Saturday, May 14, 2011

Bertahan menakluk Gunung Tahan


BIARPUN dalam keadaan cuaca sejuk, para peserta ekspedisi tetap ceria bergambar kenangan tanda kejayaan mereka menjayakan ekspedisi pendakian.


AKTIVITI mendaki gunung di negara ini sudah semakin popular dalam kalangan golongan muda termasuklah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Tidak ketinggalan menakluk gunung-gunung di dalam negara ialah Kelab Rekreasi Unisains dari Universiti Sains Malaysia (KRU USM).

KRU USM baru-baru ini menjayakan ekspedisi mendaki Gunung Tahan di Pahang sebagai salah satu aktiviti kelab itu pada tahun ini. Aktiviti selama empat hari tiga malam itu disertai oleh 27 orang peserta bersama tiga pegawai pengiring termasuk penulis dengan menjadikan laluan Merapoh-Gunung Tahan-Merapoh sebagai trek pendakian.

Terkenal sebagai puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,187 meter dari paras laut, sudah semestinya laluan yang tersedia menjanjikan pelbagai cabaran untuk ditempoh oleh para pendaki.

Hari pertama

Para peserta tiba di pekarangan Taman Negara Tahan di Merapoh, Kuala Lipis kira-kira pukul 5.30 pagi setelah menempuh perjalanan jauh selama hampir 10 jam dari Pulau Pinang dengan menaiki sebuah bas yang disediakan oleh Pusat Sukan USM.

Selepas solat subuh dan bersiap untuk memulakan perjalanan, para peserta terlebih dahulu diperkenalkan kepada tiga orang jurupandu arah dari Taman Negara Tahan yang akan menjadi pengemudi sepanjang pendakian dilakukan.

Kemudian, kesemua peserta diberi taklimat berhubung fungsi Taman Negara Tahan dan bentuk muka bumi serta flora dan fauna yang menjadi penghuni di sekitar Taman Negara Tahan. Perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari pekarangan Taman Negara Tahan ke Kuala Juram hanya mengambil masa kira-kira 20 minit.

Cabaran sebenar dalam ekspedisi itu bermula dari Kuala Juram apabila para peserta mula menggalas beg masing-masing yang mempunyai berat purata antara 15 hingga 20 kilogram. Kami memulakan perjalanan hari pertama pendakian menuju ke tapak perkhemahan pertama di Kuala Koh sejauh 12 kilometer (km) pada pukul 11.30 pagi.

Walaupun pendakian hari pertama hanya mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan meredah hutan menyusuri laluan yang agak landai selain melintasi tidak kurang dari empat batang sungai, ia sudah memadai untuk dijadikan pemanas badan sebelum memulakan pendakian pada hari kedua yang lebih mencabar.

Hari kedua


LALUAN merentas sungai juga antara cabaran dalam ekspedisi mendaki ini.


Seawal pukul 6.30 pagi, sebahagian peserta sudah sibuk menyiapkan juadah untuk makan pagi manakala sebahagian lagi menyiapkan diri dengan memakai semula ‘uniform’ untuk meneruskan pendakian.

Tepat pukul 9 pagi, perjalanan diteruskan dengan menyusuri sebatang sungai sebelum bertemu dengan trek pendakian yang lebih mencabar.

Cabaran perjalanan yang dimaksudkan itu adalah permukaan agak menegak dari Kem Kor ke Kem Permatang dan itu memaksa para pendaki memerah keringat. Di laluan itulah kekuatan mental dan fizikal para peserta mula teruji – sama ada mereka benar-benar mampu bertahan atau pun mudah menyerah kalah sebelum tiba di puncak.

Walaupun penulis mempunyai pengalaman mendaki hingga ke puncak Gunung Tahan lapan tahun lalu menerusi trek dari Kuala Tahan, namun tidak dapat dinafikan cabaran trek Merapoh bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Trek tersebut membuatkan ramai para pendaki terutamanya yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini ‘dibelasah’ teruk oleh alam semula jadi sehingga ada yang sudah menganggap pendakian tersebut adalah yang pertama dan terakhir bagi mereka.

Laluan dari Kem Permatang ke Kem Kubang juga memerlukan pada pendaki memanjat akar-akar pokok dan sesekali menuruni tebing bukit dengan terpaksa berpaut pada tali yang disediakan di laluan.

Sebaik tiba di Kem Kubang kira-kira pukul 1 tengah hari, kesemua peserta berkumpul semula bagi membolehkan perut diisi agar tenaga yang telah hilang dapat dikembalikan semula sebelum meneruskan perjalanan.

Setelah perut diisi, perjalanan diteruskan ke Kem Belumut yang terletak kira-kira 30 minit pendakian dari Kem Kubang.

Disebabkan jaraknya yang dekat, kami mengambil keputusan untuk tidak berhenti rehat sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kem Bonsai yang terletak kira-kira 5.5 kilometer lagi dari Kem Belumut.

Sebaik tiba di Kem Bonsai, kepenatan seolah-olah sedikit terubat apabila para peserta disajikan dengan pemandangan yang luas dan indah berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa.

Dari situ jugalah kelibat puncak Gunung Tahan sudah boleh dilihat dan ternyata ia telah menjadi pembakar semangat untuk para peserta meneruskan pendakian, walaupun ada pendaki yang hanya tiba di situ selepas sejam kumpulan pertama tiba.

Walaupun laluan pendakian dari Kem Bonsai ke Kem Botak hanya mengambil masa kurang dari satu jam, pemandangan yang dihidangkan ternyata cukup indah apabila sepanjang pendakian, pemandangan Banjaran Titiwangsa di kiri dan kanan laluan terbentang di depan mata. Para peserta juga sesekali merempuh kabus tebal yang cukup menyamankan.

Pendakian hari kedua berakhir di Kem Botak dengan kumpulan terakhir tiba di tapak perkhemahan kira-kira pukul 7 petang setelah penat mendaki sejauh 18 km.

Disebabkan keadaan udara yang terlalu sejuk, ditambah pula dengan angin yang bertiup kencang membawa kabus tebal, tidak banyak aktiviti boleh dilalukan selain memasang khemah dan menyediakan makanan untuk makan malam.

Hari ketiga


SEBAHAGIAN peserta sempat berehat seketika di lereng sebelum meneruskan pendakian.


Pendakian hari ketiga bermula lebih awal apabila kesemua peserta memulakan perjalanan seawal pukul 6.30 pagi dengan meredah kegelapan awal pagi menyusuri laluan bukit yang berbatu untuk tiba puncak Gunung Tahan.

Selepas 30 minit pendakian, terpancar kegembiraan dalam kalangan semua peserta apabila semuanya selamat tiba di puncak mengikut perancangan.

Walaupun sedikit kecewa kerana hasrat untuk melihat keindahan matahari terbit dari ufuk timur tidak kesampaian kerana dilindungi kabus tebal di awal pagi, ternyata kegembiraan menjejakkan kaki di puncak itu mengatasi segala-galanya.

Selepas menghabiskan masa kira-kira 40 minit untuk bergambar kenangan, perjalanan menuruni puncak pun bermula.

Sebaik tiba di Kem Botak, para peserta mengambil masa yang ada untuk bersarapan selain mengemas semula khemah secepat mungkin sebelum meneruskan perjalanan turun menuju ke Kem Bonsai.

Kami pelu pantas kerana ketua jurupandu arah telah memberi amaran awal kepada kami agar tidak melengahkan perjalanan kerana jarak antara Kem Botak ke Kem Kor mengambil masa kira-kira lapan hingga sembilan jam, itupun sekiranya tiada sebarang kecederaan berlaku.

Justeru mengikut perkiraan kasar, sekiranya kami bergerak turun dari Kem Botak pada pukul 10 pagi, kami hanya akan tiba di Kem Kor kira-kira pukul 7 malam.

Berbekalkan pengalaman yang ada dalam pendakian sebelum ini, penulis mengambil keputusan untuk tidak lagi menjadi sweeper, sebaliknya berada dalam kumpulan terawal menuruni puncak sebelum hari gelap.

Ternyata keputusan penulis tepat apabila berjaya tiba di Kem Kor pada pukul 6.30 petang. Dalam kesuntukan waktu, penulis bersama beberapa rakan terpaksa bergegas untuk mendirikan khemah sebelum hari gelap.

Disebabkan perjalanan menuruni puncak Kem Botak melalui laluan yang sama sewaktu mendaki, maka lebih banyak laluan menurun dan curam terpaksa ditempuhi.

Ketika inilah para pendaki akan terdedah dengan risiko mendapat kecederaan terutama pada bahagian kaki kerana terpaksa menahan beban beg yang berat selain terpaksa mengawal keseimbangan badan sewaktu menuruni curam.

Malah tidak dinafikan, ada rakan penulis yang terpaksa menahan sakit apabila kuku kakinya tercabut gara-gara memakai kasut yang agak ketat sepanjang pendakian.

Hari keempat


KENDERAAN pacuan empat roda membawa para peserta pendakian ke Kuala Juram.


Para peserta mula bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan hari terakhir untuk ke Kuala Juram kira-kira pukul 11 pagi selepas memastikan tapak perkhemahan dalam keadaan bersih.

Disebabkan perjalanan ke Kuala Juram hanya sejauh 12km, para peserta meneruskan perjalanan dalam keadaan santai. Kumpulan pertama tiba di Kuala Juram pada pukul 2 petang manakala kumpulan terakhir tiba sejam kemudian.

Di Kuala Juram, para peserta sempat melihat kakitangan Taman Negara Tahan memberi makan ikan kelah di kawasan santuari yang diwujudkan di situ.

Sebaik tiba di pekarangan Taman Negara Tahan dengan menaiki pacuan empat roda, bas sudah sedia menunggu. Selepas selesai membuat pengisytiharan mengenai barangan yang perlu dibawa turun semula, para peserta mengucapkan selamat tinggal kepada Taman Negara Tahan untuk pulang semula ke Pulau Pinang bersama 1,001 kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

1 comment:

  1. Pic no.3 yg duduk kat depan tu Hafiz kan...

    Hehehehe

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: