![]() |
| BADRUDDIN Amiruldin (kanan) menyampaikan replika cek untuk Program Mempelbagai dan Menambah Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan bagi 44 usahawan bernilai RM220,000 kepada wakil program, Rozita Hanafi (kiri) sambil diperhatikan oleh Wan Abdullah Wan Chik (dua dari kanan) dan Anuar Mohamed di Alor Setar, semalam. |
ALOR SETAR 22 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan seramai 500 usahawan industri asas tani baru akan memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best bagi produk keluaran mereka menjelang penghujung tahun ini.
Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin berkata, sejak jenama berkenaan diperkenalkan dua tahun lalu, pihaknya hingga kini berjaya membimbing usahawan terlibat dengan pelbagai produk di bawah jenama berkenaan.
Kata beliau, menerusi jenama 1Malaysia Best, para usahawan dapat memasarkan produk pada kualiti terbaik dan memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam sistem perdagangan berteraskan eksport sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Ini semua adalah hasrat murni kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membimbing usahawan secara bersungguh-sungguh sehingga produk mereka walaupun berasal dari kampung tetapi boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani Peringkat Zon Utara dan Anugerah Khidmat Setia dan Amat Setia FAMA Kedah/Perlis 2011 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah FAMA Kedah, Wan Abdullah Wan Chik dan Pengarah FAMA Pulau Pinang, Anuar Mohamed.
Badruddin berkata, proses untuk mengiktiraf produk yang melepasi tahap di bawah jenama 1Malaysia Best memerlukan penelitian kerana ia mesti mengikut aturan dan peraturan yang ditetapkan bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.
Kata beliau, ia ditentukan dengan berpandukan lima faktor iaitu halal, kesihatan, pembungkusan, pelabelan dan kualiti bahan-bahan bagi produk yang hendak dipasarkan.
Menurut beliau, FAMA memainkan peranannya dengan membantu dari segi pemasaran sama ada menerusi ejen yang berada di peringkat antarabangsa atau memasarkannya sendiri di negara-negara yang terlibat.
“Bagi memudahkan usahawan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan itu, FAMA akan memberikan bimbingan terutama dari segi latihan dan input dalam menghasilkan produk yang halal, berkualiti dan selamat.
“Saya percaya dengan bimbingan dan pelbagai program yang kita buat akan memudahkan lagi usahawan tempatan menuju ke arah mendapat pengiktirafan jenama 1Malaysia Best,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: