KEGAGALAN menempatkan nama dalam industri hiburan yang mula diceburi sejak 2007, tidak menjatuhkan semangat kumpulan yang lahir daripada program realiti Gangstarz musim pertama, 1st Edition, untuk terus bangkit.Perjuangan kumpulan yang dulu dianggotai lima anak muda iaitu Jijo, Erol, Hafis, AJ dan Aril (AF7) juga tidak sampai ke penghujung dalam program itu apabila mereka tersingkir pada minggu kedua.
Jijo dan Erol juga mahu nama 1st Edition terus dikenali, walaupun sebahagian lagi anggota asal kumpulan itu menceburi karier baru dan kini sibuk dengan komitmen masing-masing.
Dengan kemasukan anggota baru, Amar, yang juga pemain gitar, membuatkan Jijo dan Erol semakin bersemangat malah melihat sinar penjenamaan 1st Edition kembali cerah dalam dunia seni.
Kini, menerusi single pertama berjudul Perpisahan Ini, yang menggandingkan mereka bersama Aizat Amdan, nama 1st Edition mula dikenali ramai. Malah lagu itu turut berada pada kedudukan selesa dalam carta lagu popular tempatan.
Menurut Jijo, tidak dinafikan kerjasama kumpulan itu bersama Aizat cukup membantu menaikkan nama mereka untuk dikenali peminat.
“Memang saya tidak nafikan, dengan bantuan Aizat, membuatkan 1st Edition semakin dikenali.
"Kami tidak kisah apa yang orang nak kata, seperti kami menumpang populariti Aizat dan sebagainya. Hakikatnya memang kami masih baru dan belum dikenali.
“Setiap artis harus ada strategi sendiri untuk mengukuh penjenamaan mereka dan kami perlu berusaha untuk menempatkan nama di dalam industri. Jadi, saya rasa ia bukan satu kesalahan, tetapi satu ikhtiar,” katanya ketika berkunjung di Balai Berita baru-baru ini.
Hasilkan lagu sendiri
MENURUT Erol, penghasilan lagu Perpisahan Ini mendapat kerjasama yang positif daripada Aizat, malah abangnya, Anas, turut menyukai lagu itu.
"Buat masa ini, kami dan mencipta lagu dan menulis lirik sendiri. Hasrat kami adalah untuk membawa kelainan dalam industri dari segi susunan muzik.
“Paling penting, pengetahuan muzik tidak pernah statik dan kami pula sentiasa bersedia mempelajari dan menimba ilmu muzik dari semasa ke semasa.
"Kehadiran Amar juga memberikan kekuatan berbeza kepada 1st Edition, memandangkan Amar berpengalaman mengiringi banyak artis nasyid di studio. Selepas mencuba beberapa sesi dan berlatih bersama, kami mula serasi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: