DR HALIM...langganan masih stabil
TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menerusi inisiatif pelaksanaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) menyasarkan untuk mencapai 1.1 juta premis sedia dipasang dan 78 kawasan ibu sawat menjelang akhir tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Dr Halim Shafie berkata, TM ketika ini berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran itu selepas melepasi sasaran melebihi 750,000 premis sedia dipasang di bawah perjanjian Awam-Swasta (PPP).
Katanya, setakat April tahun ini, jumlah pelanggan UniFi perkhidmatan HSBB TM meningkat kepada 80,000 berbanding 33,000 pada akhir tahun 2010.
“Pada ketika ini, UniFi dibekalkan ke 66 kawasan ibu sawat dengan lebih 800,000 premis sedia dipasang dan kawasan ini termasuk 59 kawasan di Lembah Klang, Nusajaya di Iskandar Malaysia serta kawasan perindustrian di seluruh negara.
“Tahun ini juga kami akan meraikan ulang tahun pertama projek HSBB dan saya berbangga untuk meraikannya kerana projek ini berada pada landasan terbaik untuk mencapai semua sasaran yang ditetapkan,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Menara TM, semalam.
Menurutnya, bagi akhir tahun 2012 pula, syarikat menyasarkan untuk mencapai 1.3 juta premis sedia dipasang yang meliputi 95 kawasan ibu sawat.
“Kami juga sentiasa memberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan UniFi diuruskan dengan berkesan dari aspek keberkesanan kos dan kepuasan pelanggan.
“Langganan UniFi kian meningkat secara stabil sambil keupayaan pemasangan perkhidmatan akan cuba dipertingkatkan secara berperingkat,” katanya.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman. Sementara itu, Datuk Dr Halim berkata pemegang saham TM meluluskan dividen kasar akhir sebanyak 13.1 sen sesaham ditolak cukai 25 peratus berjumlah RM351.5 juta dan pengagihan modal sebanyak RM1,037.4 juta dalam mesyuarat terbabit.
Menurutnya jumlah pembayaran RM1,737.7 juta selepas dicampur dividen interim 13 sen serta ditolak cukai 25 peratus itu dijangka akan dibayar pada bulan Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: