Sunday, May 15, 2011

Ganjaran tembak Nuri


IBRAHIM menunjukkan pakaian seragam juruterbang yang pernah disarungnya lebih 30 tahun lalu.


TIADA apa yang terkesan di hati seorang bekas juruterbang helikopter Nuri selain mendengar suara-suara sumbang yang mahu membawa pulang Bekas Setiausaha Agung, Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia beberapa tahun lalu.

Bagi Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman, 62, yang berjuang menentang pengganas komunis sekitar 1970-an, dosa Chin Peng dan komunis di negara ini terlalu besar.

Katanya, ramai rakyat menderita dan tidak kurang juga yang hilang nyawa serta cacat anggota badan dek kekejaman mereka.

“Apabila saya dengar ada lagi pihak yang mahu Chin Peng kembali menetap di Malaysia, saya rasa terlalu kecewa.

“Menulis buku Coretan X Nuripilot ini adalah bagi meluahkan rasa kecewa yang terpendam itu,” kata anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Kata Ibrahim, beliau mula mengumpul maklumat untuk bukunya itu sejak tahun 2009 dengan bantuan rakan-rakannya dalam tentera.

Tambah Ibrahim, beliau mengimbas kembali pengalaman semasa memikul tanggungjawab sebagai juruterbang helikopter Nuri berdasarkan catatan pada buku log penerbangan pemandu-BAT TU 3663.

“Semua juruterbang mempunyai buku log dan ia adalah satu-satunya kenangan sebagai seorang juruterbang helikopter dahulu,” jelas beliau.

Buku Coretan X Nuripilot itu siap sepenuhnya pada 27 April lalu. Bagi Ibrahim, beliau berasa begitu bangga dengan sambutan yang diberikan terhadap buku itu.

Ditembak


ANTARA rakan-rakan Ibrahim yang terkorban selepas pesawat Nuri ditembak di Gubir, Kedah pada 1976.


Selain panggilan telefon, beliau turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anak beberapa pejuang tentera udara yang terkorban dalam operasi menentang komunis.

SMS itu berbunyi: “Sepanjang 35 tahun hidup saya, inilah maklumat paling bagus yang saya dapat mengenai pengorbanan bapa saya.”

Satu lagi SMS menyebut: “Baru sekarang tahu cerita tentang bapa, pernah tanya mak sebanyak dua kali tetapi mak tak jawab.”

Luahan hati menerusi SMS itu antaranya daripada anak kepada wira-wira Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam Operasi (Ops) KOTA di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah pada 26 April 1976.

Dalam nahas itu, helikopter Nuri yang membawa sebelas pegawai dan anggota pasukan keselamatan terhempas akibat ditembak komunis.

Perajurit yang terkorban ialah Mejar Haris Rejab, Kapten (Udara) Mustaffa Kamal Md. Shaffie, Kapten (Udara) Choo Yeok Boo, Kapten Sulaiman Abdullah, Leftenan Ibrahim Zakaria, Leftenan (Udara) Wan Munsiff Wan Salim, Leftenan (Udara) Chung Ming Teck, Sarjan (Udara) Leong Yee Heong, Sarjan Khamis Dolmat, Korporal Kamarulzaman Zakaria dan Lans Koperal Suandi Saim.

“Tragedi itu paling meruntun hati saya kerana perwira yang terkorban itu merupakan kenalan saya. Saya juga telah dilantik sebagai Pegawai Pelarasan Kematian untuk arwah Leftenan (Udara) Wan Munsiff,” katanya yang tidak terlibat dalam operasi berkenaan.


KEM Gubir sekarang. Penghuni kem ini pernah menjadi saksi kekejaman pengganas komunis di negara ini.


Memetik maklumat mengenai tragedi tersebut daripada seorang anggota Air Rescue, Staf Sarjan Yusof Abu menggambarkan keadaan mayat yang sungguh ngeri dan menyayat hati.

“Kami dapati ada antara mayat yang telah putus tangan, kaki malah ada juga yang terpisah kepala daripada tubuh.

“Ada juga yang terputus sendiri apabila kami cuba mengalihkan dan mengangkat mayat tersebut,” kata Yusof.

Berkongsi pengalaman ketika menggalas tugas sebagai juruterbang Nuri, Ibrahim memberitahu, mereka sentiasa menjadi sasaran peluru komunis.

Talian hayat

“Nuri adalah talian hayat untuk kerja-kerja menyelamat tentera yang cedera, menghantar bekalan makanan dan ubat supaya mereka boleh terus menentang komunis. Jadi komunis menyasarkan tembakan tepat ke arah juruterbang bagi menjatuhkan Nuri.

“Ini kerana tembakan pada Nuri kebiasaannya akan merosakkan bahagian badannya sahaja dan masih mampu berfungsi untuk terbang ke tempat lain bagi menyelamatkan nyawa dan bekalan dibawa,” jelasnya.

Komunis hanya berjaya menembak jatuh sebuah Nuri pada 26 April 1976 kerana peluru sesat terkena bahagian tertentu yang dianggap kritikal sehingga melumpuhkan pesawat tersebut.

Kata beliau, komunis juga pernah mengedarkan risalah untuk memberikan ganjaran lumayan kepada sesiapa yang berjaya menembak mati juruterbang Nuri.


ANGGOTA pasukan sedang menggantikan bilah rotor utama yang rosak akibat terkena tembakan pengganas komunis di Kroh, Perak.


“Bohong kalau kata tidak takut, memang takut tetapi berbekalkan semangat berjuang yang tidak pernah luntur, kami sebagai juruterbang sanggup berkorban nyawa kerana negara tercinta,” katanya.

Katanya, tanggungjawab yang dipikul sangat besar dan ia memerlukan keberanian untuk membuat keputusan seterusnya bertindak dengan cara bijak.

“Kita ingat satu sahaja, kalau tidak pergi membuat operasi menyelamat dengan mendarat di kawasan panas, askar-askar yang cedera akibat ditembak atau terkena jerangkap samar. Nurilah adalah satu-satunya talian hayat mereka,” ujarnya.

Menurut Ibrahim lagi, helikopter Nuri tidak mempunyai kelengkapan untuk menyerang kecuali dilengkapi dua anggota komando pada setiap operasi.

Malah, katanya, di kawasan tertentu, Nuri juga akan diiringi pesawat pejuang F5E dan Tebuan yang mana pesawat itu akan mengebom kawasan panas komunis sebelum Nuri membuat pendaratan.

“Nuri bukanlah pesawat untuk menyerang tetapi untuk membawa penumpang dan bekalan. Sekiranya tiada pesawat pejuang lain yang mengiringi, risiko diserang amatlah tinggi.

“Kami sentiasa diburu dan diserang hendap komunis tetapi tiada perkataan tidak dalam diri kami kerana tugas yang dipikul perlu dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya dengan penuh semangat.

Ujarnya lagi, mungkin semangat cintakan negara yang ada pada dirinya mengalir dalam darahnya sebagai generasi kelima wira negara, Dato’ Maharaja Lela yang dihukum gantung kerana didapati bersalah berkomplot membunuh Residen British, J.W. W. Birch pada 2 November 1875.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: