anak seni.

Setiap ibu beri yang terbaik

BAGI ibu Norman, Kamariah Kamal, 70, tatkala ditanya pendekatan mendidik anak, jawabnya, sebagai ibu sudah pasti dia mahu yang terbaik buat semua anak-anaknya selain memberi bimbingan sebaik mungkin walaupun masing-masing sudah dewasa.

“Sebagai ibu saya sekadar memberi panduan, bukan menetapkan apa yang perlu dilakukan walau di dalam apa jua perkara. Bersama nasihat serta ilmu yang dibekalkan, saya yakin mereka sudah lebih dari mampu untuk mempertimbangkan perkara baik atau buruk,” katanya.

Bertemakan rona hijau, dewan indah yang mendapat sentuhan dekorasi indah itu tambah berseri apabila seorang demi seorang melangkah masuk umpama berada di sebuah malam gala anugerah, cuma bezanya majlis itu lebih unik apabila menggandingkan artis dan ibu mereka.

Bagai berada di sebuah majlis anugerah, status sebagai ibu tidak menghalang mereka untuk mengacu gaya dengan aneka persalinan malah bagi yang memilih baju kurung, masih kelihatan hebat apabila dipadankan dengan aksesori dan tas tangan warna senada.

Sememangnya malam itu milik mereka apabila bukan sekadar diraikan pada hari istimewa itu dengan hidangan makan malam bersama anak kesayangan malah turut dihiburkan persembahan artis popular selain menerima sekotak coklat dibungkus mewah sebagai cenderahati.

Tidak lengkap acara jika tiada persembahan nyanyian sebagai penyendal, malam itu tetamu dihiburkan persembahan Shila yang memukau hadirin bersama dua dendangan, Memori Tercipta dan Fame.

Terdahulu juara BIBH 2010, Azhar memilih My Baby You serta Cinta Kristal sebagai pemanas pentas.

Sambil menjamu selera, persembahan diteruskan dengan kemunculan bakat dari Indonesia, Terry yang bakal bergandingan dalam single Azhar. Malam itu lagu nyanyian asal Aishah disampaikan sepenuh hati dan tidak ketinggalan Harusnya Kau Pilih Aku.

Bakat yang baru menjengah usia 16 tahun, Eina yang turut membintangi filem Ratu membawakan lagu Bertamu Di Kalbu. Walau malam sudah menginjak ke angka 11, hadirin seakan masih belum puas hingga tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Apa pun, majlis seumpama itu wajar diteruskan malah siapa tahu suatu hari nanti selebriti dan bapa mereka digandingkan dalam acara sebegitu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: