![]() |
| Chef Hong begitu teliti dengan setiap hasil kerjanya. |
SEGALA-galanya bermula sebaik sahaja beliau tamat tingkatan lima pada tahun 1998. Pekerjaan pertama yang dilakukan ketika itu ialah sebagai pembantu di salah sebuah restoran.
Dari situ situ anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, ini tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus mengorak langkah mengejar cita-cita untuk menjadi tukang masak atau chef disegani suatu hari nanti.
Kini selepas lebih 10 tahun, nama Chef Kong Yik Hong, 31, semakin sebaris dengan chef-chef terkenal tanah air lebih-lebih lagi dalam bidang pastri.
Dalam tempoh itu juga beliau menimba pengalaman di hotel-hotel bertaraf lima bintang di Malaysia dan juga Timur Tengah.
Mendapat pendidikan rasmi dalam bidang kulinari dari Ecole Gastronomique, Paris pada tahun 2008, Chef Hong pernah meraih beberapa anugerah seperti Anugerah Perak untuk pameran pastri 2009 di Emirates Salon Culinary Dubai, Anugerah Perak untuk ukiran coklat 2008 juga dari institut yang sama dan pemenang Chef Tahunan Asia Barat pada 2007.
Selain mahir dalam bahagian pastri, Chef Hong juga merupakan pakar dalam membuat potongan pameran di bufet, ukiran ais, ukiran coklat, pameran gula, kek perkahwinan dan perekaan kek dan dalam erti kata lain, beliau merupakan seorang pakar gula dan kek.
Baru-baru ini ketika dijemput untuk melihat hasil kreativitinya di Akademi Seni Pastri Malaysia yang terletak di Petaling Jaya, Selangor, penulis bagaikan terpukau apabila melihat deretan kek menggunakan hiasan fondant.
Antara kek yang dihasilkan ialah set hantaran perkahwinan Gucci, kek bertingkat, kuntuman bunga, sekumpulan lebah dan kek cawan.
Kesemua kek tersebut bukan sahaja kelihatan 'hidup' bahkan tidak keterlaluan jika penulis nyatakan ia antara kreativiti yang tercantik pernah dilihat.
Dalam majlis itu, Chef Hong turut mengadakan demonstrasi membuat kek yang sangat unik menggunakan kraf gula.
Menurut Chef Hong, teknik tersebut merupakan teknik baru dari Eropah.
''Menghasilkan hiasan daripada gula merupakan satu teknik baru yang berasal dari Eropah. Untuk menghasilkannya ia memerlukan kesabaran, ketelitian serta kreativiti agar gula yang digubah nampak cantik,'' ujarnya.
Bagaimanapun, Chef Hong menjelaskan bahawa menghasilkan kraf gula bukanlah satu tugasan mudah kerana individu tersebut perlulah mempelajari cara-caranya terlebih dahulu.
Selain rumit, penghasilan kraf gula juga dilihat satu kreativiti yang menuntut seseorang itu mempunyai imaginasi tinggi dan juga meminati kerja-kerja seni.
Tanpa gabungan tersebut, kraf gula yang dihasilkan pastinya tidak menjadi.
Beliau menekankan, setiap kraf gula yang dihasilkan adalah hasil kerja yang terbaik dengan luahan jiwa dicurahkan.
''Bagi kami, kepuasan sebenar bukan wang, tetapi apabila melihat pelanggan terpegun dengan hasil kerja dan kek yang diingini menjadi realiti,'' katanya yang turut mempunyai sebuah studio kraf gula di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Akademi Seni Pastri Malaysia turut menawarkan program membuat dan mereka kek pada hujung minggu kepada sesiapa yang berminat.
Program tersebut menawarkan sijil dan ia sesuai untuk mereka yang baru ingin mempelajarinya dan dalam masa enam hujung minggu, seseorang itu akan mendapat pengetahuan dan kepakaran yang kukuh untuk menjadi seorang artis kek perkahwinan dan pereka kek.
Mempunyai dua kali pengambilan pada hujung April dan 2 Julai 2011, Akademi Seni Pastri Malaysia turut menawarkan program-program lain seperti tiga bulan kursus sijil dan untuk pastri dan membuat roti, kursus profesional hujung minggu (12 minggu) dan kelas mingguan pendek.
Untuk maklumat lanjut mengenai kursus ditawarkan ini, layari www.pastry.com.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: