PUAS HATI... kreativiti pelajar ini mendapat pengiktirafan pihak penganjur.
BUDAYA kreativiti dan inovasi semakin menapak kukuh di kalangan generasi muda negara, malah daya kreativiti dan inovasi itu menjadi antara elemen teras di institusi pengajian tinggi (IPT).
Keadaan itu dilihat sebagai petanda bahawa rakyat, khususnya golongan muda, semakin menyerlah dan berupaya menzahirkan lakaran kreativiti dan inovasi berkualiti tinggi.
Sejajar dengan hasrat negara yang ingin mencapai sasaran status negara maju menjelang 2020 melalui Gagasan Wawasan 2020, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang sudah lama menggiatkan aspek kreativiti dan inovasi di kalangan pelajarnya.
Baru-baru ini, sekumpulan pelajarnya yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Jentera Loji Mekanikal berjaya menghasilkan 'Ganu Chopper' sebagai satu daripada projek tugasan mereka.
Penyelia projek, Kamil Sahidin yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal berkata, projek itu adalah tugasan tahun akhir sekumpulan lima pelajar. Katanya, pelajar menyediakan satu pelan kerja mengubahsuai bentuk sebuah motosikal jenis Honda 70 CC dan membuat reka bentuk baru pada strukturnya dalam usaha menerapkan ciri 'sport' pada motosikal itu.
"Saya sangat bangga dengan keupayaan pelajar yang komited terhadap projek ini dan menunjukkan daya kreativiti tinggi.
"Yang penting, mereka dapat mengaplikasikan segala ilmu kejuruteraan mekanikal selama ini menerusi penghasilan wajah baru jentera itu," katanya.
Projek diberi nama 'Perai Alein' itu diketuai Mohd Fakhari Syuwari Mat Ghani, 21, anak muda yang berasal dari Setiu, Terengganu.Katanya, kejayaan kumpulannya menghasilkan reka bentuk motosikal yang diubahsuai itu dianggap kejayaan bersama.
"Idea menghasilkan reka cipta itu muncul selepas kami berbincang dalam kumpulan selepas melihat beberapa gambar motosikal sedia ada dan cadangan kami diterima penyelia.
"Sejak itu kami menetapkan sasaran untuk menghasilkan antara projek terbaik untuk tahun ini di sini," katanya.
Sementara itu, Mohamad Fadli Hisyam Ismail, 21, berkata projek reka bentuk Ganu Chopper itu menelan belanja sekitar RM2,500 dan mereka berkongsi untuk menyediakan segala peralatan diperlukan.
Ketika ditanya apakah objektif utama reka bentuk projek berkenaan, dia berkata ia adalah satu projek untuk melihat kesesuaian keupayaan enjin.
"Selain itu, rekaan ini dicipta dengan mengetengahkan beberapa ciri istimewa, termasuk mampu meminimumkan penggunaan petrol.
"Saya gembira kerana ia akhirnya berjaya 'melahirkan' sebuah motosikal berwajah baru dan lebih membanggakan apabila projek kami terpilih untuk dipamerkan dalam satu pameran di kampus baru-baru ini," katanya.
Rakannya, Mohd Nazrin Kadir, 21, berkata mereka berdepan pelbagai masalah pada awal proses menghasilkan projek itu.
Katanya, pada mulanya mereka menyangka peralatan untuk memulakan projek itu mudah diperoleh, namun mereka kemudian hampir putus asa kerana sukar mencari alatan untuk beberapa komponen tertentu, termasuk rim tayar yang sesuai.
"Selepas berbincang, akhirnya kami memutuskan untuk menggunakan rim tayar depan berukuran 18 inci dan belakang pula berukuran 14 inci.
"Kesukaran mendapat alat ganti pada bahagian tertentu tidak mematahkan semangat kami, sebaliknya masing-masing gigih menyiapkan projek itu," katanya.
Bagi Ahmad Syazwan Rusli, 21, bidang inovasi bukan sesuatu yang baru bagi kita tetapi tidak ramai golongan muda berani mengetengahkan idea mereka.
"Dengan penghasilan motosikal ini, kami berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa kami berjaya menghasilkan projek inovasi berkualiti tinggi," katanya.
Seorang lagi ahli kumpulan, Mohd Norul Hakim Mohd Nasir, 21, mengharapkan budaya kreativiti dan inovasi di IPT akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa kerana dalam era globalisasi kini, Malaysia seharusnya mampu melahirkan modal insan yang serba boleh dan berdaya saing.
"Saya meminati motosikal lasak dan sering mengikuti perkembangan jentera berkenaan, sebab itu timbullah di fikiran saya untuk mengutarakan idea menghasilkan reka bentuk projek ini.
"Penyelia banyak membantu kami dan komited membimbing, malah menegur apa saja kesilapan yang kami lakukan selama ini," Katanya.
>INFO
> Ganu Chopper dihasilkan lima pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal
> Melakukan pengubahsuaian pada motosikal jenis Honda berkuasa 70 CC
> Berkonsepkan penjimatan petrol dan pengubahsuaian reka bentuk menggunakan komponen tempatan
>PROFIL
NAMA: Mohd Fakhari Syuwari Mat Ghani
UMUR: 21 tahun
JURUSAN: Diploma Kejuruteraan Mekanikal
ASAL: Setiu, Terengganu
HOBI: Bersukan dan Memancing
CITA-CITA: Usahawan Peralatan Kejuruteraan.
>PROFIL
NAMA: Ahmad Syazwan Rusli
UMUR: 21 tahun
JURUSAN: Diploma Kejuruteraan Mekanikal
ASAL: Paka, Terengganu
HOBI: Bermain Komputer
CITA-CITA: Jurutera
>PROFIL
NAMA: Mohd Norul Hakim b. Mohd Nasir
UMUR: 21 tahun
ASAL: Kampung Hiliran, Kuala Terengganu
HOBI: Sukan lasak dan aktiviti kembara
CITA-CITA: Jurutera bertaraf global
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: