![]() |
| Norhakim Mohd. Salleh |
“IBU adalah insan mulia anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Apabila ada masa lapang untuk bersama ibu, saat inilah yang paling manis dirasakan dalam hidup ini.”
Itulah luahan hati personaliti pilihan Helo Kampus kali ini. Anak kedua daripada tujuh beradik ini bertuah kerana mempunyai seorang ibu, Norasnah Mohamad, 45, yang penyayang, bertanggungjawab dan memahami.
Ibunya sentiasa menumpahkan kasih sayang kesemua semua anak-anaknya dan tidak pernah membezakan antara mereka, malah kegembiraan sentiasa dikongsi bersama.
Pada sambutan Hari Ibu yang baru berlalu, anak muda yang mesra dipanggil Akim ini memberitahu dia tidak sempat untuk membelikan apa-apa hadiah untuk ibunya, sebaliknya menghadiahkan doa supaya insan tersayang itu selamat dunia dan akhirat.
“Jika boleh, sambutlah Hari Ibu pada setiap hari iaitu selama 365 hari setahun di samping selalu bertanyakan khabarnya ketika hayatnya masih ada kerana tidak guna kita kesali setelah ketiadaannya.
“Ibu sungguh luar biasa, kerana itu jugalah saya dan adik-beradik yang lain amat menyayanginya yang telah melahir, mendidik dan membesarkan kami,” katanya yang memanggil ibunya, mama.
Dia yang aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu juga pandai menguruskan masa kerana walaupun sibuk mengikuti kuliah, dia turut mencari wang saku dengan belajar berniaga secara kecil-kecilan membantu abang sulungnya, Norhisham di butik di Kompleks Beli-belah Summit pada hujung minggu atau cuti semester.
“Duit upah yang diperoleh saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan di universiti, tidaklah bergantung sepenuhnya ‘elaun’ yang diberikan keluarga,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: