Wednesday, May 11, 2011

Format pertandingan puaskan pemain


PERUBAHAN format kejohanan bakal menyaksikan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! berlangsung lebih meriah dan sengit berbanding tahun lalu. Kini juara dan naib juara peringkat kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.


KUALA LUMPUR – Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 bakal menyaksikan penganjuran yang mantap dengan format pertandingan lebih memuaskan para pemain berbanding tahun lalu.

Pegawai penyelaras sekretariat kejohanan, Mohamad Izuwan Mohamad Hayat menjelaskan, menerusi format kali ini, setiap kumpulan akan mengandungi tiga pasukan dengan dua pasukan teratas layak masuk ke peringkat kalah mati.

“Pada kejohanan tahun lalu, dalam setiap kumpulan yang terdiri daripada tiga pasukan, hanya satu yang layak ke peringkat seterusnya. Kali ini juara dan naib juara peringkat kumpulan layak.

“Perubahan ini dibuat kerana kami telah membuat perancangan yang lebih rapi dan mahu menjanjikan penganjuran terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 26 hingga 29 Mei ini di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM133,150.

Menurut Mohamad Izuwan, pembahagian pasukan bagi setiap kategori akan dibuat mengikut sesi pengundian yang bakal ditetapkan sebaik sahaja proses pendaftaran selesai.

“Pihak kami berharap semua pasukan mendaftar segera sebelum tarikh tutup pada 19 Mei bagi mengelak sebarang masalah.

“Setakat ini sistem pendaftaran dalam talian berjalan lancar. Walaupun begitu kami menjangka talian akan bertambah sesak apabila kebanyakan pasukan dipercayai menunggu minggu terakhir untuk mendaftar,” ujarnya.

Jelasnya, setiap pasukan perlu mengandungi 10 pemain termasuk pengurus pasukan dan mereka hanya dibenarkan mempunyai seorang pemain kebangsaan, negeri atau Felda di dalam pasukan.

“Setiap pemain hanya boleh mendaftar sekali sahaja dan cuma mewakili satu pasukan sepanjang pertandingan. Kegagalan untuk mematuhinya akan menyebabkan pasukan terbabit digugurkan daripada pertandingan,” katanya.

Menurutnya, hanya pemain yang disenaraikan dalam senarai akhir layak menyertai pertandingan dan mereka tidak boleh diganti kecuali diberi kebenaran oleh pihak penganjur.

“Setiap pemain diwajibkan membawa bersama kad pengenalan semasa hari pertandingan bagi memudahkan urusan semakan dan mengelak sebarang masalah.

“Peserta luar negara pula diwajibkan membawa pasport untuk membolehkan mereka menyertai pertandingan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai kejohanan tersebut boleh diajukan kepada akaun Futsal Kosmo! Group di laman sosial Facebook.

Mana-mana pasukan yang ingin menyertai kejohanan itu boleh mendaftar secara dalam talian di www.kosmofutsal.com.

550 pasukan telah sahkan penyertaan

KUALA LUMPUR – Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila 550 pasukan telah mendaftar untuk menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Mei ini.

Pegawai penyelaras sekretariat kejohanan, Mohamad Izuwan Mohamad Hayat berkata, jumlah tersebut menepati sasaran pihaknya untuk mendapat penyertaan melebihi 500 pasukan selepas dua minggu promosi dilakukan.

“Sehingga pukul 10 malam ini (malam tadi), kita telah memperoleh 550 pendaftaran bagi kesemua kategori yang dipertandingkan dalam edisi kedua kejohanan itu.

“Kami menjangka jumlah itu akan terus meningkat dan yakin penyertaan bakal mencecah 2,000 pasukan apabila pendaftaran ditutup pada 19 Mei ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pertambahan sebanyak 326 pasukan daripada 224 pasukan seminggu lalu turut dipengaruhi oleh insentif khas yang diumumkan oleh pihak penganjur baru-baru ini.

Mengikut ganjaran insentif tersebut, Mohamad Izuan berkata, pasukan yang mendaftar awal dan menjelaskan yuran akan dipilih memenangi hadiah cabutan bertuah selain habuan wang tunai untuk pasukan yang mendaftar pada nombor-nombor istimewa.

Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 akan berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM133,150.

Tujuh kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 18, Lelaki Bawah 12, Lelaki Antarabangsa, Wanita Antarabangsa dan Larut Malam (Lelaki).

Dani FC guna tenaga pelajar kelahiran Afrika


PASUKAN Dani FC yang diwakili pemain dari Afrika mahu mengungguli kategori Lelaki Antarabangsa kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo!.


KUALA LUMPUR – Sentuhan pemain-pemain yang berasal dari Afrika bakal menjadi tunjang kepada pasukan Dani FC pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! hujung bulan ini.

Pasukan yang ditubuhkan pada tahun 2009 itu dibarisi pemain asing yang merupakan pelajar-pelajar kolej di sekitar negeri Melaka.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan menggunakan kemahiran anak tempatan untuk mencatur strategi apabila dilatih oleh pemain futsal Selangor, Mohamad Taufik Yaiyah sejak Januari lalu.

Penolong jurulatih pasukan itu, Shahrul Azmil Sulaiman berkata, khidmat pemain futsal berpengalaman itu mampu meningkatkan tahap permainan mereka menjelang kejohanan yang akan diadakan kira-kira dua minggu lagi.

“Latihan diadakan empat kali seminggu. Corak permainan yang diterapkan oleh Taufik cukup berkesan dengan menekankan aspek taktikal, psikologi dan kecergasan pemain.

“Hasilnya, kami berjaya menjuarai kejohanan futsal terbuka anjuran Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing pada minggu lepas,” katanya di sini semalam.

Shahrul Azmil berkata, Dani FC mahu mencipta sejarah dengan menjuarai kategori Lelaki Antarabangsa yang diadakan buat kali pertama dalam kejohanan futsal terbesar di Putrajaya nanti.

“Para pemain kami kini menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap latihan dan bersemangat untuk bergelar juara sulung kategori berkenaan,” ujarnya.

Kategori Lelaki Antarabangsa menawarkan hadiah RM1,000 untuk juara, RM750 tempat kedua dan RM500 tempat ketiga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: