Monday, May 23, 2011

Beza kad ATI Radeon




Saya mempunyai beberapa soalan berkaitan dengan pemproses ATI Radeon.

Soalan saya apakah perbezaan ATI Radeon R200 dengan ATI Radeon 9000/9200?

Sekian, terima kasih

- Daniel, KL

Terima kasih. Jawapan bagi persoalan itu pendek sahaja tetapi untuk memahami jawapan tersebut memerlukan huraian lebih mendalam sedikit berkenaan dengan pemproses ATI Radeon.

ATI Radeon merupakan sejenis pemproses yang berasaskan kepada GPU (graphical processing unit).

Ia digunakan untuk komponen paparan atau pemproses pada kad grafik bagi sesebuah sistem komputer.

Kini, ATI Radeon dikenali dengan jenama AMD Radeon kerana syarikat AMD telah membeli syarikat ATI Inc. ini.

Syarikat AMD pula tidak menjual pemproses Radeon ini secara terus.

Syarikat AMD telah memberi kebenaran kepada pihak ketiga untuk menggunakannya pada keluaran kad grafik mereka seperti Sapphire, XFX, Asus, Gigabyte, MSI, Biostar, Gainward, Diamond, HIS, PowerColor, Club 3D, VisionTek and Force3D. Itu adalah sejarah pengilangan dan penghasilannya.

Pemprosesan AMD Radeon ini mempunyai banyak siri penghasilannya iaitu bermula dengan pemproses siri R100.

Seterusnya pemproses siri RV200, R200, R300, R420, R520, R600, R700, Evergreen, Northern Islands dan Southern Islands.

Bagi setiap siri pemprosesan AMD Radeon ini, terdapat pelbagai jenis model kad grafik yang dihasilkan.

Radeon R200 merupakan generasi kedua pemproses GPU keluaran ATI.

Senibina pemprosesan paparan 3D-nya berasaskan kepada Microsoft Direct 3D 8.0 dan OpenGL 1.3.

Beberapa model kad grafik yang berasaskan siri pemprosesan ini telah dibina seperti Radeon 8500 LE, Radeon 8500, Radeon 9100, FireGL 8700 dan FireGL 8800.

Seterusnya siri pemproses ini telah dinaik taraf sedikit kepada siri rv250 dan rv280.

Ia masih dalam kumpulan generasi pemroses Radeon R200. Jadi, pemproses siri rv250 telah digunakan oleh model kad grafik Radeon 9000 dan Radeon 9000 Pro.

Manakala pemproses siri rv280 telah digunakan oleh model kad grafik Radeon 9200SE, Radeon 9200 dan Radeon 9250.

Jadi, jawapannya mudah sahaja iaitu Radeon R200 merupakan sejenis siri pemproses berasaskan GPU yang digunakan dalam penghasilan kad grafik.

Manakala, Radeon 9000/9200 merupakan model kad grafik yang menggunakan pemproses Radeon R200 yang telah dinaik taraf iaitu siri rv250 dan rv280.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment