Wednesday, May 11, 2011

Albaladi meriahkan Karnival Halal


ALBALADI akan membuat persembahan istimewa menggunakan alat muzik ciptaannya pada Karnival Halal Kelantan di Kota Bharu pada hujung bulan ini.


TUMPAT – Dalam kalangan peminat lagu irama padang pasir, nama Albaladi cukup dikenali dengan kemerduan suara serta kemahirannya bermain alat muzik.

Walaupun mengalami kecacatan penglihatan sejak berusia enam tahun, ia tidak menghalang Albaladi atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mohammad, 66, untuk berkarya dan mencipta nama.

Tidak hairanlah beliau mempunyai pengikut tersendiri dan persembahannya di pasar malam serta pasar tani di seluruh Kelantan sentiasa dinantikan-nantikan.

Menyedari kebolehannya, penganjur Karnival Halal Kelantan telah memilihnya sebagai antara artis yang bakal membuat persembahan pada karnival selama tiga hari itu.

Menurut Albaladi, beliau akan mengadakan persembahan selama dua hari iaitu pada hari pembukaan dan penutup karnival tersebut menggunakan alat muzik ciptaannya.

“Alat muzik itu ialah kecapi buluh elektrik dan juga serunai daripada paip PVC yang berbunyi seperti saksofon,” katanya di sini semalam.

Karnival itu akan diadakan di Kompleks Islam Darul Naim di Kota Bharu mulai 28 hingga 30 Mei.

Menurut Albaladi, pada hari pembukaan karnival itu, beliau akan membuat persembahan selama setengah jam bermula pukul 3.30 petang dengan menampilkan naib juara Tilawah Al-Quran Kelantan yang juga seorang kanak-kanak cacat penglihatan.

Jelasnya, persembahan hari penutup lebih istimewa apabila beliau akan menghiburkan para pengunjung selama satu setengah jam bermula pukul 9 malam dengan menampilkan koleksi lagu popularnya termasuk Albaladi.

“Saya begitu terharu dan teruja kerana buat pertama kalinya saya dipanggil untuk membuat persembahan dalam sebuah karnival yang cukup besar di Kelantan,” katanya.

Menurutnya, selain membuat persembahan, beliau akan turut memasarkan produk kesihatan di bawah label Albaladi antaranya minyak kambing gurun dan minyak merah.

Enam jagoan bawa cabaran PSSCM


ROSMAN (berdiri dua dari kanan) bersama beberapa pesilat PSSCM semasa rakaman dokumentari silat di Bukit Beruntung, Hulu Selangor semalam.


HULU SELANGOR – Seramai enam jaguh silat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) akan menyertai Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak pada 11 Jun ini.

Ketua Penerangan PSSCM, Rosman Mat Deli berkata, enam jagoan itu bakal mencipta kejutan setelah 27 tahun pesilat persatuan itu tidak menyertai pertandingan silat olahraga di peringkat kebangsaan.

“Cabaran pada kejohanan itu akan menjadi batu loncatan bagi kami menunjukkan buah pukulan dan pencak tari yang unik bagi memeriahkan dunia persilatan negara setelah lama ‘bertapa’,” katanya ketika ditemui semasa rakaman dokumentari di Pusat Latihan PSSCM di Bukit Beruntung di sini semalam.

Kejohanan bertemakan ‘Pertembungan Hulubalang’ itu bakal menyaksikan pertarungan sengit sebanyak 20 pertubuhan silat tempatan dan wakil antarabangsa.

Menurut Rosman, PSSCM yang mempunyai 230,000 ahli berharap penyertaan mereka akan dapat memeriahkan lagi kejohanan tersebut.

Ujarnya, kejohanan seperti itu berupaya menghidupkan kembali seni silat Melayu yang semakin dipandang sepi ke peringkat dunia.

Sementara itu, penganjur kejohanan, Jak Othman berkata, krew produksi Homeland Frontier Sdn. Bhd. (Homeland Frontier) kini sedang menjelajah seluruh negara untuk menjejak lapan pertubuhan silat bagi rakaman dokumentari.

“Rakaman berkonsep program realiti televisyen itu bakal dihoskan oleh Ed Chard, 45, yang merupakan seorang guru silat dari Australia dan bakal disiarkan ke seluruh dunia,” katanya yang mula melakukan jelajah sejak 29 April lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: