Monday, May 23, 2011

Bergaya santai dengan Fipper




PENGARUH pemakaian selipar ringkas atau flip flop sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia.

Sejak beberapa tahun lalu, trend itu kembali menjadi pilihan generasi masa kini. Ia bangga dipakai sebagai aksesori bergaya selepas ia melalui beberapa fasa perubahan reka bentuk, warna dan fesyen.

Mendapat jolokan popular selipar Jepun suatu masa dahulu, flip flop kini diakui sebagai pilihan fesyen sepanjang zaman yang tidak luput ditelan arus kemodenan.

Tidak lagi dilihat sebagai aksesori yang tidak seiring perkembangan fesyen semasa, flip flop sebaliknya semakin popular dalam kalangan golongan muda terutamanya remaja masa kini untuk melengkapi aktiviti santai mereka.

Justeru, EarthFour Sdn. Bhd. yang membangunkan jenama Fipper pada tahun 2008 menghasilkan rekaan-rekaan flip flop yang trendy dan terkini untuk dipakai generasi penggemar yang mahu tampil bergaya dengan mudah dan ringkas.

Pengurus Besarnya, Dylan Cheong berkata, jenama Fipper dibangunkan selepas satu kumpulan kecil yang terdiri daripada empat anak muda melihat perkembangan fesyen sandal flip flop di negara luar yang begitu pesat membangun.

“Kini, Fipper mempunyai tiga orang pereka khas kreatif yang merupakan anak tempatan. Mereka menghasilkan rekaan yang menepati cita rasa semua golongan tidak kira usia,” katanya ketika ditemui di butik Fipper di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan Minggu lalu.

Menurut Dylan, Fipper merupakan 100 peratus jenama tempatan tetapi melalui proses pembuatan di Thailand.

Walaupun rupanya tidak seperti kasut atau sandal berjenama, ia tetap dilihat menarik di kaki pemakainya. Bukan sahaja cantik dan berkualiti, Fipper turut dijual dalam variasi pilihan warna yang sesuai dipadankan dengan pakaian santai.


DYLAN (tengah) gembira koleksi selipar Fipper mendapat sambutan anak-anak muda.


“Fipper dihasilkan menggunakan getah asli sepenuhnya dan bahan mentah yang paling sesuai boleh didapati di Thailand. Disebabkan itu, logo jenama ini menggunakan imej gajah yang terkenal di negara berkenaan,” katanya.

Dylan memberitahu, fesyen flip flop masih baru di Malaysia tetapi sudah berkembang dengan cepat di luar negara yang menyediakan pelbagai rekaan berkualiti tinggi dan dijual pada harga tinggi.

“Fipper merupakan jenama peneraju di Malaysia dan kami mahu menghasilkan rekaan-rekaan terkini seiring permintaan dan perkembangan fesyen flip flop di sini.

“Kelebihan Fipper bukan sahaja pada harganya yang rendah berbanding kualitinya yang tinggi, malah ia antikulat dan bahan aslinya memastikan pengguna tidak tergelincir ketika pemakainya melangkah di permukaan licin,” katanya.

Dalam pada itu, Dylan memberitahu, setiap rekaan Fipper tampil di antara 30 hingga 40 pilihan warna berbeza yang menepati cita rasa fesyen yang pelbagai.

Warna-warna terang seperti oren, hijau, merah, kuning, biru, firus dan ungu menjadi ‘buruan’ ramai, apatah lagi keluaran yang menggabungkan dua atau lebih warna.

“Setiap pasang Fipper mempunyai padanan warna yang sepadan atau kontra atau berjalur, terpulang kepada cita rasa pelanggan. Ada yang mahu tampil klasik dengan gabungan warna asas, atau tampil funky dengan gabungan warna-warna terang dan kontra.

“Ia bukan sahaja sesuai untuk kedua-dua aktiviti dalaman dan luaran, generasi masa kini memakai flip flop di mana-mana sahaja, sama ada ketika membeli-belah, keluar bersantai bersama teman atau ke pantai untuk menikmati masa percutian berkualiti,” katanya.

Jelas Dylan, sejak diperkenalkan, Fipper mempunyai komuniti Facebooknya sendiri yang bukan sahaja membeli Fipper untuk kegunaan harian tetapi dijadikan koleksi peribadi yang lain daripada yang lain.

“Ada penggemar flip flop kini menjadi pengumpul jenama Fipper dengan memastikan mereka mempunyai koleksi warna-warna menarik yang menjadi kegemaran mereka.

“Selain itu, dengan koleksi tersebut, ia boleh dipakai dengan warna pakaian yang sepadan setiap kali keluar rumah. Pengguna tidak akan rasa terbeban untuk menyimpan koleksi Fipper kerana ia murah tetapi cantik dan selesa,” katanya.


DYLAN menunjukkan selipar Fipper yang antikulat dan tidak licin kerana diperbuat daripada bahan berkualiti.


Sementara itu, Dylan memberitahu Fipper menawarkan empat pilihan flip flop iaitu Classic, Strong, Strip dan Comfort yang dijual pada harga berbeza.

“Kedai Fipper kini boleh didapati empat lokasi di Lembah Kelang iaitu di Plaza Sungei Wang, Ampang Point, Berjaya Times Square dan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan, manakala dua lokasi di Pulau Pinang ialah di pusat beli-belah First Avenue dan Lapangan Terbang Bayan Lepas.

“Selain itu, kami juga bakal membuka kedai baru di Mydin Subang Jaya, Selangor pada bulan Jun ini diikuti dua buah kedai lagi di Leisure Mall dan Sunway Pyramid akhir tahun ini,” katanya.

Tambah Dylan, Fipper juga boleh didapati di pasar raya Carrefour dan bakal dipasarkan di kedai kesihatan dan kecantikan Guardian dalam masa terdekat.

“Kami mempunyai sasaran untuk mengembangkan jenama ini sebagai salah satu pilihan fesyen untuk semua golongan. Berdasarkan sambutan menggalakkan kini, kami bakal tampil dengan rekaan-rekaan fesyen flip flop terkini dan belum pernah dipasarkan di negara ini.

“Selain itu, Fipper juga bakal mengeluarkan koleksi Fipper Junior untuk kanak-kanak dan Fipper Metalic yang berkilat untuk mereka yang berani,” katanya.

Katanya lagi, bagi menarik golongan berkeluarga atau pasangan kekasih untuk memiliki koleksi Fipper di rak kasut mereka, Fipper menawarkan pakej keluarga. Mengikut pakej itu, pelanggan yang datang bersama keluarga atau pasangan dapat membeli Fipper dengan harga diskaun.

“Ia sesuatu yang menggembirakan kami sekiranya dapat melihat pasangan atau keluarga tampil sedondon memakai sepasang flip flop Fipper dengan penuh bergaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: