Saturday, May 14, 2011

Himpunan terbesar pemilik Ducati


TURUT dipamerkan ialah model terbaru Ducati Diavel.


MESKIPUN hujan lebat melanda ibu kota, ia bukan penghalang kepada pemilik-pemilik jentera kuasa Ducati untuk meneruskan konvoi ke Berjaya Times Square di Kuala Lumpur.

Berlepas dari Ducati Naza Auto Mall di Petaling Jaya, hasrat pelbagai lapisan penunggang jenama Itali itu hanya satu iaitu mencatatkan rekod perhimpunan terbesar motosikal Ducati di satu lokasi pada satu masa yang sama. Akhirnya misi itu tercapai jua apabila angka rasmi berjaya merekodkan sebanyak 110 jentera menyertai konvoi itu. Lebih manis rekod tersebut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Program hasil usahasama Next Bike Sdn. Bhd. (Next Bike) dan Ducati Club Malaysia (DCM) itu diadakan bersempena pameran bergerak Shell Advance 4T. Next Bike merupakan pengedar tunggal motosikal Ducati di negara ini dan juga syarikat subsidiari syarikat Kumpulan Naza.


Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama model Ducati yang dipamerkan.


Selain aktiviti konvoi, acara itu juga menganjurkan pameran pelbagai model Ducati termasuk beberapa model motosikal baru termasuk Diavel, 848 Evo superbike dan Multistrada.

Eratkan silaturrahim

Pengerusi DCM, Tengku Mohd. Saad Tengku Mansur berkata, penubuhan DCM bertujuan mengumpul pemilik-pemilik Ducati di negara ini di bawah satu bumbung untuk mengeratkan silaturahim menerusi pelbagai aktiviti.

“Pada awal penubuhan kelab tahun lalu, DCM memiliki 14 orang ahli. Kami kemudiannya dengan bantuan Naza berusaha untuk menghubungi dan mempelawa pemilik-pemilik Ducati sedia ada untuk menyertainya.

“Ketika ini, DCM sudah mengumpul keahlian kira-kira 150 individu termasuk lapan penunggang wanita dari seluruh negara," katanya yang memberitahu terdapat hampir 500 pemilik Ducati di negara ini.


Linda Onn turut menyertai konvoi DCM.


Antara aktiviti DCM termasuk aktiviti trek di litar Sepang, konvoi, tunjuk ajar menunggang secara betul serta aktiviti sokongan seperti Pameran Bergerak Shell Advance 4T, Ride it Right dan Moto GP.

Berhubung faedah dinikmati ahli kelab, Tengku Mohd. Saad berkata, pemilik jentera dapat menikmati diskaun sebanyak 20 peratus untuk peralatan dan barangan selain subsidi aktiviti seperti pemanduan di Litar Sepang.

Yuran pendaftaran kali pertama ialah RM150. Daripada jumlah tersebut, RM30 untuk pendaftaran sekali seumur hidup manakala bakinya adalah yuran tahunan. Bermula tahun kedua keahlian, yuran tahunan ialah sebanyak RM120. Maklumat lanjut mengenai DCM, sila layari laman sosial Facebook Ducati Club Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: