Saturday, May 14, 2011

Cantuman kain perca

UNIK...bukan saja sesuai untuk makan malam, namun boleh dipakai untuk majlis perkahwinan di taman.
UNIK...bukan saja sesuai untuk makan malam, namun boleh dipakai untuk majlis perkahwinan di taman.

GAUN pengantin moden menyamai potongan jam kaca (hour glass), dipadankan menerusi rona putih, putih gading dan krim menjadi ekspresi pereka muda Syahrir Nurdin dalam menghasilkan rekaan terkininya.

Tampil tanpa layah diganti perhiasan kepala seperti reben, kerongsang serta bunga bakal menjadi pilihan mempelai yang ingin menyerlahkan kejelitaan mereka.

  • Foto

    KAIN PERCA...gaun kembang daripada kain perca memberikan impak menawan kepada si pemakai.

  • Foto

    ANGGUN...gaun kembang bertingkat bersama hiasan reben di kepala sesuai dipakai untuk acara di taman.

  • Foto

    TERKINI...rekaan berpotongan jam kaca menjadi inspirasi pereka dalam menghasilkan gaun pengantin.

  • Foto

    KELAINAN...tampil berbeza dengan gaun kembang daripada kain renda dan satin.

  • Foto

    ALA BIDADARI...keunikan gaun pengantin ini pada bahagian tangan yang ditambah fabrik sifon, sesuai dengan tema bidadari.

  • Foto

    MAKAN MALAM...jika inginkan kelainan, rekaan Syahrir ini nampak unik dan sesuai untuk makan malam.

Bukan itu saja Syahrir cuba membuat eksperimen dengan mencantumkan kain perca pelbagai warna menjadi sepasang gaun petang yang cukup indah.

Gaun berpotongan empayar dengan runcing di belakang dikemaskan jahitan manik, sekuin dan permata pada bahagian dada dan jaket menjadikan gaun ini sesuai untuk pelbagai acara.


Menurut Syahrir, walaupun idea ini nampak ‘gila’, hasilnya nampak memukau. Ini kerana ketelitian pada padanan kain perca mewujudkan sepasang baju mewah bukan saja daripada segi potongan namun perhiasan digunakan.“Malah apabila disarungkan ke tubuh wanita tidak nampak seperti helaian perca, disebabkan kepelbagaian warna daripada cantuman fabrik renda, sifon, kapas dan satin menjadikannya sepasang gaun menawan,” katanya yang mempersembahkan 12 persalinan pada Pameran Pengantin Malaysia 2011 bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Pada bahagian pertama, Syahrir menampilkan enam persalinan gaun pengantin bertemakan Bidadari Syurga dengan jalinan warna lembut seperti putih dan krim.

Keistimewaan helaian ini adalah pada penggunaan fabrik polos disulam renda Perancis bersama jalinan manik serta batu permata mewah yang menjadi lambang kejelitaan bidadari gambaran Syahrir.

“Rekaan saya tidak keterlaluan namun diperindahkan menerusi jahitan manik serta penggunaan fabrik menerusi teknik tampalan renda pada fabrik sifon yang menampakkan keanggunan si pemakai,” jelasnya yang turut menghasilkan gaun perkahwinan artis.

Idea rekaan Syahrir tidak hanya menjurus kepada gaun pengantin saja, tetapi turut dilakarkan pada gaun petang untuk acara istimewa seperti karpet merah atau malam gala. Namun bagi wanita yang inginkan kelainan boleh mengenakan pakaian ini untuk majlis perkahwinan di taman dengan tambahan perhiasan pada kepala.

Sebagai pereka, keistimewaan Syahrir pada pemilihan fabrik dan gabungan warna pada cantuman kain terutama fabrik polos serta diperindahkan menerusi jahitan manik.

Syahrir yang berpengalaman menghasilkan rekaan gaun pengantin memberitahu, untuk dua tahun akan datang, fesyen gaun pengantin mungkin lebih terarah kepada rekaan gaun Kate Middleton.

Katanya, itu berdasarkan sambutan pelanggan yang meminta supaya dia menghasilkan rekaan sebegitu sebaik saja televisyen memaparkan perkahwinan gilang-gemilang berkenaan.

“Saya menjangkakan rekaan gaun pengantin yang dipakai Kate menjadi kegemaran ramai namun diubah suai lebih sopan terutama pada bahagian leher berpotongan V.

“Gaun rekaan Sarah Burton ini tidak jauh bezanya dengan gaun pengantin di Malaysia daripada segi penggunaan fabrik seperti kain renda dilapisi sifon bagi mengekalkan kesopanan,” katanya yang memberitahu rekaan gaun Kate itu juga sesuai dipakai pengantin pelbagai bangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: