Sunday, May 22, 2011

Bentuk disiplin, jati diri

PELAPIS...kanak-kanak ini bakal menjadi pelapis negara dalam sukan wushu.
PELAPIS...kanak-kanak ini bakal menjadi pelapis negara dalam sukan wushu.

HATI dan perasaan penonton pasti teruja tatkala melihat si kecil dengan penuh keyakinan dan semangat jatidiri yang tinggi, tangkas menghayun langkah sambil menjerit lantang menggayakan aksi persis seorang pahlawan zaman silam di gelanggang wushu.

Kayu panjang dan pedang besi nipis yang digayakan bersama menjadi senjata seakan-akan 'mengikat' mata penonton untuk lebih memberi tumpuan kepada setiap pergerakan mereka.


Biarpun sukan itu didominasi kaum Cina dalam setiap kejohanan yang berlangsung sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, sokongan penonton pelbagai bangsa dan keturunan tidak menghalang 'atlet mentah' ini mempamerkan mutu persembahan menakjubkan.

  • Foto

    TANGKAS...setiap pergerakan dilakukan dengan penuh berseni.

  • Foto

    MUDA...biarpun masih muda, mereka gigih melakukan latihan.

  • Foto

    AJAR...jurulatih memberi tunjuk ajar kepada pelatih ketika sesi latihan.

  • Foto

    SALING MEMBANTU...kerjasama antara rakan sepasukan sememangnya diamalkan.

  • Foto

    GIGIH...memberi tumpuan ketika sesi latihan.

Pepatah Melayu 'melentur buluh biar dari rebungnya' sememangnya tepat untuk menggambarkan kehebatan sukan wushu yang semakin diterima dalam masyarakat hari ini.


Semakin ramai kanak-kanak seawal usia enam tahun dilatih dengan satu daripada cabang seni mempertahankan diri ini yang lebih fokus kepada persembahan berbanding pertandingan satu lawan satu ketika kejohanan berlangsung.


Kombinasi pergerakan cantik, berseni dengan hayunan langkah mempesonakan sambil beraksi lincah menerusi beberapa kategori dan jurus wushu itu akhirnya membawa kepada kemenangan peserta.

Wushu yang 'dilahirkan' dan diwarisi dari China ribuan tahun lalu kini semakin terkenal di serata dunia, termasuk Malaysia yang melahirkan beberapa jagoan wushu di pentas antarabangsa seperti Ho Ro Bin dan Chai Fong Ying.


Justeru, bagi melahirkan lebih ramai atlit mewarnai dunia sukan wushu tanah air seterusnya ke pentas antarabangsa, beberapa negeri mengambil langkah drastik, konsisten dan bersepadu melatih lebih ramai kanak-kanak di peringkat sekolah rendah bagi tujuan itu.

Persatuan Wushu Pahang tidak terkecuali dalam perkara ini dan sejak penubuhannya pada 2007, 70 pelajar berusia antara enam hingga 21 tahun menjadi ahli dan gigih menjalani latihan antara empat hingga enam hari seminggu.


Lebih istimewa, mereka dilatih jurulatih profesional dari China, Yen Lei, 34, sejak tiga tahun lalu dan mula menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila meraih beberapa kemenangan dalam kejohanan disertai.


Yen Lie ketika ditemui pada sesi latihan di Dewan Komuniti Semambu, Bukit Sekilau di Kuantan, Pahang baru-baru ini, berkata wushu membabitkan beberapa elemen seperti meregang, menendang dan kekuda.


"Latihan teknik asas adalah sangat penting. Tanpa menguasai latihan asas yang baik, pelatih sukar melangkah ke peringkat lebih tinggi," katanya.


Yen Lie tidak menafikan berdepan pelbagai kesukaran melatih pelajar yang tiada pengetahuan dalam seni wushu.


"Buat permulaan, saya hampir berputus asa untuk mengajar mereka tetapi saya terus bertahan memikul tanggungjawab yang diamanahkan Majlis Sukan Pahang (MSP) untuk melatih dan membentuk mereka menjadi atlit wushu.


"Selepas tiga tahun, baru saya peroleh keyakinan, malah prestasi mereka juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan mencipta kejayaan dalam beberapa kejohanan disertai sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa," katanya.


Yen Lie berkata, berdasarkan kekerapan latihan, pelajar menjalani latihan dengan lebih konsisten, malah bersemangat setiap kali latihan diadakan.


"Saya kagum dengan semangat ditunjukkan pelajar kerana mereka sanggup menjalani latihan beberapa kali dalam seminggu pada sebelah malam semata-mata untuk mengasah bakat dan menajamkan skil.


"Saya yakin, dalam tempoh beberapa tahun lagi ramai atlit muda dari Pahang mewarnai sukan wushu di negara ini dan sebagai jurulatih, saya mengakui berbangga dengan pencapaian anak didik saya yang masih muda ini," katanya.


Baginya, wushu sejenis sukan yang menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, dan ibu bapa yang berminat perlu menghantar anak mereka yang masih kecil seawal usia empat tahun untuk menyertai sukan ini kerana ketika itu tulang mereka masih lembut dan senang dibentuk.


Sementara itu, Siti Nur Aesyah Mohd Anis Fadhli, 9, dan adiknya Sayeeda Khadeeja, 6, menyimpan cita-cita mencipta nama dalam sukan wushu di peringkat antarabangsa dan kini berusaha ke arah itu.


Siti Nur Aesyah, murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Taman Tas kini giat menjalani latihan untuk persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, tahun depan.


"Saya bangga menjadi satu-satunya anak Melayu menyertai sukan ini di Pahang dan menjadi peserta Melayu tunggal ketika Sukma di Melaka, tahun lalu.


"Ibu dan ayah memberi dorongan dan sokongan untuk saya membabitkan diri dalam sukan ini kerana nilai seni dan gerak langkahnya sangat mempesonakan," katanya.


Gadis cilik yang fasih berbahasa Mandarin ini berkata, seni mempertahankan diri wushu membantu membentuk dirinya menjadi lebih berdedikasi, berdisiplin serta mengawal emosi dengan baik.


Siti Nur Aesyah yang pernah beraksi di pentas antarabangsa ketika Kejohanan Wushu Terbuka Malaysia dan Kejohanan Wushu Remaja Antarabangsa mengakui banyak lagi perlu dipelajari jika ingin terus membabitkan diri dalam sukan wushu, khususnya bagi acara 'Nanquan'.


"Walaupun jurulatih tegas dan garang, saya tidak menjadikannya sebagai halangan tetapi menyahut setiap cabaran diberi untuk muncul sebagai atlit wushu Melayu pertama mengukir nama di pentas antarabangsa," katanya yang bercita-cita menjadi ahli politik.


Bagi pemenang tempat keenam Kejohanan Wushu Remaja Antarabangsa di Singapura tahun lalu, Tang Jian Tin, 12, sukan itu adalah aktiviti yang menyihatkan badan.


"Selain itu, ia memberi keyakinan dalam membentuk disiplin dan jati diri untuk menjadi pelajar cemerlang.


"Saya menyertai sukan ini ketika berusia sembilan tahun dan memang sukar untuk memahirkan diri kerana terlalu banyak kombinasi gerakan kaki dan tangan yang perlu dilakukan serentak," kata pelajar SRJKC Kong Ming ini.


Memilih kategori 'Chang Quan' dan 'Dao Shu', Tang turut membabitkan diri dalam taekwando untuk melihat perbezaan di antara keduanya.


Walaupun baru berusia sembilan tahun, pelajar tahun tiga SRJKC Pei Chai, Liang Khai Siang teruja menyertai pasukan wushu kerana meminati aksi lasak lakonan pelakon terkenal, Jackie Chan.


Menurut Liang, ibunya adalah pendorong utama untuk membabitkan diri secara serius, malah sanggup menunggunya menjalani latihan bagi memastikan beliau mematuhi arahan jurulatih.


"Walaupun latihannya keras dan memerlukan daya ketahanan fizikal mantap, saya tetap melakukan yang terbaik.


"Saya mahu meneruskan impian menjadi atlet wushu yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya yang bercita-cita menjadi jurulatih wushu.


Rakannya, Leong Tien Wai, 11, teruja menyertai sukan wushu selepas mengikuti beberapa rakannya menjalani latihan di dewan komuniti itu setiap petang.


"Saya kagum dan terpesona dengan pergerakan dilakukan lalu meminta izin orang tua untuk menyertai wushu yang memiliki ciri seni bela diri tersendiri.


"Walaupun pada peringkat awal pergerakannya susah, terutama membina ketahanan kaki, saya tidak berputus asa, malah meneruskan latihan di rumah," katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang.


Leong berkata, pelatih wushu perlu memiliki kemahiran asas terlebih dulu sebelum memilih kategori yang bersesuaian dengan diri.


"Bukan mudah mengamalkan wushu iaitu sukan seni mempertahankan diri yang memerlukan fokus tinggi. Saya berazam untuk terus membabitkan diri selagi mampu dan menanam impian mencipta nama di dalam dan luar negara," katanya.


Bagi pelajar tahun lima SRJKC Kwang Hua, Chong Chua Tong, 11, wushu mempunyai keunikan tersendiri sehingga mendorongnya membabitkan diri dalam sukan itu.


"Gerakannya tangkas, lincah dan ada gaya tersendiri, menyebabkan saya berminat mengikutinya berbanding seni bela diri lain yang lebih keras dan menyakitkan.


"Sukan ini membantu diri kita menjadi lebih sihat, mantap dan kuat serta bersemangat kental kerana ia membentuk keperibadian kita sebagai individu yang memiliki kemahiran seni yang unik dan tersendiri," katanya yang bercita-cita menjadi jurulatih wushu.




>INFO
> Wushu berasal daripada perkataan 'Wu' bererti ilmu perang dan 'Shu' bermakna seni. Wushu bererti seni berperang atau seni beladiri (martial art) yang berkembang di China sejak ribuan tahun lalu
> Sumbangan peradaban Islam dalam Wushu mula dikenali di era kekuasaan Dinasti Yuan. Pengaruh itu semakin kuat ketika Dinasti Ming bangkit bersama seorang jeneral beragama Islam, Kaisar Zhu Yuanzhang
> Persatuan Wushu Pahang berjaya melahirkan atlit wushu yang menempa kejayaan dalam beberapa kejohanan disertai
> Seramai 70 pelajar berusia antara enam hingga 21 tahun menjadi ahli dan gigih menjalani latihan antara empat hingga enam hari seminggu


>PROFIL
NAMA: Tang Jian Tin
UMUR: 12 tahun
LAHIR: 12 Disember 1999
SEKOLAH: SRJKC Kong Ming
CITA-CITA: Arkitek
HOBI: Membaca, bermain permainan komputer

>PROFIL
NAMA: Leong Tien Wai
UMUR: 11 tahun
LAHIR: 14 April 2000
SEKOLAH: SRJKC Pei Chai
CITA-CITA: Juruterbang
HOBI: Berenang, bermain permainan komputer

>PROFIL
NAMA: Chong Chua Tong
UMUR: 11 tahun
LAHIR: 24 Mac 2000
SEKOLAH: SRJKC Kwang Hua
CITA-CITA: Jurulatih Wushu
HOBI: Membaca, berbasikal

>PROFIL
NAMA: Liang Khai Siang
UMUR: 9 tahun
LAHIR: 16 Disember 2002
SEKOLAH: SRJKC Pei Chai
CITA-CITA: Jurulatih Wushu
HOBI: Bermain permainan komputer

>PROFIL
NAMA: Siti Nur Aesyah Mohd Anis Fadhli
UMUR: 9 tahun
LAHIR: 26 Februari 2002
SEKOLAH: SRJKC Taman Tas
CITA-CITA: Ahli Politik
HOBI: Menyanyi, menari dan bermain badminton

2 comments:

  1. adik2 cemua belajar elok2 nanti manatau bleh jadi atlet trbaik dunia.dahlah ngr kita x de atlet yg hebat2

    ReplyDelete
  2. belajar elok2 ye adik cemua jgn main2 nanti kena marah ngan cikgu

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: