Sunday, May 15, 2011

Azura belajar dari bawah

WARIS...meneruskan perniagaan ayahnya.
WARIS...meneruskan perniagaan ayahnya.
BAHAGIA... gambar terbaru keluarga Azura sebelum arwah bapanya menghembus nafas terakhir.
BAHAGIA... gambar terbaru keluarga Azura sebelum arwah bapanya menghembus nafas terakhir.

PERSEPSI 'tiada pendidikan tinggi menyebabkan seseorang itu gagal' tidak lagi relevan dalam kehidupan masa kini. Sesiapapun boleh berjaya jika memiliki keazaman serta tabah dalam melakukan satu-satu kerja.

Di negara kita, beberapa individu membuktikan mereka mampu berjaya walaupun hanya menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.


Begitu juga Azura Mat Yaman, 35, yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading tetapi kini menyandang jawatan Pengarah Urusan Seri Medan Environmental Services Sdn Bhd (SMESSB), sebuah syarikat kontraktor di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor.

Bukan kerana Azura tidak lagi boleh menelaah buku menambah ilmu, sebaliknya kerana ayahnya mahu anak gadis suntinya ketika itu membantunya mengembangkan syarikat berbanding belajar. Ayahnya, Mat Yaman meninggal dunia pada Aidilfitri tahun lalu.


Usah salah tafsir, itu bukan bermakna bapa Azura tidak mementingkan pendidikan anak. Jauh di sudut hati, Azura memahami perlunya pengorbanan seorang anak sulung dalam membantu ayah untuk meringankan beban keluarga.


"Saya tidak pernah menyalahkan arwah ayah kerana mahu saya bekerja. Malah, saya sangat bersyukur kerana kalau bukan kerana ayah, saya mungkin tidak menjadi seperti sekarang," katanya.

Bagi Azura, mungkin masyarakat berpendapat keadaan dirinya tidak bertuah seperti anak orang lain yang boleh merasai alam kolej atau universiti.


Namun dia ada pandangan berbeza. Anak jati Selangor ini tetap menganggap dirinya juga bertuah kerana boleh menimba ilmu bekerja seawal 18 tahun dan bukan seperti kebanyakan orang yang mula mengenal erti kerja sekitar 24 tahun.Azura kini mewarisi dan menerajui SMESSB, khususnya selepas pemergian ayah tercinta akibat sakit jantung.


"Secara jujur, sepanjang proses pembesaran, saya banyak melihat pahit getir ayah mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga. Sebelum ini (membuka perniagaan sendiri), ayah hanya bekerja sebagai pemandu lori di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


"Kemudian, sekitar 1980-an, ayah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan membuka syarikat ini. Semuanya kerana ayah tercabar dengan kata-kata orang bahawa orang Melayu tidak boleh berniaga, sekali gus menyangkal pandangan sinis itu," katanya.


Sambil tersenyum seperti cuba mengingat peristiwa silam, Azura berpendapat hidup sebagai anak bos bukan tiket untuk dia goyang kaki di pejabat atau mempunyai bilik sendiri. Ayahnya tidak pernah memanjakan Azura, sebaliknya melayannya tidak lebih daripada kakitangan biasa sebaik melangkah masuk ke pejabat.


"Taraf dan layanan terhadap saya sama saja dengan pekerja ayah yang lain. Dimarahi, diherdik, dimaki hamun, semua saya rasai jika melakukan kesalahan. Pantang silap walaupun kecil, pasti akan kena bambu.


"Pernah rasa hendak menangis kerana dimarahi di depan kawan ayah hanya kerana salah taip surat, tapi itu semua untuk mengajar saya supaya menjadi manusia yang cekal.


"Tugas pertama saya di SMESSB ialah kerani, bukan pembantu bos (ayah) seperti mana orang sangkakan. Mula-mula memang tidak faham. Namun sekarang saya nampak kenapa ayah bertindak demikian.


"Kiranya saya belajar dari bawah sebelum menerajui syarikat ini. Penting bagi seorang peneraju syarikat untuk mengetahui semua selok-belok operasi syarikat, termasuk perkara kecil," katanya.


Azura berkata, semua itu dipelajari ketika dia mula-mula bekerja di bawah ayahnya.


"Saya masih ingat, sewaktu bekerja dengan ayah, saya kena pergi ke imigresen seawal 6 pagi untuk menguruskan semua perkara berkaitan pekerja warga asing seperti permit dan sebagainya, walaupun pejabat dibuka dua jam kemudian.


"Bayangkan memang perit dan tak logik untuk bekerja seawal itu, tapi disebabkan takut dimarahi ayah, saya pergi juga walaupun terpaksa.


"Akhirnya saya sedar tindakan ayah itu ada baiknya. Dia mengajar saya erti susah berniaga, sentiasa pantas, bersiap sedia dan tidak melengahkan setiap peluang yang ada," katanya.


Semua sedia maklum, menceburi bidang perniagaan pasti menuntut seseorang itu bersedia menghadapi dua kemungkinan iaitu sama ada untung mahupun rugi.


Bak kata orang, tiada tempat di dunia ini yang cerah sepanjang tahun. Malah kawasan padang pasir pun boleh banjir dek hujan lebat melanda. Begitulah yang dialami Azura dan bapanya sepanjang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan.


Kemuncak cabaran anak beranak ini dan syarikatnya, SMESSB sekitar 1997, iaitu antara zaman kegawatan ekonomi yang melanda dunia.


"Bayangkan sampai tiga bulan, tidak ada kerja kontrak yang diperoleh syarikat. Saya sering melihat ayah termenung di kerusi luar pejabat ini. Mungkin ayah mengenangkan nasib syarikat dan masalah dihadapi ketika itu.


"Pada waktu itu banyak syarikat yang tutup, termasuk syarikat besar dan mempunyai kewangan kukuh. Inikan pula syarikat kecil seperti kami.


"Saya faham, sebagai ketua di dalam syarikat, ayah tidak mahu melihat syarikat yang dibina dengan titik peluhnya tutup begitu saja. Begitu juga soal kebajikan pekerja yang makan gaji dengannya.


"Itu belum lagi soal dan tanggungjawab ayah sebagai ketua keluarga terhadap ibu dan kami adik beradik, pasti membebankan ayah ketika itu. Namun, sepanjang yang saya kenal, seumur hidupnya, ayah seorang yang cekal, berkeyakinan tinggi serta tidak mudah menyerah kalah," katanya.


Rentetan masalah itu, Azura berkata, ayahnya terpaksa meminta projek dan kerja daripada rakan kontraktor lain, walaupun projek itu kecil dan mendapat bayaran lambat.


"Bagi ayah, biarlah sedikit dan kecil projek itu serta mendapat lambat bayaran, janji ada kerja bagi meneruskan perniagaan.


"Alhamdulillah, berkat usaha gigih ayah, di samping pekerja ayah yang turut memberi sokongan (terus bekerja), syarikat ini terus beroperasi ketika banyak syarikat lain gulung tikar," katanya.


Ketika ini SMESSB banyak melakukan kerja seperti landskap, pemasangan elektrik, pengubahsuaian bangunan, kerja pembaikan jalan dan pembinaan bangunan meliputi beberapa negeri seperti di Selangor, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur.


Diajukan soalan berkaitan perbezaan jantina dalam kerjaya diceburinya, Azura tidak menafikan pandangan sinis itu.


"Itu normal, bila tengok saja perempuan, pasti ada yang mempersoalkannya. Lebih-lebih kerja sebagai kontraktor yang biasanya sinonim dengan lelaki. Pertama kali berjumpa pasti soalan berkaitan kemampuan, kredibiliti dan sebagainya diajukan kepada saya.


"Yang penting, saya harus meyakinkan mereka bahawa kami mampu melaksanakan kerja itu. Bukan sekadar cakap, saya juga memastikan syarikat dan pekerja berjaya melakukan kerja yang diberi," katanya.


Wanita ini juga realistik dalam menerima kenyataan bahawa sukar mendapatkan kepercayaan dan keyakinan orang ketika kali pertama berurusan. Jika kerja pertama itu dilakukan dengan baik dan sempurna, pasti orang akan menaruh kepercayaan.


"Prinsip saya mencari rezeki dengan cara betul, baru urusan kita dipermudahkan Allah. Selain soal perniagaan, terutama yang jauh memesong, saya tolak ke tepi. Apatah lagi apabila bergelar ibu tunggal, pasti akan ada saja yang cuba mengambil kesempatan. Ajak makan malam dan ajak keluar, tetapi semuanya saya tolak dengan cara berhemah.


"Saya takkan tolak dengan cara kasar kerana dalam bidang ini kita perlu pandai tarik tali kerana perlu sentiasa menjaga 'contact' (hubungan) dalam perniagaan. Cuma setiap apa yang saya lakukan ada batasnya. Kalau individu itu terus cuba bertindak melebihi batas, saya tiada pilihan lain selain terpaksa berurusan dengan pihak lain," katanya.


Tanggungjawab Azura juga bertumpu pada syarikat dan keluarga semata-mata. Sebagai kakak sulung, menjadi keutamaannya untuk memastikan masa depan adik-beradik lain terjamin.


"Itu janji saya pada ayah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Selagi saya bernyawa, selagi saya mampu daripada setiap aspek termasuk kewangan, saya akan terus membela empat adik saya.


"Malah sewaktu adik kedua saya ingin melanjutkan pelajaran di kolej turut mendapat tentangan arwah ayah, saya yang memujuknya untuk membenarkan adik menyambung pelajaran.


"Saya kata biar saya membantu adik lain selagi kita ada kemampuan. Saya masih mampu membantu keluarga, biar mereka belajar sehingga mana yang mereka mahu.


"Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Malah impian dan hasrat saya untuk memastikan setiap seorang daripada kami memiliki rumah dan kereta masing-masing juga tercapai," katanya.




>Profil
NAMA: Azura Mat Yaman
JAWATAN: Pengarah Urusan Seri Medan Environmental Services Sdn Bhd
UMUR: 35 tahun
ASAL: Banting, Klang
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Mohd Iskandar Hakim (13)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: