![]() |
| AMIR yakin dia akan kembali diundi masuk kembali ke dalam Maharaja Lawak pada minggu hadapan. |
SELEPAS selamat sehingga minggu ketujuh dalam program Maharaja Lawak, akhirnya peserta yang berasal dari Kelantan, Amir yang popular dengan tag line I’m Sorry itu tersingkir.
Penyingkiran Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 23, memang sudah dijangka apabila lawak yang ditampilkan dalam tema komedi senyap tidak difahami oleh penonton mahupun pihak juri, malahan dia turut memperoleh markah terendah iaitu 26 markah.
Tambahan pula, kelainan pada minggu ketujuh adalah peserta turut diberi peluang untuk mengundi keluar peserta yang mereka kehendaki. Kesemua peserta mendapat satu undi keluar, kecuali Nabil yang tidak diundi oleh sesiapapun manakala Amir dan Man masing-masing mendapat dua undi.
Meskipun menampilkan persembahan yang kurang memberangsangkan, Amir yang tidak menyangka dirinya akan tersingkir pada minggu ketujuh, bagaimanapun sudah menjangka undi masuk akan diadakan.
“Walaupun persembahan saya dianggap tidak kelakar, saya percaya orang ramai masih terhibur dengan persembahan saya. Saya membuat persediaan dan cuba memberi yang terbaik.
“Lagipun saya rasa, penonton suka dengan persembahan saya kerana mereka ketawa. Apa-apa pun, saya akur dengan keputusan ini," katanya yang ditemui selesai program tersebut yang disiarkan secara langsung dari Studio Finas, Ulu Kelang.
Tidak berada di atas pentas Maharaja Lawak bukan pengakhiran buat Amir kerana beritahunya dia telah mendapat beberapa tawaran berlakon.
“Saya mendapat panggilan yang menawarkan saya untuk berlakon, saya ingatkan tidak boleh kerana masih terikat dengan Maharaja Lawak. Sekarang sudah tersingkir, jadi bolehlah saya berlakon.
“Walaupun orang kata saya tidak kelakar dan macam-macam lagi, saya memang suka berada di atas pentas, di hadapan kamera, jadi saya akan terus menghiburkan orang walaupun bukan bersama Maharaja Lawak lagi,” tuturnya dalam nada sedikit kecewa.
Pada minggu ketujuh, kumpulan Jambu telah membuat kejutan apabila mendapat markah tertinggi sebanyak 60 markah, kumpulan Jozan (58), kumpulan Sepah (54), Nabil (52), kumpulan Balas (42) dan Man mendapat (40).
Tema komedi senyap dirasakan sukar buat peserta solo berbanding peserta berkumpulan kerana rata-rata peserta solo menghadapi kesukaran untuk membuat penonton ketawa dengan persembahan mereka termasuk Nabil.
“Memang susah, saya rasa saya yang akan tersingkir minggu ini sebab persembahan agak teruk. Walaupun semasa latihan semuanya okey, tetapi semasa berada di atas pentas saya menghadapi masalah teknikal.
“Apa yang dirancang sewaktu di atas pentas tidak menjadi, ikan jerung saya lari dan bermacam-macam lagi. Saya tidak salahkan sesiapa tetapi diri saya sendiri, saya sendiri memang sudah putus asa semasa akhir persembahan,” kata Nabil.
Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk bersaing pada minggu kelapan kerana merasakan program Maharaja Lawak sebagai platform terbaik untuknya memulihkan imej yang pernah tercalar sebelum ini dek kontroversi.
“Memang saya akui, program ini banyak membantu memulihkan imej saya. Bukan saya seorang tetapi medan untuk orang kenali bakat, macam Jambu, pada peringkat permulaan orang tidak kenal mereka, tetapi lihatlah sekarang mereka berada di mana. Jambu sekarang berada di kedudukan tertinggi dan saya sendiri mereka tergelak besar dengan lawak mereka,” ulas Nabil lagi.
Menariknya pada minggu kelapan yang berlangsung malam ini, salah seorang peserta yang tersingkir sebelum ini iaitu Amir, Wai, Jihan, Alex, XN3 dan R2, berpeluang untuk kembali bertarung di gelanggang Maharaja Lawak menerusi undian masuk.
Undian masuk yang dibuat menerusi laman sosial Facebook Maharaja Lawak bermula sejak Jumaat lalu dan berakhir pada pukul 12 tengah hari, Rabu lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: