Sunday, May 15, 2011

Boonyi renjat lagu rakyat


KUMPULAN Boonyi yang mempertaruhkan muzik elektronik, kini popular dengan lagu Banyak Bunyi nyanyian 2Wins bersama Dena.


MENGGELARKAN diri sebagai pemuzik elektronik, Awad dan Mono yang bersatu bawah nama Boonyi merasakan mereka memiliki kredibiliti untuk berada di depan. Mereka berpaksikan apa yang dipanggil house music dan muzik elektro.

Mono dan Awad cuma mahu bersaing secara sihat, mahu merakyatkan jalur muzik elektronik yang jarang diceburi para pemuzik tempatan.

"Sebelum ini, hakiki kami hanyalah di belakang tabir. Kami yang warnakan dan meriahkan corak muzik yang diminta artis.

"Kini masanya sudah tiba. Kami mahu buat muzik untuk pasaran komersial pula dan biarlah masyarakat yang tentukan, sama ada mereka suka atau tidak," jelas Azwadi Zairi Rozaini, 29, yang mesra disapa Awad.

Selepas single pertama Berdansa nyanyian penyanyi Indonesia yang dilancarkan sekitar tahun lepas, Boonyi kini muncul dengan single kedua Banyak Bunyi yang dinyanyikan oleh kumpulan 2Wins.

"Boonyi akan buat melodi dan lirik yang kemudiannya disampaikan oleh penyanyi. Album Banyak Bunyi menempatkan lagu rakyat tetapi diberi bunyi baru.

"Tujuan kami adalah untuk merakyatkan muzik elektronik dengan memasukkan elemen muzik Melayu ke dalamnya," kata Mono yang bertanggungjawab merancang hala tuju single ketiga Boonyi.

"Kami pilih Bienda untuk menyanyikan single berkenaan. Ia sebuah lagi berunsurkan spiritual ada sedikit elemen nasyid berjudul Gurindam Jiwa. Jika segalanya berjalan lancar, kami rancang untuk menerbitkan sebuah album tahun depan."

Awad yang juga lulusan School Of Audio Engineering, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu menjelaskan, kumpulan Boonyi juga ada menerima tawaran daripada sebuah grup luar negara, Electrica Miami untuk satu projek kolaborasi.

"Single pertama kami, Berdansa pernah dimainkan oleh beberapa stesen radio di Mexico dan Jepun," celah Mono yang memiliki nama sebenar, Shahir Bakri. Anak muda berumur 28 tahun itu juga pernah diundang sebagai DJ di Bangkok, Thailand.

Selain untuk karya sendiri, Boonyi juga berpengalaman bekerja dalam studio bersama Ning Baizura sebagai remixer untuk lagu Mama Papa serta Raksasa dan Imran Ajmain (Yang Kuperlu).

"Kami akan lebih puas apabila ada kritikan, sama ada positif atau negatif, itu semua kritikan yang akan kami ambil kira," luncur Awad yang menyifatkan kepuasan berkarya semakin dirasai apabila laman web serta paparan lagu mereka mendapat pelbagai respons sejak lagu-lagu ciptaan mereka dimuat naik ke Internet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: