![]() |
| NURUL SYUHADA menolak untuk mengadakan majlis perkahwinannya secara besar-besaran. |
SI cantik manis dan bijak pandai, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain memang cukup terkenal dengan sikap berhati-hatinya. Mempunyai kredibiliti yang cukup tinggi terhadap kerjayanya sebagai seorang pengacara, Nurul jarang sekali mahu berkongsi kisah peribadi. Menurut gadis berusia 27 tahun ini, hal peribadi tidak manis dicampur dengan kerjaya yang harus selalu diberi keutamaan.
Namun sudah resam menjadi selebriti, kisah peribadi dirinya juga mahu dikorek orang. Maka, sewaktu dia asyik bercinta dengan Angkasawan Kedua Negara, Mejar Dr. Mohd Faiz Khaleed, tidak lama dahulu, dia tidak dapat menyembunyikan kisah tersebut.
Bagaimanapun cinta Nurul dan Faiz tidak sempat bertaut erat dalam ikatan rasmi. Mereka akhirnya berpisah sekitar dua tahun lalu. Sejak itu, Nurul enggan lagi bercerita tentang rasa hatinya.
Tetapi sebijak mana pun dia cuba menyimpan rasa cinta terhadap seorang lelaki baru yang berjaya mencuri hatinya, Nurul tidak juga mahu menipu khalayak bahawa dia kini sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri.
Akuinya serba ringkas, dia akan menamatkan zaman bujang bersama seorang jejaka kacukan Melayu dan Australia pada bulan Julai ini selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing. Lelaki bertuah itu adalah Raja Amir Raja Azwa, 29.
Merasakan dirinya dan pilihan hati yang merupakan seorang pegawai bank sudah serasi bersama, Nurul tidak menunggu lama dan sudah mula membuat persiapan majlis perkahwinan termasuk menempah kad undangan perkahwinan.
Saat dihubungi Kosmo! , Nurul dengan lembut menolak untuk berbicara lebih lanjut tentang kisah perkahwinan yang masih dalam perancangan itu. Katanya, apabila tiba saat yang sesuai, dia akan rela hati berkongsi kisah cinta mereka dengan lebih lanjut. Namun tidak menghampakan peminatnya, Nurul memberitahu, dia tidak teragak-agak untuk menikahi Amir kerana yakin lelaki itu mampu menjadi pasangan yang terbaik buat dirinya.
KOSMO!: Sejak bila berkenalan dengan Raja Amir?
Nurul: Saya jumpa dia di suatu tempat ketika keluar bersama teman-teman. Sejak itu, saya mula mengenalinya dan kini perkenalan kami sudah hampir dua tahun.
Kenapa memilih Raja Amir? Apakah kriteria yang dimiliki Amir sehingga berjaya menambat hati Nurul?
Dia seorang yang sangat gentlemen, baik dan sangat merendah diri. Saya senang berkawan dengannya kerana dapat berkongsi apa jua cerita bersama.
Apakah perancangan perkahwinan Nurul?
Kami merancang untuk tidak mengadakan majlis pertunangan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Cuma pada bulan Januari lalu keluarga Amir ada datang ke rumah saya di Shah Alam, Selangor untuk merisik. Lagipun, memang kami sudah merancang untuk mengadakan majlis merisik dan kemudiannya majlis pernikahan dan resepsi. Ia akan dibuat secara sederhana sahaja memandangkan saya dan keluarga menginginkannya begitu.
Dimanakah lokasi pernikahan Nurul dan Raja Amir nanti. Adakah akan dibuat di hotel atau secara langsung di TV3?
Tidak. Saya cuma akan buat di lokasi tertentu tetapi bukan di hotel. Saya juga mahukan majlis perkahwinan yang tertutup dan bukan dibuat secara besar-besaran.
Adakah Nurul sudah bersedia menamatkan zaman solo dalam usia baru 27 tahun? Tidak takut populariti turun selepas berkahwin?
Alhamdulillah jodoh sudah sampai jadi saya terima. Saya juga tidak perlu takut apa-apa termasuk soal populariti.
Perkembangan terbaru Nurul dengan program di TV3?
Saya masih mengacarakan program Majalah Tiga dan Malaysia Hari Ini. Selain itu, saya juga melakukan tugas di sebalik tabir iaitu dengan membuat suntingan visual dan skrip untuk tugasan di Majalah Tiga.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: